" Bangsa kita bukan kekurangan orang bijak tapi kekurangan orang jujur "

Cerita Rakyat Semporna - Lagenda Arung Salamiah


Di Daerah Semporna terdapat sebuah kisah cinta pilu yang berlaku pada zaman dulu dipercayai berlaku sebelum abad ke-18 masihi diantara seorang gadis rupawan yang bernama Arung Salamiah dengan pemuda bernama Tanjung Kalang. 

Arung Salamiah merupakan seorang wanita rupawan, baik budi pekerti dan juga terkenal kerana beliau merupakan seorang penari tarian 'Igal-Igal' (Tarian Suku Kaum Bajau) dan berkalang yang terbaik dan mampu mempersonakan sesiapa sahaja yang melihatnya menari akan terasa seperti dirasuk.

Berketurunan orang-orang besar dan tinggal di sebuah kampung yang terletak disalah sebuah pulau di Daerah Semporna. Kecantikan gadis itu menurut cerita orang terdahulu kononnya tiada tandingan pada zaman itu. Rambutnya yang panjang hingga ke pangkal punggung, kulitnya yang halus, putih dan bersih. Alis matanya yang lentik, jari-jemarinya yang lembut dan suaranya pula yang amat merdu.


Kecantikan gadis itulah yang menyebabkan dia menjadi rebutan bukan sahaja dikalangan jejaka di kampungnya dan di kampung yang berdekatan tetapi juga di kalangan orang-orang besar yang berkedudukan dalam masyarakat ketika itu. 

Kemerduan suaranya apabila berkalang dikatakan mampu menundukkan seluruh alam. Arung Salamiah merupakan anak kepada Maharadja Tamjihi dan Pitla' Alam adalah ibunya. Tarian yang dibawanya iaitu 'Igal-Igal' adalah tarian tradisional suku kaum Bajau.

Arung Salamiah sangat hebat dalam menggambarkan perasaannya ketika menari sama ada gembira, sedih mahu pun marah. Disebabkan itu, persembahan beliau sangat digemari oleh para penonton. 


Tragedi Hidupnya Bermula... 

Apabila tibanya rombongan Datu Jamalul Alam Datu Ladja Baginda Ali (Datu Atik) bersama 50 orang rombongannya yang berlabuh ke pesisir pantai Pantau-Pantau untuk melindungi diri mereka daripada perang sepanjang perlayaran mereka ke Sulu. 

Kedatangan Datu Jamalul Alam disambut oleh masyarakat kampung dengan meriah kerana pangkat dan keturunannya, Arung Salamiah telah menari 'Tarian Panansang' yang diiringi oleh alunan 'Kalang' oleh Tanjung Kalang semasa majlis tersebut. Semua masyarakat kampung terpegun dengan persona tarian Arung Salamiah dan mula ikut menari bersama bagaikan telah dirasuk. 


Datu Jamalul Alam yang turut sama ada, telah jatuh cinta melihat kecantikan dan persona Arung Salamiah lalu menghantar rombongan ke rumah Maharadja Tamjihi untuk memperisterikan anaknya. Namun Arung Salamiah menolak lamaran tersebut kerana Datu Jamalul Alam terkenal dengan sifat kekejamannya dan mempunyai isteri yang sangat ramai. 

Menurut cerita orang tua-tua Arung Salamiah telah dipaksa untuk berkhawin oleh keluarganya namun dia meminta kepada kedua orang tuanya agar memberi kebebasan untuknya menentukan jodoh dan masa depannya sendiri. 

Pihak keluarga Arung Salamiah terpaksa menerima lamaran tersebut kerana desakan pangkat dan kuasa yang dimilik oleh Datu Jamalul Alam selain tanda menghormati keluarga ternama tersebut, namun dalam masa yang sama Maharadja Tamjihi juga telah menyuruh Arung Salamiah untuk lari bersembunyi sehingga keadaan terkawal. 

*** 

Arung Salamiah telah disembunyikan oleh ibubapanya di Bohey Dulang kerana takut dia akan diambil menjadi isteri Datu Jamalul Alam yang terkenal pantang melihat gadis cantik dan terus memperisterikannya. 

Di ceritakan, Arung Salamiah telah disembunyikan di Pulau Bohey Dulang dan tenang tinggal di situ. Ayahnya telah membina sebuah rumah sederhana kecil yang mempunyai jendela menghadap ke selatan dan dari jendela itulah Arung Salamiah setiap petang akan melihat saujana laut lepas, mendengar desik ombak yang melanda pesisir pantai dan menikmati kemerduan nyanyian burung-burung serta menghayati keindahan alam sekeliling. 

Ayahnya juga Maharadja Tamjihi turut membina beberapa buah perigi sebagai tempat permandian Arung Salamiah yang bertemankan seekor anjing kesayangannya. Bagi menghiburkan hati Arung Salamiah dikala sunyi, ayahnya juga menyediakan kepada anaknya itu sejenis alat muzik yang di panggil Gabbang dan maka diceritakan setiap kali bulan mengambang Arung Salamiah akan memainkan alat muzik tersebut dan seluruh Pulau Bohey Dulang terasa sempurna dan terserlah keindahannya di waktu malam. 


Kekasih Arung Salamiah, iaitu Tanjung Kalang pula telah bertindak mencarinya apabila mendengar berita buah hatinya itu telah hilang melarikan diri. Tanjung Kalang telah berjaya memujuk Arung Sariah, iaitu adik kepada Arung Salamiah untuk memberitahu dimanakah tempat kakaknya itu di sembunyikan. 

Maka Tanjung Kalang pun telah bergegaslah ke Pulau Bohey Dulang untuk mencari Arung Salamiah namun tidak di temui, dia berdoa agar dibantu untuk menemui kekasihnya itu. Setibanya di sana, lalu dia pun berkalang dan kalangannya pun seraya disambut oleh Arung Salamiah dan mereka berbalas kalang untuk menzahirkan rasa cinta dan rindu mereka. 

Malangnya kehilangan Arung Salamiah telah sampai ke pengetahuan Datu Jamalul Alam yang mana mengundang kemarahannya. Dia segera ke rumah Arung Salamiah untuk mencarinya namun Arung Salamiah telah lama tiada. 

Akibat berasa sangat marah Datu Jamalul Alam yang tidak menjumpai Arung Salamiah telah bertindak kejam dengan membunuh seluruh penduduk kampung dan membakar rumah-rumah mereka sehingga ranap. 

***

Perasaan cinta dan rasa sayang yang amat besar antara mereka berdua akhirnya Tanjung Kalang berjaya memujuk Arung Salamiah untuk keluar dari tempat persembunyiannya dan pulang ke Pantau-Pantau tetapi tanpa mereka ketahui yang Datu Jamalul Alam telah bertindak membunuh semua penduduk kampung dan membakar rumah-rumah mereka. 

Dayang mereka iaitu Bunga Liru dan beberapa orang pengikut setia termasuk Syeikh Imam Maulana telah bergegas melarikan diri ke pesisir pantai dan ingin berjumpa dengan Arung Salamiah dan Tanjung Kalang yang baru tiba untuk mengajak mereka melarikan diri bersama-sama. Belum sempat mereka melarikan diri kelibat mereka telah dikesan oleh para pengikut Datu Jamalul Alam dan telah di serang. 


Hanya Arung Salamiah dan Arung Sariah yang sempat menaiki perahu untuk melarikan diri dan menuju semula ke Pulau Bohey Dulang. Pengikut Datu Jamalul Alam cuba mengejar mereka berdua dengan menggunakan perahu tetapi diceritakan bahawa sebelum terbunuh Syeikh Imam Maulana sempat memohon dan berdoa agar doanya dimakbulkan tuhan dan semangat alam membantu untuk menyelamatkan Arung Salamiah dan Arung Sariah. 

Cuaca tiba-tiba bertukar ribut, air laut tiba-tiba berombak besar dan guruh saling menyahut. Sebaliknya perahu yang dinaiki Arung Salamiah dan Arung Sariah kelihatan tenang terapung diatas seekor ikan pari gergasi yang merupakan jelmaan kepada Ombo' Banag 

Akhirnya mereka sampai di pesisir pantai Bohey Dulang dan Arung Salamiah tidak membenarkan Arung Sariah untuk mengikutinya. Dia memberikan adiknya 'Kancing Bokkok' dan berpesan demi keamanan manusia dia akan terus bersembunyi. Dia meminta adiknya untuk menghalakan 'Kancing Bokkok' tersebut ke arah gua persembunyiannya sebagai tanda peringatan kepada hubungan mereka. 

Kedua-duanya mereka telah berpisah dimana Arung Salamiah tidak membenarkan adiknya itu untuk mengikutinya bagi mengelakkan diri mereka daripada dijejaki oleh Datu Jamalul Alam dan pengikutnya maka pergilah Arung Sariah meninggalkan kakaknya hilang dibawa buih-buih laut.

Arung Salamiah pun terpaksa lari ke dalam hutan untuk menyelamatkan diri demi menjaga keselamatan dan maruahnya. Dia telah melarikan diri dan bersembunyi didalam sebuah gua yang terletak di Pulau Bohey Dulang. 

Di ceritakan lagi Arung Salamiah telah bersembunyi di gua tersebut untuk sekian lama menunggu kekasihnya Tanjung Kalang menjemputnya semula tetapi nasib kekasihnya itu sebenarnya berakhir tragis sebelum ini apabila meninggal dunia semasa bertempur dengan pengikut-pengikut Datuk Jamalul Alam di pesisir pantai.

Adiknya pula, Arung Saria berjaya menyelamatkan diri, berkahwin dan memiliki keturunan sehinggalah hari ini.


Setelah sekian lama hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun Arung Salamiah di katakan telah ghaib dan hilang di pulau itu. Pernah juga orang berkata bahawa mereka pernah melihat kelibat Arung Salamiah mengintai-ngintai di gua tersebut seolah-olah menunggu kedatangan Tanjung Kalang yang tidak kunjung tiba. 

Terdapat juga dakwaan lain yang mengatakan bahawa Arung Salamiah ghaib kerana telah menjadi salah seorang makhluk mistik yang menghuni gua Pulau Bohey Dulang. Tiada siapa yang tahu sejauh mana kebenarannya.

Sejak hari itu, kisah Arung Salamiah di Pulau Bohey Dulang terus meniti dari mulut ke mulut. Apatah lagi jika sesiapa sahaja yang berkunjung ke pulau ini akan bertemu dengan sebuah jendela menghadap ke laut yang sudah menjadi batu dan disisinya duduk seekor anjing yang turut sama menjadi batu. 

Menurut cerita lagi terdapat 7 perigi turut terdapat di pulau itu dan terdapat alat muzik Gabbang yang telah menjadi batu dan kesemuanya wujud sehingga hari ini bukti menunjukkan kebenaran kehadiran Dayang Salamiah di pulau itu. 

Kisah ini adalah lagenda yang sangat terkenal di Daerah Semporna dan telah disampaikan secara turun temurun melalui lisan dan bertulis, kisah ini juga telah dibukukan dan diterbitkan bagi memelihara ianya daripada pupus dilupai masyarakat dimasa hadapan. 

Kini Kisah Arung Salamiah menjadi pertunjukan teater muzikal tahunan semasa Pesta Regatta Lepa di Daerah Semporna. Selain itu, pertandingan Ratu Lepa serta Anugerah Arung Salamiah juga diadakan semasa Pesta Regatta yang berlangsung pada setiap bulan April itu. 

Komen

Terbaru Lebih lama