Cerita Rakyat Semporna - Kisah Pulau Kapal


Pada zaman dahulu, diceritakan orang bahawa lautan disekitar Daerah Semporna itu terkenal sebagai laluan kapal dagang yang datang dari China, Negara Timur Tengah dan beberapa negara lain. Kapal-kapal ini membawa pelbagai jenis muatan dan biasanya dikendalikan dengan cekap oleh ratusan anak kapalnya.

Pada suatu hari, datanglah sebuah kapal yang sangat besar dan sarat dengan muatan berdekatan Pulau Timbun Mata. Kapal itu kononnya datang dari tanah arab dan diketuai oleh seorang nahkoda yang sangat kuat ilmu agamanya. Kerana akan waraknya nahkoda itu maka diceritakan setiap yang diperkatakan olehnya akan kerap dimakbulkan.

Jikalau katanya, jatuhlah daun yang ada diatas pokok maka dengan izin Tuhan daun itu pun akan terjatuhlah diatas bumi. Kalau katanya, patahlah sayap burung itu supaya tidak boleh terbang maka patahlah sayap burung tersebut dan jatuhlah ia ke sungai.

Sungguh hebat sekali ilmu yang dimiliki Syarif itu, kerana hal tersebut dia tidak gentar untuk belayar ke mana sahaja sehinggalah kapal besarnya itu menghampiri sebuah pulau yang dikenali sebagai Pulau Timbun Mata.


Pulau Timbun Mata ketika itu kononnya terkenal kerana kesuburan tanahnya untuk bercucuk tanam. Apa sahaja yang ditanam diatas tanah akan tumbuh dengan subur dan berbuah lebat. Sehingga pulau itu terkenal dan menjadi tumpuan penduduk kampung yang berdekatan yang mahu hidup sebagai petani.

Diceritakan orang juga kononnya sesiapa sahaja yang datang dan berhijrah ke pulau itu dan bekerja sebagai petani, maka mereka akan menjadi petani yang rajin dan setiap hari tidak jemu-jemu mengusahakan tanaman mereka.

Antara tanaman mereka yang paling menjadi adalah padi. Jenis padi yang mereka usahakan pula ialah Padi Bukit dan Padi Emas. Kedua jenis padi itu sentiasa memberi pulangan yang sangat baik kepada mereka.

Jika dilihat dari kejauhan buah Padi Bukit dan Padi Emas itu sememangnya kelihatan seperti kilauan emas apabila dipanah cahaya matahari. Setelah kapal itu berhenti dan berlabuh berdekatan dengan Pulau Timbun Mata, dia pun mengarahkan beberapa anak buahnya untuk turun ke Pulau Timbun Mata bagi mengambil sedikit padi tersebut.

***

Maka, tiga orang anak kapalnya pun berperahulah ke pulau tersebut, setelah mereka berkayuh sekian lamanya mengharungi ombak. Maka sampailah mereka ke pulau itu, mereka pun merasa sungguh takjub dengan suasana dan kesuburan tanah di pulau tersebut.

Mereka pun berjumpalah dengan petani-petani yang sedang menjaga padi-padi yang berbuah seperti emas itu. Mereka pun menceritakan niat datang untuk memohon agar diberikan sedikit padi untuk dibawa pulang ke kapal.

Tetapi malangnya, para petani itu tidak menghiraukan mereka dan sebaliknya hanya berprangsaka buruk terhadap anak-anak kapal yang diutuskan oleh syarif tersebut. Setelah seorang demi seorang petani ditemui, tiada seorang pun yang memberikan layanan yang baik melainkan layanan yang buruk.

Sehinggalah sampai kepada seorang petani yang berkulit gelap ( hitam ) dan bengis mukanya yang akhirnya memberikan dua karung padi untuk dibawa balik ke kapal meraka. Amatlah mereka bersyukur kerana pada akhirnya ada juga petani yang baik hati memberikan padi yang mereka hajati.


Mereka pun mengangkatlah dua karung padi tersebut dibahu lalu membawanya ke perahu lalu kembalilah mereka ke kapal tempat syarif itu sedang menunggu. Sesampai mereka di kapal, maka nahkoda tersebut pun mengarahkan beberapa anak kapalnya yang lain untuk membuka karung tersebut.

Kononnya diceritakan orang-orang tua, setelah karung itu dibuka alangkah terkejutnya nahkoda tersebut apabila mendapati bahawa yang dimuatkan didalam karung itu sebenarnya adalah bunga lalang.

Syarif itu pun sangat marah dan menyumpah supaya tanaman padi mereka yang berbuah keemasan itu bertukar menjadi lalang. Di sumpah lagi syarif itu supaya tanah subur tempat mereka bercucuk tanam dan menghasilkan buah-buah padi yang ranum itu bertukar menjadi batu, maka tanah itu dengan takdir Tuhan telah menjadi batu yang kering dan tidak subur.

Malah beberapa petani yang sedang membersihkan tanaman padi tersebut juga akhirnya turut sama menjadi batu. Walaubagaimanapun, turut diceritakan orang-orang tua bahawa kononnya tidak semua diantara mereka yang ada di Pulau Timbun Mata itu bertukar menjadi batu.


Ramai juga di antara mereka yang masih lagi kekal sebagai manusia dan salah seorang daripada mereka adalah seorang yang warak dan turut mempunyai ilmu batin yang tinggi.

Apabila dia menyedari bahawa padi anak-anak buahnya sudah bertukar menjadi lalang dan tanah yang subur itu pula bertukar menjadi batu akhirnya dia juga menyumpah kembali kapal tersebut menjadi batu.

Kapal yang menjadi batu itu masih lagi terdapat sehingga hari ini di perairan laut Daerah Semporna iaitu sebuah pulau kecil berdekatan dengan Pulau Timbun Mata. Lebih menghairankan lagi, bentuknya memang menyerupai sebuah kapal yang sangat besar dan kini ia dipanggil " PULAU KAPAL "

Manakala di puncak bukit Pulau Timbun Mata pula memang terdapat banyak batu-batuan besar dan lalang yang tumbuh liar. Cerita ini telah disampaikan secara lisan melalui cerita orang tua-tua terdahulu dan hari ini ianya telah pun dibukukan.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama