Kahanga merupakan sejenis siput laut yang tergolong dalam keluarga moluska, sama seperti siput gonggong dan siput sedut.
Namun, yang membezakan kahanga ialah saiznya yang lebih besar serta cengkerangnya yang mempunyai cabang tajam menyerupai duri.
Cengkerangnya tebal, manakala isinya sedikit kenyal berbanding beberapa jenis siput laut lain. Spesies ini biasanya banyak ditemui di kawasan pantai dan perairan tropika.
Kahanga mempunyai rasa yang unik dan boleh dimasak dengan pelbagai cara seperti direbus atau ditumis. Walau bagaimanapun, ia lebih popular dimasak secara tumis, contohnya masak cili api, asam pedas, kam heong, masak sambal dan pelbagai resipi lain lagi.
Selain dijual bersama cengkerang, isi kahanga juga sering dijual secara berasingan dalam botol minuman bergas bersaiz kecil (500ml) pada harga sekitar RM5 hingga RM10.
Kahanga bukanlah makanan harian bagi semua orang kerana ketersediaannya bergantung kepada musim serta hasil tangkapan nelayan.
Disebabkan faktor ini, ada waktu bekalannya banyak dan mudah diperoleh, manakala pada masa tertentu ia agak sukar didapati.
Menurut penjual hasil laut tempatan, kahanga kini lebih menguntungkan jika dijual kepada resort di sekitar Semporna kerana harga beli yang lebih tinggi. Keadaan ini menyebabkan bekalan siput tersebut semakin kurang dijual di pasar basah Semporna.
Ketika dimakan, siput ini akan meninggalkan bahagian penutup yang keras dikenali sebagai "Operculum", yang berbentuk seperti kuku tajam. Bahagian ini tidak dimakan dan akan dibuang.
Menariknya, di Semporna terdapat satu kawasan yang dipenuhi kulit siput jenis ini. Disebabkan keunikan tersebut, sebuah pasar makanan laut segar di situ dikenali sebagai Pasar Kahanga, yang kini menjadi tarikan utama para pencinta makanan laut eksotik di Semporna.

