Sabod' - Selit Wang Di Jari Penari


Sabod atau savod bermaksud pemberian hadiah atau saguhati dimana jumlahnya bergantung kepada keikhlasan dan kemampuan seseorang yang memberi. 

Perkataan sabod ini berasal daripada perkataan "support' yang bermakna sokong. Mengikut adat dan kepercayaan ianya diberikan kepada pasangan pengantin bagi tujuan tanda sokongan kepada mereka berdua kerana mendirikan rumah tangga.

Selain itu sabod juga diberikan kepada para tetamu yang hadir bagi menyatakan tanda terima kasih / menghargai serta hormat kepada tetamu yang hadir. Ini adalah kerana ada dari mereka yang datang dari kawasan pendalam dan pulau-pulau berhampiran hanya semata-mata untuk memeriahkan majlis keramaian.

Dengan pemberian Sabod' ini dapatlah meringankan sedikit beban tetamu yang datang dari jauh


Sabod Dalam Masyarakat Hari Ini

Setelah munculnya sistem wang dan duit syiling maka adalah lebih mudah bagi seseorang untuk memberikan hadiah saguhati (Sabod') dengan menyelitkan duit dicelah jari. Ada juga yang memanggilnya sebagai "Panjian".

Hari ini sabod (Wang Sabod) lebih sinonim bermaksud pemberian hadiah berupa wang yang diselitkan di jari sebagai tanda hormat dan terima kasih kepada penari yang mengalai menghiburkan tetamu.

Bagi pasangan pengantin pula, apabila tibanya upacara kemuncak pada hari perkhawinan iaitu ketika kedua mempelai melakukan persembahan igal (selalunya akan mengalai bersama ahli keluarga) selain diselitkan duit di jari, mereka juga akan dilambungkan duit sebagai tanda doa murah rezeki dan hidup bahagia kerana mendirikan rumah tangga. 

Tujuan pasangan pengantin melakukan persembahan igal adalah bagi menghormati, mengalu-alukan tetamu yang hadir, tanda terima kasih kepada nenek moyang, ahli keluarga, rakan-rakan dan para tetamu yang sudi datang dari jauh dan dekat.


Fakta Menarik Tentang Sabod

Sabod bukan sahaja diberikan pada hari majlis perkhawinan sahaja, tetapi akan diberikan kepada sesiapa sahaja yang pandai menari igal-igal di majlis keramaian lain.

Pemberian Sabod' ini tidak semestinya daripada tuan rumah sahaja, pengunjung lain yang hadir juga boleh memberi Sabod' jika terpegun dengan gerakan tari igal yang dipersembahkan. Ianya juga tidak terhad hanya kepada kaum wanita sahaja bahkan lelaki juga.

Selain itu Sabod' juga salah satu cara untuk mendorong kanak-kanak agar tertarik dan berminat untuk mula belajar mempersembahkan tarian igal. Dengan cara ini kanak-kanak akan mula menjinak-jinakkan diri dalam tarian igal dan secara tidak langsung akan mempertahankan budaya tinggalan nenek moyang.

Dalam erti kata lain Sabod' merupakan perkongsian rezeki "Apabila tetamu datang ke majlis membawa hadiah, tetamu balik pun membawa hadiah (Sabod')" 

Sehingga hari ini Sabod' antara perkara penting di majlis perkhawinan khususnya dan majlis-majlis keramain lain kerana ianya adalah tradisi nenek moyang yang diwarisi secara turun temurun.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama