Sebuah bangunan yang pernah dijadikan Muzium di kawasan pekan daerah ini musnah dalam insiden kebakaran, di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.38 petang.
Katanya, seramai enam anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam.
“Sebaik tiba, sebuah bangunan jenis tidak kekal dipercayai Muzium yang tidak beroperasi terbakar dan musnah keseluruhannya.
“Pasukan bomba segera menjalankan operasi memadam menggunakan sumber air daripada jentera bomba supaya api tidak merebak ke kawasan berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Menurutnya, kebakaran hanya melibatkan kemusnahan bangunan dan harta benda sahaja kerana Muzium tersebut sudah lama tidak beroperasi.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan api terpadam sepenuhnya dan kawasan kebakaran selamat untuk orang awam sebelum operasi ditamatkan pada jam 4 petang.
“Pasukan bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian akibat insiden kebakaran tersebut,” katanya.
Untuk makluman bangunan ini bukanlah hanya sebuah bangunan muzium semata-mata, namun ianya memang bangunan sejarah peninggalan sejak zaman pemerintahan British di Semporna.
- Baca Selanjutnya Galeri Warisan Semporna
Catat Ulasan