Orang yang bertanggungjawab untuk menamakan Tong Talun adalah Panglima Uddang, Panglima Sallehangni dan Panglima Sakti berketurunan Bajau. Ini adalah kerana pada ketika itu daerah Semporna diliputi atau diselubungi oleh hutan belantara diawal penemuannya.
Nama Semporna ini berasal daripada perkataan 'Simporna' yang bermaksud 'Tempat Untuk Berehat'. Nama 'Simporna' ini telah diberikan oleh seorang Gabenor Inggeris iaitu W.M Crocker apabila beliau dan beberapa orang rakannya termasuk seorang pedagang China yang bernama Toonah menemui daerah tersebut pada pertengahan tahun 1887 ( Tabrett 1999 ).
Sesuai dengan nama 'Simporna', Semporna dulunya memang sebuah kawasan pelabuhan yang sangat terkenal buat para pedagang asing untuk singgah berlabuh bagi tujuan berniaga atau berehat.
Selain itu hasrat lain pihak British menukar nama Tong Talun kepada Simporna adalah jelas iaitu untuk mengamankan keadaan di pantai timur Borneo Utara dan sekaligus menguasai Omadal seterusnya mengukuhkan cengkaman mereka ke atas penduduk setempat pada waktu itu.
Namun para penduduk tempatan (Bajau) lebih sinonim memanggil sebagai 'Semporna' atau 'Sampulna' iaitu membawa pengertian sebagai 'Tempat Yang Aman atau Damai'.
Setelah merdeka melalui Malaysia pada tahun 1963, nama tersebut telah dikekalkan dan digunakan sehingga hari ini. Semporna juga dulunya dikenali oleh penduduk awal dengan istilah sebagai Magindora.
Catat Ulasan