Megalodon - Jerung Raksasa Yang Telah Pupus


Bumi jutaan tahun dulu mempunyai pelbagai jenis haiwan yang disifatkan sebagai raksasa kerana saiz yang sangat besar, mungkin kita hanya tahu tentang haiwan dinosaur yang sudah cukup popular dikalangan masyarakat tempatan.

Namun terdapat sejenis ikan jerung yang dikenali sebagai Megalodon, haiwan ini cukup besar untuk diletakkan dalam golongan haiwan raksasa. Pupus kira kira 2.6 juta tahun yang lalu, Megalodon merupakan raksasa yang dikatakan boleh membesar sehingga 18 meter panjang.


Louis Agassiz merupakan orang yang bertanggungjawab memberikan nama haiwan ganas ini sebagai Megalodon, nama ini sebenarnya membawa maksud '' Gigi Yang Besar " disebabkan oleh penemuan gigi haiwan tersebut.

Megalodon pada satu ketika dahulu berenang di kebanyakan lautan bumi kecuali dikawasan sejuk dan ianya dipercayai pupus kerana air laut yang surut dan terjadinya zaman ais. Ikan yang ganas ini berkemungkinan makan hidupan laut yang lain seperti ikan paus.

Hidupan purba ini menggunakan gigi yang sangat kuat dan tajam untuk mencengkam mangsa, untuk perbandingan manusia hanya mampu mengigit dengan kekuatan 1317 newton manakala Megalodon ini pula mampu mengigit mangsanya dengan kekuatan 180,000 newton, berlipat kali ganda lebih besar nilainya jika dibandingkan dengan manusia normal.


Kajian yang dibuat juga mendapati bahawa ikan jerung ini juga dikatakan mempunyai 276 gigi pada rahangnya dan antara haiwan purba yang paling ganas di dalam lautan. Dalam kajian yang dijalankan, Megalodon ini dikatakan mempunyai berat badan yang boleh mencapai hampir 60 metrik tan dan mampu berenang di dalam lautan sehingga 18 kilometer sejam.

Masih banyak yang tidak diketahui berkenaan Megalodon ini dan kajian lanjutan masih lagi berjalan untuk memastikan jerung gergasi ini akan mempunyai lebih banyak fakta saintifik.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama