Sekolah Agama Terawal Di Semporna


Sekolah Agama Kampung Balimbang telah dibina pada tahun 1966 / 1967 yang telah diasaskan oleh Almahrum Ayahanda Hj Abu Bakar Bin Hj Hasan dengan sokongan adik beradik beliau dan seluruh keluarga Kampung Balimbang pada ketika itu yang amat menitik beratkan pendidikan agama khususnya dikalangan anak-anak tempatan. 

Maka terbinalah sekolah agama yang pertama di Daerah Semporna dan yang terawal di Pulau Bum-Bum dengan diberi nama Madrasah Al-Bakaria Al-Islam Kg Balimbang. Sebuah bangunan kayu yang berkeluasan sederhana dengan dua buah bilik darjah yang setiap satunya boleh menampung pelajar seramai 40 hingga ke 50 orang.

Semangat ingin menjadikan Madrasah Al-Bakariah Al-Islam dapat melahirkan pelajar-pelajar yang berkemahiran tinggi dalam pendidikan dan ilmu agama islam, Almahrum Ayahanda Hj Abu Bakar Bin Hj Hasan dengan bantuan rakan kongsi telah berangkat ke Singapura untuk mendapatkan tenaga pengajar yang bertauliah, dan dua orang anak muda yang berkelulusan agama dari Sekolah Agama Al-Junid Singapura iaitu Ustaz Alawi Bin Adnan ( Datuk Hj Alawi Bin Adnan - Mantan Mufti Negeri Sabah ) dan Ustaz Ibrahim Bin Hj Abd Rahman telah berjaya dibawa ke Semporna Sabah sebagai tenaga pengajar pertama di Madrasah Al-Bakaria Al-Islam Kampung Balimbang Semporna.

Memandangkan pembinaan dan pembelajaran di madrasah ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan khususnya kehadiran anak-anak dari sekitar kampung yg berdekatan iaitu Kampung Samal-Samal dan Kampung Lo'ok, maka Almahrum Ayahanda telah kembali semula ke Singapura untuk mendapatkan tenaga pengajar tambahan dan telah berjaya membawa Ustaz Idris bersama isteri dan Ustaz Usman juga bersama keluarganya ke Semporna Sabah. 

Maka tercatat lagi satu sejarah bilamana Madrasah Al-Bakaria Al-Islam Kg Balimbang telah menjadi sekolah agama yang pertama mendapatkan tenaga pengajar bertauliah dari Semenanjung / Singapura pada ketika itu. Pembelajaran di Madrasah Al Bakaria Al Islam Kg Balimbang terus berjalan dengan lancarnya walaupun pada ketika itu infrastruktur, penggunaan bahan mengajar agak begitu terhad tidak seperi masa kini yang serba lengkap dengan teknologi yang serba canggih. 



Pada tahun 1971, Ustaz Alawi Bin Adnan telah ditawarkan oleh pihak Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) sebagai tenaga pengajar di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna dan sesi pembelajaran di Madrasah Al Bakaria Al Islam Kg Balimbang telah diteruskan oleh anak-anak didiknya sendiri terdiri daripada Ustaz Hj Johari Hj Hamzah, Ustaz Harun Bin Ajarun dan Ustazah Sairatul Bte Ali Basha. 

Alhamdulillah, Madrasah Al Bakaria Al Islam Kg Balimbang telah banyak melahirkan pelajar-pelajar yang berjaya dalam ilmu Al-Quran. Selain beberapa orang yang telah menjadi tenaga pengajar, madrasah ini juga telah melahirkan peserta-peserta dan juri Majlis Tilawah Al-Quran hingga ke peringkat bahagian Tawau dan Negeri Sabah. 

Diantaranya ialah Ustazah Sairatul Ali Basha, Ustazah Masni Hj Mumin dan Ustaz Abdullah Hj Hamzah yang sering dipanggil untuk menjadi juri pada setiap Majlis Tilawah Al-Quran khususnya diperingkat daerah dan bahagian. Salah seorang bekas pelajar yang tidak pernah ketinggalan untuk mengikuti setiap Majlis Tilawah Al-Quran sehingga kini dan sering mendapat tempat ialah Puan Hajjah Nuriah Hj Abd Fatta.

Semoga usaha murni Almahrum Ayahanda Hj Abu Bakar Hj Hasan membina Madrasah Al Bakaria Al Islam mendapat keberkatan Allah SWT dan muda mudahan pahala amal jariahnya akan terus mengalir untuk Almahrum Ayahanda, atok nenek, arwah pakcik makcik dan semua keluarga Kampung Balimbang yang telah bersama-sama memerah kudrat keringat dalam memertabatkan pendidikan Agama Islam dikalangan keluarga dan penduduk setempat seterusnya mengangkat nama Kampung Balimbang sebagai salah satu mercu / lambang penyebaran pendidikan Agama Islam di Daerah Semporna. 

  • Penulis & Gambar Asal Keluarga Kampung Balimbang

Post a Comment

Terbaru Lebih lama