Lokot - Mee Dari Laut



Jom Kenali Apa itu Lokot @ Lukot

Terdapat sejenis makanan eksotik berasal dari laut yang sangat unik dikenali sebagai Lokot atau Lukot. Rupa dan bentuknya seakan-akan mee dan selalunya berwarna kehijauan.

Ianya juga turut dikenali sebagai Mee Laut dan ramai yang beranggapan ianya adalah sejenis rumpai laut tetapi sebenarnya BUKAN.

Lokot' atau Lukot' ini boleh ditemui banyak di sekitar lagun (kawasan air tenang/air pasang surut) iaitu berhampiran rumpai laut yang tumbuh liar.

Disebabkan itu ramai yang menyangka ianya merupakan salah satu jenis rumpai laut tetapi sebenarnya ianya adalah telur yang berasal daripada sejenis spesis slug laut (Gamat / Lintah Laut) yang dikenali sebagai Arnab Laut atau nama saintifiknya "Dolabella Auricularia


Rasa & Cara Untuk Makan

Lokot' atau Lukot ini mempunyai rasa seakan-akan seperti mee suhun, sama seperti Latok ianya akan dituai secara segar dari laut sebelum disediakan secara ringkas dengan mencampurkan beberapa bahan lain seperti lada, tomato, bawang, sedikit cuka, garam, limau dan akan dimakan secara mentah-mentah.

Ada juga yang memasak Lokot' atau Lukot' ini dijadikan seperti Mee Goreng, atau dimasak secara rebus. Sangat sesuai dimakan bersama dengan semua kombinasi makanan lain seperti ikan rebus, kerang masak rebus, Telur Ikan, Bobohan dan lain-lain lagi.



Selain di Semporna, ianya juga boleh ditemui di sekitar Pantai Timur Sabah seperti di Kunak dan Lahad Datu kerana majoriti masyarakat Bajau dan Suluk memakan Lokot' atau Lukot. Selain itu segelintir masyarakat yang tinggal di kepulauan Filipina dan Indonesia juga mengenali dan memakannya. 

Namun hari ini di Semporna, juadah ini sudah kian dilupai dan jarang untuk ditemui, malahan masyarakat yang menjual Lokot' atau Lukot' sudah berkurang akibat daripada kurangnya permintaan dan sumber Lokot' atau Lukot' itu sendiri.

Adapun mereka yang masih lagi mengamalkan makan mee laut ini haruslah turun sendiri untuk mencari semasa air laut sedang cetek.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama