Pada suatu hari, datanglah sebuah kapal yang sangat besar dan sarat dengan muatan berdekatan dengan Pulau Timbun Mata.
Kapal itu diperkatakan datang dari tanah arab dan diketuai oleh seorang nahkoda yang sangat kuat akan ilmu agamanya. Kerana waraknya nahkoda itu maka diceritakan setiap yang diperkatakan olehnya akan kerap dimakbulkan.
Jikalau katanya, jatuhlah daun yang ada diatas pokok maka dengan izin Tuhan daun itu pun akan terjatuhlah diatas bumi. Kalau katanya, patahlah sayap burung itu supaya tidak boleh terbang maka patahlah sayap burung tersebut dan jatuhlah ia ke sungai
Sungguh hebat sekali ilmu yang dimiliki Syarif itu, kerana hal tersebut maka dirinya tidak sedikit pun gentar untuk belayar ke mana sahaja sehinggalah kapal besarnya itu akhirnya menghampiri Pulau Timbun Mata.
Ketika itu, Pulau Timbun Mata sangat terkenal kerana kesuburan tanahnya untuk bercucuk tanam. Apa sahaja yang ditanam akan tumbuh dengan subur dan berbuah lebat. Sehinggakan pulau itu menjadi sangat terkenal dan menjadi tumpuan penduduk kampung yang berdekatan yang mahu hidup sebagai petani.
Antara tanaman ketika itu sangat menjadi dan terkenal adalah padi, Jenis padi yang mereka usahakan pula ialah jenis Padi Bukit dan Padi Emas kerana kedua-dua jenis padi itu sentiasa memberi pulangan yang sangat baik kepada mereka.
Kelihatan dari jauh kedua jenis padi ini kelihatan berkilauan seperti emas apabila dipanah cahaya matahari membuatkan nahkoda itu tertarik dan mengambil keputusan mengarahkan beberapa anak buahnya turun ke Pulau Timbun Mata untuk meminta dan mengambil sedikit benih jenis padi tersebut.
Maka beberapa anak kapalnya pun segeralah berangkat menuju ke pulau tersebut, ketika sampai mereka sangat takjub melihat suasana dan kesuburan tanah di pulau tersebut.
Mereka pun berjumpalah dengan petani-petani yang sedang menjaga padi-padi yang berbuah seperti emas itu. Mereka pun menceritakan niat datang untuk memohon agar diberikan sedikit padi untuk dibawa pulang ke kapal.
Tetapi malangnya, para petani itu tidak menghiraukan mereka dan sebaliknya hanya berprangsaka buruk terhadap anak-anak kapal yang diutuskan oleh syarif tersebut. Setelah seorang demi seorang petani ditemui, tiada seorang pun yang memberikan layanan yang baik melainkan layanan yang buruk.
Pulau Timbun Mata Terkena Sumpahan
Sehinggalah sampai kepada seorang petani yang berkulit gelap ( hitam ) dan bengis mukanya yang akhirnya memberikan dua karung padi untuk dibawa balik ke kapal meraka. Amatlah mereka bersyukur kerana pada akhirnya ada juga petani yang baik hati memberikan padi yang mereka hajati.
Mereka pun mengangkatlah dua karung padi tersebut dibahu lalu membawanya ke perahu lalu kembalilah mereka ke kapal tempat syarif itu sedang menunggu. Sesampai mereka di kapal, maka nahkoda tersebut pun mengarahkan beberapa anak kapalnya yang lain untuk membuka karung tersebut.
Namun alangkah terkejutnya nahkoda tersebut apabila mendapati bahawa yang dimuatkan di dalam karung itu sebenarnya adalah sekadar bunga lalang.
Syarif itu pun menjadi sangat marah lalu menyumpah supaya tanaman padi mereka yang berbuah keemasan itu bertukar menjadi lalang.
Selain itu, di sumpah lagi oleh syarif itu supaya tanah subur tempat mereka bercucuk tanam dan menghasilkan buah-buah padi yang ranum itu bertukar menjadi batu, maka tanah itu dengan takdir Tuhan telah menjadi batu yang kering dan tidak subur. Malah beberapa petani yang sedang membersihkan tanaman padi disekitar pulau itu juga akhirnya turut sama menjadi batu.
Sumpahan Pulau Kapal
Walaubagaimanapun, turut diceritakan orang-orang tua dulu bahawa kononnya tidak semua diantara mereka yang ada di Pulau Timbun Mata itu telah bertukar menjadi batu.
Ramai di antara mereka yang masih lagi kekal sebagai manusia dan salah seorang daripada mereka adalah seorang lelaki yang dikatakan warak dan turut mempunyai ilmu batin yang tinggi setara dengan nahkoda kapal tersebut.
Apabila lelaki itu menyedari bahawa padi anak-anak buahnya telah bertukar menjadi batu, lalang dan tanah yang subur itu pula bertukar menjadi batu akhirnya dia juga segera menyumpah kembali kapal yang berlabuh didalamnya nahkoda tersebut berada menjadi batu.
Kapal yang menjadi batu itu masih lagi terdapat sehingga hari ini iaitu sebuah pulau kecil berdekatan dengan Pulau Timbun Mata. Lebih menghairankan lagi, bentuknya memang menyerupai sebuah kapal yang sangat besar dan ianya digelar penduduk disekitarnya sebagai "PULAU KAPAL"
Manakala di puncak bukit Pulau Timbun Mata pula memang terdapat banyak batu-batuan besar dan lalang yang tumbuh liar. Cerita ini telah disampaikan secara lisan melalui cerita orang tua-tua terdahulu dan hari ini ianya telah pun dibukukan. Adapun cerita ini hanyalah sekadar kisah mitos yang menarik sahaja.
- Sumber Datin Manis Muka Binti Mohd Darah (Buku Tiga Ombak Bersaudara)
Catat Ulasan