" Bangsa kita bukan kekurangan orang bijak tapi kekurangan orang jujur "

Pokok Patawali Herba Tradisional


Pokok Patawali atau dikenali juga dengan nama Akar Seruntun atau Akar Patawali atau nama saintifiknya Tinospora Crispa dari famili Menispermaceae merupakan tanaman menjalar berbatang berkerutu dan berdaun lebar seperti daun sirih.

Biasanya banyak didapati tumbuh menjalar di pagar-pagar dan kawasan rumah terbiar di kampung-kampung atau tumbuh liar di pinggir hutan. Pokok patawali tumbuh subur ditempat bersuhu panas, perdunya memanjat dengan batangnya sebesar jari kelingking, berbintil-bintil rapat dan boleh mencapai ketinggian sehingga 2.5 meter. Mudah dibiakkan menggunakan keratan batang.

Pokok patawali boleh dikategorikan sebagai pokok herba kerana ianya banyak digunakan dalam perubatan tradisional masyarakat Melayu. Air rebusan keseluruhan tumbuhan ini terasa sangat pahit dan dijadikan sebagai ubat reumatik yang dikatakan mampu mengurangi gula dalam darah, menurunkan suhu panas badan dan membantu mengurangi gejala kencing manis.

Masyarakat Melayu dahulu juga percaya dengan pengambilan air rebusan patawali dapat menghindar dari gigitan nyamuk. Rasanya yang pahit ini juga apabila disapu pada payudara ibu, akan memudahkan bayi bercerai susu. 


Bagi tujuan perubatan, batangnya yang menggerutu adalah bahagian utama yang mengandungi khasiat. Batang Patawali digunakan untuk merawat sakit perut, demam, tekanan darah tinngi, kencing manis dan juga penyakit kelamin dikenali sebagai Gonorea.

Tumbuhan ini mujarab bagi mengatasi masalah cacing dikalangan kanak-kanak dengan cara merebus batangnya, ditapis dan diminum segelas sehari. Air rebusan juga boleh digunakan untuk membersihkan darah, dan mujarab untuk membunuh kuman dan menyembuhkan luka.

Kajian saintifik yang dijalankan ke atas Patawali menunjukkan tumbuhan itu mengandungi sejenis bahan yang dipanggil Jattrorrhizine yang dikatakan mujarab untuk menjauhkan penyakit Demam Malaria. Selain daripada itu ia juga dapat menurunkan tekanan darah tinggi dan meningkatkan selera makan.

Pikroretin yang terdapat didalamnya dapat menurunkan suhu panas badan (mengubat demam). Air rebusan ini juga dapat mengubat sakit pinggang dan sengal-sengal (boleh dicampur dalam minyak urut).

Air rebusan ini juga boleh digunakan untuk membasuh kudis-kudis setelah dicampur dengan sedikit belerang. Kajian saintifik menunjukkan hasil ekstrak rebusan tumbuhan herba akan mengandungi pelbagai bahan termasuk bahan aktif yang akan menghasilkan pelbagai kesan perubatan.

Namun dari kajian yang dijalankan juga dipercayai terdapat bahan yang merbahaya atau toksik. Pengambilan air rebusan Patawali dalam jangka masa yang panjang dan berlebihan boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang.

  • Sumber Jabatan Pertanian Malaysia

Komen

Terbaru Lebih lama