Dalam telekung putih kekuningan akibat kelusuhan, dia menundukkan wajah sambil menatapi rona hijau pada hamparan tikar bangkar yang menjadi alas sujudnya.
Usai berdoa, aku menyalami tangan kasarnya kemudian mencium kedua-dua belah pipinya. Kurasakan permukaan tangannya yang sekasar sabut – membuktikan betapa dia cukup termazlum dengan kemiskinan dunia yang mengerikan.
Mengenali perempuan itu membawa aku menyelak langit hidup yang perih, sengsara dan tidak terbayar dengan air mata. Melukut di hadapannya membuat aku duduk sebagai seorang pemalu. Malu kerana aku manusia yang tidak diduga sehebat dia tetapi menjadi sang pengeluh yang manja.
Aku bermuhasabah.
Melantun kalimat-kalimat insaf sambil menyelongkar hikmah. Mengapa Tuhan menurunkan perempuan itu dalam hidupku? Ombak, sisir dan pantai adalah padang permainan paling menghiburkan sejak perempuan itu masih kecil.
Ketam-ketam genit adalah kawan lumba larinya, bucu-bucu kejora adalah teman siulan malamnya. Tanpa elusan seorang ibu, dia merelakan air mata sengsaranya dikeringkan oleh tiupan sang bayu dari daerah kelahirannya yang dahulunya dikenali dengan nama Tong Talun yang bererti “Hujung Hutan”.
Sebuah daerah kepulauan besar yang di kelilingi pulau-pulau kecil yang maha sempurna jernihnya – kini dikenali dengan nama Semporna. Ternyata, laut dan sisir pantai bukan lagi hamparan yang canggung buat perempuan itu. Malahan dia sudah menghafal waktu pasang surut air serta musim ombak kecil dan ombak besar tanpa perlu belajar tentang ilmu sains permukaan bumi di sekolah.
Segalanya di segenap pengetahuannya. Berbicara soal ombak memang menyeronokkan tetapi ombak juga boleh mengganas dan membaham sesiapa sahaja yang ingin dijamahnya. Ombak itu telah menebalkan kisah nestapa yang terbuku dalam hidupnya. Selepas ibunya, bapanya pula pergi buat selamanya. Lelaki yang paling dia cintai itu tenggelam dibaham ombak besar yang menelan bersama sebuah bot kecil punca rezeki.
Mayat bapanya ditemui penduduk Pulau Sipadan dengan perut kembung akibat tertelan air masin yang tidak terkira banyaknya. Bapanya memang jaguh renang namun ajal tidak mengira siapa dan apa jua kejaguhan yang dimiliki mangsanya.
Lalu berderailah manik-manik masin menumpahi permukaan pasir halus yang berserakan ditiup angin perkabungan. Saban malam perempuan itu tidur berselimutkan kain pelekat bapanya dan beralaskan kain batik lusuh ibunya.
***
Setiap hari jiran terdekatnya akan menghantar makanan supaya dia tidak mati kelaparan. Usia mentahnya membataskan dia untuk keluar mencari pekerjaan.
Maka tidak apa yang boleh diharapkan lagi melainkan menghabiskan sisa masa dengan menyisir pantai sambil menyaksikan relungan ombak yang cukup tekad merenggut nyawa seorang insan yang masih diperlukannya.
Perempuan itu berjalan menelusuri liku-liku kehidupan yang telah dilorek Tuhan dengan penuh pasrah. Dia cuba berhibur dengan mengutip kulit-kulit siput yang dihiasi kepelbagaian corak eksotik. Samudera biru di hadapannya itu diratap sepuas hati; umpama meratap sebuah kenangan yang panjang.
Laut itu berkaca-kaca akibat terkena biasan cahaya langit yang sedang dalam perarakan menuju senja. Senja yang jingga dan memilukan.
Maka bermulalah sebuah pengembaraan tanpa sayap oleh perempuan itu dengan harapan agar dia dapat menemui jawapan. Jawapan terhadap persoalan tentang nasib dirinya yang diperjudikan begitu zalim sekali sehingga terkadang dia merasakan seperti menghuni sebuah gua batu gelap tanpa sekecil lubang apa pun.
Dia, di hadapanku kini, telah menjadi petualang sejati yang hidup dengan hanya berbekalkan ihsan nuraga daripada manusia lalu-lalang. Sewaktu umurnya sepuluh tahun, dia mula menjadi kuli di sebuah pasar lambak. Menjadi pengasing antara ikan-ikan segar, separuh segar dan ikan-ikan busuk yang terkadang telah terburai perut.
Mulanya dia tidak betah sehingga muntah-muntah akibat bau busuk yang menusuk namun lama-kelamaan dia menjadi sebati. Bertahun lamanya dia mengabdikan diri menjadi kuli hanyir sehinggalah pada suatu hari sepasang suami isteri berhati malaikat telah datang kepadanya dan menawarkan sebuah kehidupan yang lebih bermakna.
Kehidupan lamanya mulai berengsot sedikit demi sedikit memasuki ruang yang disoroti cahaya pengharapan.
Cahaya musim baru yang membangunkannya semula dirinya daripada selaman hanyir yang melemaskan. Setiap hujung minggu, bapa angkatnya membawa dia bersembahyang di sebuah gereja putih.
Di situ, di hadapan Tuhannya, perempuan itu melutut dengan doa sarat dan di setiap kemuncak luahannya pasti ada titis-titis yang berderai sebagai pembuktian kesungguhannya pada sebuah pengharapan yang tidak bertepian.
Aku sedaya-upaya menahan sebak sejak mula mendengar kisahnya. Turutkan hati, kelopak mataku yang berladung air mata ini bila-bila masa sahaja boleh bercucuran. Bukan kerana perempuan di hadapanku sedang meraung hiba kerana perempuan itu tidak pernah sekalipun menitiskan air mata sepanjang berkisah denganku.
Sebaliknya, kerana aku tidak sanggup memikirkan bagaimana perempuan itu terlalu tenang saat mengisahkan itu semua kepada aku. Aku akui, hati besinya tidak mungkin akan membenarkan dia menangis sembarangan.
Tetapi aku dapat melihat dari lirik matanya yang redup, dari tuturan suaranya yang perlahan serta tenung pandangnya yang jauh bahawa dia sedang mempertaruhkan sebuah kepercayaan. Kepercayaan terhadap seorang yang baru dikenalinya tidak sampai seminggu ini.
Hampir tiga minggu aku menyewa bilik kecil ini.
Percaturan Tuhan yang Maha Bijak telah menempatkan aku di bilik kecil yang terletak dalam sebuah rumah yang juga bersaiz kecil. Dan rumah bersaiz kecil ini adalah milik perempuan yang menyanggupi kisah lalunya diketahui oleh seorang gadis kilang elektronik, iaitu aku.
Aku yang jauh sekali memiliki segulung ijazah dengan hafalan-hafalan dewan peperiksaan apatah lagi memiliki ilmu para ustazah.
Namun, siapa aku untuk menidakkan kebijaksanaan Tuhan itu? Suasana petang itu cukup redup dengan arakan awan yang perlahan-lahan memendungkan suasana ditemani angin silir yang berembus halus, menghidupkan lagi kedamaian Ramadan kelima bagi tahun 1435 hijrah.
***
Petang itu mempertemukan lagi kami untuk saling meraikan cerita. Perempuan itu memandang tepat ke arahku namun aku tidak membalas pandangannya. Bukan tidak sudi tetapi kerana hormatnya aku kepada perempuan yang semakin ku anggap ibu itu.
Dia memberitahuku pada petang itu tentang perihal dadanya yang dirasakan begitu ngilu seakan-akan dicucuk sembilu.
Ceritanya, dia telah dipertemukan dengan seorang lelaki yang mengaku benar-benar mencintainya sampai kiamat. Lelaki itu mengahwininya dalam sebuah kapel dengan disaksikan seorang paderi berjubah putih.
Akan tetapi penyatuan itu tidak abadi – ia hanyalah episod singkat yang mengundang hujan lebat. Lewat perkelahian, mereka memutuskan untuk berpisah. Aku mengangkat sedikit wajahku untuk menyelinap ke dalam redup matanya.
Dalam renungan itu, aku mendengar suara azan Maghrib berkumandang syahdu seraya aku terlihat mata perempuan itu bergenang. Aku terdengar hati perempuan itu berombak. Malam itu perempuan di hadapanku tersengguk-sengguk membacakan huruf-huruf al-Quran paling asas; alif, ba, ta, tsa. Dengan pembaris plastik panjang menggantikan lidi penunjuk, aku sempat mengajarinya sehingga huruf dal.
Dia tersenyum puas, kerana telah lama dia mendambakan sesi pengajaran al-Quran yang eksklusif seperti itu. Selama ini, dia hanya belajar beramai-ramai di Perkim, sebuah organisasi dengan misi membangunkan saudara-saudara baru. Solat subuh esoknya kami menjadi makmum kepada anak sulung perempuan itu yang menurutku seorang yang kacak dan berbudi bahasa.
Usai solat, aku mendengar rintihan doa para mualaf yang begitu mengharukan. Mereka merayu-rayu kepada Allah supaya kekal dalam hidayah-Nya dan janganlah sesekali hatta sesaat sekalipun ditarik semula nikmat hidayah tersebut.
Aku, tanpa segan-silu lagi langsung menangis tersedu. Kerana aku tahu bahawa aku yang telah muslim sejak lahir ini sekalipun tidak pernah merintih sebegitu rupa kepada Tuhan.
Selepas ditinggalkan sehelai sepinggang serta diusir dari rumah suaminya, perempuan itu menjadi tidak keruan. Dengan usia anak-anaknya yang masih meminta susu, keadaannya bertambah pilu.
Pernah dia menyuruh anaknya meminta sedekah di tepi jalan dengan pakaian compang-camping sementara dia ke hulur-ke hilir mencari kerja. Melihat keadaan dirinya yang tidak berilmu, bodoh, dan lemah, maka kota metropolitan memilih untuk melayaninya dengan cukup prejudis.
Seluruh gerak langkah kakinya berat dan rengkat namun digagahi demi anak-anaknya yang belum mengenal fana dunia. Puas sudah perempuan itu cuba menyalakan sumbu pelita yang kekontangan minyak tanah.
Akhirnya dia menemui satu falsafah baharu; bahawa cahaya bukanlah berpunca daripada sumbu pelita sebaliknya cahaya itu adalah kurniaan Tuhan paling mahal. Tuhan baharunya yang dipanggil Allah kini dengan penuh kasih sayang mendakapnya erat.
Memeluk jasad dan jiwa seorang insan yang selama ini kandas dalam sebuah pelayaran tanpa nakhoda.
Sang Pencipta meneranginya dengan cahaya terang-berderang, memandunya menapak semula dalam belantara lebat tanpa sesat lagi. Dan kini, dia mengharapkan aku menjadi nakhoda untuk menghampar peta pelayaran buat dia serta anak-anaknya.
Aku berteleku lama sambil memandang tembok dinding bercat putih di hadapanku. Karungan telekungku sudah kuyup dibasahi air mata yang tumpah semacam hujan musim tengkujuh.
Jantungku dijentik seribu satu rasa. Lantas aku bertanya kepada Tuhan,
“Tuhan, mengapa kau hadirkan aku di sini? Kuatkah aku untuk membawa mereka dekat dengan Syurgamu?”
Sunyi…. Soalan itu ditinggal sepi.
Namun aku tahu, sebentar lagi Tuhan akan kurniakan sebuah hikmah sebagai jawapan terhadap pertanyaanku. 28 Ramadan 1435 Hijrah adalah puasa terakhirku di rumah itu kerana aku bakal pulang ke kampung halaman bagi menyambut sebuah perayaan yang memerdekakan umat.
Hatiku melonjak gembira akibat rasa rindu terhadap kedua-dua orang tuaku yang sudah tidak tertanggung. Bibirku tidak lekang mengukir senyuman sejambak mawar, menyedekahkan wangiannya kepada sesiapa sahaja yang berselisih denganku. Akan tetapi, malam itu menjadi Ramadan terpilu buatku.
Aku terkesima, dadaku berdegup kencang dirudung pelbagai rasa yang bercampur-baur; gementar, takut, sesal, hairan, khuatir, risau, kekok, juga sayu. Kerana itu benar-benar kali pertama perempuan yang bermata bening itu menangis di hadapanku.
Kugenggam jari-jemarinya. Langsung aku tidak berani membuka mulut untuk bertanyakan tentang rahsia tangisannya itu. Perempuan itu tunduk, tidak lagi memandang tepat ke arah aku seperti selalu.
Tangannya terketar-ketar mengeluarkan sesuatu dari poket baju kurung polosnya lalu dengan perlahan-lahan dia menghuluri aku sekeping kertas bersaiz A4 yang dilipat enam.
Tanganku teragak-agak sewaktu menyambut kertas itu dan tekaanku tepat.
Kertas itu adalah sekeping surat yang membuat aku kaku, lidahku habis kelu, mataku berkaca-kaca, jantungku mengepam cepat, hidungku mula berair, dan tidak semena-mena aku terus merangkul perempuan itu. Memeluknya sekuat hati dan aku menangis semahu-mahu kudratku.
***
Angin kencang menghempas pipiku sambil menyebarkan udara nyaman yang membuat senyumanku terbit. Matahari mulai membiaskan jingganya di kaki langit yang seakan-akan bercantum dengan laut. Seperti tiada bezanya lagi antara langit dan laut kerana kedua-duanya sama tenang.
Luas mendepa sambil menghulurkan kekuatan kepada sebuah hal bernama kehidupan. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya sambil memerhatikan tiga orang lelaki tampan di hadapanku.
Mereka terjingkit-jingkit melawan gigi air yang cuba menggigit-gigit keting mereka.
Aku tersenyum lega kerana setelah hampir satu dekad aku mampu memelihara mereka sehingga meningkah dewasa. Aku memanjatkan setinggi-tinggi syukur kerana pada petang yang permai ini aku berjaya membawa mereka semula ke daerah asal mereka. Ombak, sisir, dan pantai yang bersatu di hadapanku mengingatkan aku kepadanya.
Dia.
Ya, perempuan itu. Dialah yang menjadi asbab untuk aku ke sini meskipun dia sudah tenang menuju negeri abadi. Aku tidak pernah lupakan tentang sepucuk surat yang dia hulurkan kepadaku dan aku tidak pernah akan lupakan bagaimana dia meninggal dunia di hadapan aku kerana kanser pangkal rahim yang dia deritai.
Dan anak-anaknya yang sedang berlari-larian adalah amanah yang dia tinggalkan kepada aku.
Aku, ditakdirkan Tuhan sebagai nakhoda dalam pelayaran hidupnya yang mendatang. Pelayaran seorang perempuan dari Semporna yang terlebih dahulu meninggalkan aku bersama ceritera deritanya.
- ✍Penulis Asal Zulaikha Adam