Nostalgia Kad Raya Singkap Kenangan Aidilfitri Waktu Dulu


Pada waktu dulu, setiap kali 1 Syawal bakal diraikan pasti orang ramai akan mula berpusu-pusu untuk mula menghantar atau bertukar kad pengganti diri (kad hari raya).

Namun berbeza dengan hari ini, akibat daripada kepesatan teknologi digital membuatkan kad pengganti diri (kad ucapan raya) semakin dilupakan. Realiti tersebut telah banyak merubah nostalgia kad ucapan hari raya yang dulunya amat popular dan sinonim terhadap masyarakat kita di Malaysia.

Setiap hari raya kunjung tiba, kedatangan posmen setiap hari pasti dinanti-nantikan dengan harapan menggunung dia akan membawa kiriman kad ucapan hari raya. 

Sang penerima pasti akan merasa puas lebih-lebih lagi jika menerima puluhan sampul surat berisi kad hari raya, walau tidak bersua namun terlepas jugalah perasaan rindu yang lama tersimpan. Perasaan kasih dan sayang tetap tersimpul dengan keduanya saling rendah hati bermaafan.


Kad raya bukanlah sekadar kad bersaiz empat segi tepat dengan dua halaman serta corak yang bermotifkan hari raya, namun ia adalah pengganti diri yang disampaikan melalui ingatan tulus ikhlas yang dizahirkan oleh pengutus kepada si penerima.

Di dalamnya berisi pelbagai rangkap pantun dengan ayat menarik menggambarkan kegembiraan, kedukaan, kesyukuran dan memohon kemaafan dicoret pada kad hari raya untuk tatapan insan-insan tersayang, keluarga mahupun sahabat handai.

Inilah peranan sebenar kad hari raya, merupakan peluang untuk "buang yang keruh, ambil yang jernih" iaitu dengan membudayakan kiriman ucapan dan berbalas-balas kad ucapan raya untuk saling bermaafan lebih-lebih lagi bagi mereka yang berjauhan antara keduanya.

Koleksi kad raya yang diterima juga selalunya akan dijadikan sebagai hiasan dinding bagi memeriahkan lagi suasana di hari raya dan menghargai usaha yang dilakukan oleh pengirim sebagai tanda rindu dan sayang.


Kini, dengan kehadiran teknologi yang sedang berkembang dengan pesat, tradisi menghantar kad raya semakin dilupakan dan tidak lagi dipraktikkan.

Mereka yang lahir selepas tahun 2000, tidak lagi tahu bagaimana perasaan menerima dan menghantar sendiri kad raya kerana rata-rata kini lebih gemar menghantar e-kad melalui WhatsApp dan aplikasi mudah lain kerana ianya lebih senang dan pantas.

Mungkinkah tiada lagi tempat kad hari raya dihati masyarakat kita pada hari ini, namun semoga warisan budaya ini yang dapat memupuk perhubungan erat diantara sesama ahli masyarakat satu ketika dulu tidak akan pupus dilupakan kerana ianya pernah mewarnai suasana hari raya dan dipraktikkan selama bertahun-tahun oleh seluruh lapisan masyarakat sejagat tanpa mengira umur, bangsa, dan agama.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama