Temilok - Makanan Eksotik Dari Batang Kayu Bakau


Temilok atau Kejumah adalah sejenis cacing bakau dan merupakan
 makanan eksotik yang boleh ditemui khususnya di Kepulauan Borneo. Walaupun ia bukanlah sejenis makanan atau juadah utama namun makanan ini sangat terkenal hingga ke Indonesia dan Filipina.

Cacing Kayu ini dikenali sebagai Tambelo/Tembilok di Papua, Tamilok di Filipina, dan ada juga suku kaum bajau yang memanggilnya sebagai Tambelok dan Tambiluk dalam bahasa Suluk dan selalunya digunakan untuk umpan sewaktu memancing ikan. Di Australia pula mereka menggelarnya sebagai Mangrove Worms atau Shipworms.
  
Ianya merupakan hidangan eksotik kegemaran masyarakat Lundu di Sarawak.

Bagi mereka yang pertama kali melihat Temilok ini, pasti akan rasa sedikit tidak senang atau geli kerana bentuknya yang panjang dan licin. Temilok juga mempunyai bahagian mata yang berbentuk bulat dan bahagian ekor yang berbentuk seperti dua tulang kecil. Diameternya pula agak-agak sebesar sebatang pen atau besar sedikit daripada itu.


Temilok adalah sejenis haiwan yang menyerupai cacing dan boleh dijumpai dalam kayu bakau. Ada yang menggambarkan rasanya seperti telur separuh masak, tiram atau siput buluh/ambal. Ianya boleh dimakan secara mentah mahu pun dimasak dengan cara rebusan bersama serai dan lauk berempah.

Walaupun kelihatan seperti cacing, Temilok atau dalam nama saintifiknya "Bactronophorus Thoracites" sebenarnya bukanlah serangga tetapi adalah sejenis haiwan "Moluska"

Dikenali sebagai "Shipworm", temilok tergolong dalam keluarga "Teredinidae" iaitu kepah laut masin dengan badan yang lembut, panjang dan tanpa cangkerang. Ia juga merupakan sejenis kerang penebuk kayu (wood-borer shellfish).


Kebaikan Memakan Temilok / Kejumah

Temilok mempunyai banyak khasiat dan dapat membekalkan tenaga kepada sesiapa yang memakannya. 

Ia dikatakan memiliki khasiat pemberi tenaga yang tinggi, dapat membekalkan tenaga secara luaran mahupun dalaman kepada manusia dalam bentuk glukosa, glikogen dan lemak sekaligus sebagai makanan pemberi stamina.

Tambahan lagi, Ianya dikatakan mempunyai khasiat yang mampu mencegah banyak penyakit antaranya seperti penyakit malaria, batuk, selsema dan sakit belakang. Di Papua memakan Temilok baik untuk para ibu kerana ianya mampu untuk meningkatkan penghasilan susu. 

Menariknya, ia juga dikhabarkan boleh menaikkan selera makan serta nafsu.


Hukum Memakan Temilok / Kejumah 

Banyak persoalan mengenai Temilok timbul dalam fikiran. Misalnya bagi kita yang beragama Islam, adakah Temilok ini halal untuk dimakan?

Bagi menjawab persoalan tersebut, mantan Mufti Wilayah Persekutuan dan Menteri Agama, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah mengupas mengenai hukum memakan Temilok menerusi laman webnya, Maktabah al-Bakri.

Cacing Temilok yang dikenali juga sebagai Kejumah hukumnya adalah Harus dimakan kerana ianya termasuk dalam haiwan jenis air berbeza dengan hukum memakan Ulat Mulong.

Justeru itu, ia adalah halal dimakan tanpa perlu kepada sembelihan kerana tergolong dalam kategori hidupan satu alam yang tidak dapat hidup tanpa sumber air, bangkainya juga dikira suci sebagaimana ikan. 

Pendapat ini juga adalah selari dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) bertarikh: 20 November 2014. Semoga bermanfaat untuk kita semua...

Post a Comment

Terbaru Lebih lama