Gua Susu Di Semporna


Kali ini Semporna Mari ingin kongsikan tentang sebuah gua yang dikenali sebagai Gua Susu atau ada juga memanggilnya sebagai Gua Duruh yang terletak berhampiran diantara Sekolah Kebangsaan Pekan 2 dan Kampung Simunul . 

Mendapat akan namanya kerana pada waktu dulu terdapat takungan air (perigi) yang sejuk didalamnya yang kadang-kadang berwarna keputihan seperti air susu.

Air tersebut sebenarnya terhasil daripada batu-batuan (Batu Kapur) yang menitiskan air berwarna keputihan ketika atau selepas hujan kemudian bertakung menjadi sebuah perigi secara semula jadi. 

Mungkin juga gua tersebut mendapat namanya adalah kerana disebabkan dulu diluar gua ini terdapat banyak pokok buah susu yang tumbuh liar. 


Diceritakan oleh penduduk setempat bahawa gua ini sebenarnya pada waktu dulu adalah merupakan salah satu tapak kubu peninggalan askar jepun. Betul atau tidak kenyataan tersebut namun mungkin ada betulnya memandangkan terdapat kuburan askar jepun yang terletak berhampiran padang Sk Pekan 2 bersebelahan paya bakau.

Ada juga yang bercerita bahawa gua ini sebenarnya tembus ke gua yang terletak disekitar balai bomba Semporna. Ada juga yang berkata sebelum ini orang terdahulu selalu menggunakan laluan gua ini untuk tembus ke kem PPH (pegawai polis hutan) dulu di jalan kastam dan dibawah Jabatan Tanah.

Dari luar gua ini kelihatan seperti kecil namun sebenarnya didalamnya terdapat 3 pintu gua dan sebuah perigi selain sekelilingnya yang sejuk dan tidak sempit seperti yang kita lihat dari luar. Selain itu, terdapat lagi sebuah gua yang lebih kecil disebelah gua ini.

Seingat Min, sekitar 90an gua ini pernah menjadi lokasi untuk penduduk disekitarnya mendapatkan bekalan air untuk mandi, mencuci pakaian, air minum mahupun untuk tujuan berubat. 


Gua ini juga menyimpan mitos seramnya tersendiri, diperkatakan kepada sesiapa yang datang ke gua ini perlulah meminta izin terlebih dahulu jika tidak ingin diganggu memandangkan ada yang mendakwa pernah ternampak penunggu berupa kelibat mahkluk lembaga hitam berlegar didalamnya atau lembaga keluar dari gua tersebut berbaris seperti askar jepun yang telah mati.

Untuk kali terakhir Min datang ke gua ini, keadaanya sudah tidak sama lagi seperti yang dulu. Mungkin juga terkesan akibat disekitar gua ini yang dulunya pernah dijadikan tapak pelupusan sampah sebelum dipindahkan ke kawasan baharu yang jauh dari penempatan dan perkampungan.

Gua ini yang dulunya indah kini telah bertukar rupa menjadi seakan gua yang mati, didalamnya penuh dengan sampah sarap dan periginya juga telah kering. Paling menyedihkan menurut Pck Harun bukan nama sebenar yang menemani Min, gua ini juga selalu digunakan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan aktiviti tidak bermoral seperti hisap gam dan lain-lain lagi.

Sungguh sayang kerana gua ini hanya tinggal kenangan, bagi para pelajar yang pernah bersekolah di Sk Pekan 2, penduduk yang tinggal berdekatan atau mereka yang dulunya selalu datang bermain bola ke padang Sk Pekan 2 pasti tahu akan kewujudan gua ini. Dulu-dulukan Matlan Marjan pernah tinggal di Sk Pekan 2 sambil melatih dan mencurahkan ilmu kepada anak-anak muda di Semporna.

Maaf demi keselamatan Min tidak berani masuk kedalam nanti ada binatang buas atau beracun, meremang bulu roma !!! untuk makluman juga kawasan tempat gua ini sekarang sudah banyak rumah disekitarnya.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama