Lapohan atau Laporan adalah sebuah dapur tanah yang digunakan untuk memasak pada zaman dulu, ianya merupakan sebuah tembikar yang dihasilkan melalui proses penggabungan dua jenis tanah iaitu Tanah Liat dan juga Tanah Pasir.
Dalam bahasa suku kaum Bajau Pantai Timur Sabah, Lapohan bermaksud Alat Tempat Membakar atau Memasak.
Terdapat tiga jenis lapohan iaitu 1. Lapohan Pindas yang semua bahagian atasnya rata, kemudian 2. Lapohan Tungkang mempunyai bahagian hadapan yang lebih rendah daripada bahagian belakang dan 3. Lapohan Tibnuk yang berbentuk bulat.
Namun ketiga-tiga jenis lapohan ini tetap mempunyai fungsi yang sama pada zaman dulu iaitu untuk kegunaan memasak.
Manakala Lapohan Ujur atau Tahak pula dibuat dalam bentuk bujur dan Lapohan Bobohan dihasilkan dalam bentuk bulat
Cara Menghasilkan Lapohan
Bagi menghasilkan dapur lapohan, dua bahan utama iaitu tanah liat dan pasir perlulah ditumbuk dan diuli terlebih dahulu sehingga sebati.
Kemudian abu kayu yang dilarut dengan air laut turut dicampur dan digaulkan bersama tanah dan diratakan atas papan lalu ditumbuk dengan tangan supaya menjadi leper dengan tebal lebih kurang 3cm.
Gambar : Puan Nulbiah dan Puan Bunga Anuh adalah antara pewaris terakhir pembuat dapur lapohan secara manual 100% di Pulau Selakan. |
Tanah yang berbentuk silinder kemudiannya akan diletak mengelilingi tanah yang telah diratakan untuk menjadikan bahagian tepi (sukur dan kolong).
Dinding lapohan pula atau ‘Tapi’ dibetuk menggunakan kaedah picitan dan disamping itu teknik ini juga digunakan untuk melicinkan permukaannya.
Kemudian, tiga batang selinder dilekatkan, setiap satu pada bahagian belakang, bahagian tepi kiri dan kanan lapohan. Silinder tanah yang menjadi penyokong kepada badan lapohan ini dinamakan ‘sukur’. Pada bahagian bawah ‘sukur’ terdapat leher yang dipanggil ‘kolong’.
Gambar : Kelihatan salah seorang masyarakat Bajau Laut yang menggunakan Lapohan untuk memasak di atas perahu mereka. |
Setelah badan lapohan siap, ‘tappe’ atau penepek digunakan untuk menepek, merata seterusnya memampatkan badan lapohan. Setelah selesai, garisan geometrik diguris dan diukir pada badan serta bibir lapohan ataupun ‘biking’ yang kadangkala dibuat berkelok-kelok untuk mencantikkannya.
Fungsi asas ‘biking’ adalah sebagai penahan atau tapak periuk. Kemudian, sehelai kain kecil yang lembap direntang mengelilingi lapohan tersebut bertujuan untuk mengelakkan bahagian lapohan yang terbuka itu daripada mengembang.
Namun pada hari ini penggunaan dapur lapohan sudah jarang sekali digunakan memandangkan dapur api gas dan elektrik telah menjadi pilihan orang ramai kerana lebih senang dan mudah untuk dipakai.
Adapun dapur ini hanya ada segelintir yang menggunakannya untuk tujuan membakar ikan, dan suku kaum bajau laut "Palao" masak di atas pondok kecil mereka atas laut ataupun diatas perahu tempat mereka tinggal.
Penghasilan dan pembuatnya juga telah berkurang menjadikan dapur lapohan yang selalunya terdapat di rumah-rumah terdahulu kini hanyalah menjadi sebuah warisan yang mula lenyap di telan zaman.
- Sumber Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah
Catat Ulasan