Perkhidmatan Feri Yang Pertama Ke Pulau Bum-Bum Semporna


Akhirnya setelah sekian lama, penantian yang ditunggu-tunggu khususnya bagi penduduk di Pulau Bum-Bum apabila sebuah feri khas telah diperkenalkan.

Feri tersebut yang akan dijangka beroperasi bermula hari raya tahun ini (2024) akan menghubungkan tanah besar Semporna dan Pulau Bum-Bum iaitu salah satu pulau yang paling ramai penghuninya dan antara terbesar di Semporna.

Ianya adalah atas daya usaha dan keprihatinan PPM Sulabayan Datuk Haji Abd Hajan Hj Gurimbang merangkap pengerusi PGRS Sulabayan. Feri tersebut merupakan sebuah kapal jenis LCT Landing Craft Transport yang digunakan untuk mengangkut kargo dan personel dari kapal bersaiz lebih besar ke daratan atau sebaliknya yang kini berfungsi sebagai feri.

Feri tersebut yang mampu memuatkan 8 kenderaan kecil dalam satu-satu masa akan dijangka memudahkan pergerakan kenderaan keluar masuk dari Pulau Bum-Bum ke tanah besar Semporna dan sebaliknya.

Masa operasi bermula jam 6 pagi sehingga 6 petang dan kadar tambang serendah Rm 30.00 bagi setiap kenderaan. Feri ini juga berkemampuan untuk menampung 4 biji lori yang mengangkut barangan runcit termasuk motorsikal.


Sebelum ini, perkhidmatan feri dari tanah besar Semporna ke Pulau Bum-Bum memang akan dipertimbangkan secara serius oleh pihak kerajaan sementara menunggu cadangan jambatan pulau bum-bum menjadi kenyataan.

Ini adalah kerana kegagalan sebelum ini dalam memastikan projek mega tersebut menjadi realiti membuatkan penduduk di Semporna sehingga kini masih lagi tertunggu-tunggu bilakah pembinaan jambatan tersebut akan dimulakan.

Ramai yang meletakkan harapan tinggi agar impian melihat jambatan tersebut akan dibina kelak memandangkan Pulau Bum-Bum secara geografinya adalah antara pulau terbesar yang memiliki jumlah penduduk yang ramai selain jambatan tersebut diyakini mampu menjadi pemicu perkembangan pesat terhadap pelbagai sektor ekonomi dan pembangunan dimasa akan datang.


Menurut kenyataan penduduk yang tinggal di Pulau Bum-Bum, mereka menghadapi pelbagai masaalah terutama terhadap kos yang tinggi dari segi pengangkutan berulang alik dari Pulau Bum-Bum ke tanah besar Semporna dan sebaliknya.

Dengan adanya perkhidmatan feri ini, sedikit sebanyak dapat membantu penduduk untuk berulang alik menaiki kenderaan sendiri seperti guru-guru, jabatan-jabatan kerajaan dan penduduk yang ingin membawa kenderaan milik mereka sendiri.

Ada juga yang mempertikaikan keadaan jalan raya di pulau tersebut, banyak jalan yang rosak, berlubang, sempit dan perlu diambil perhatian untuk dibaiki memandangkan dimasa akan datang jumlah kenderaan di pulau tersebut akan mendadak naik. Begitu juga bagi pengusaha bas sewa dan kereta sapu di Pulau Bum-Bum yang melontarkan sedikit rasa khuatir memandangkan pendapatan harian mereka akan terjejas kelak.

Walaubagaimanapun dengan wujudnya perkhidmatan feri ini, yang pasti ianya akan membawa perubahan di Pulau Bum-Bum khususnya dari segi pengangkutan dan merancakkan ekonomi di pulau tersebut. Penduduknya yang rata-rata menggunakan motorsikal juga boleh menggunakan kenderaan tersebut di sekitar tanah besar Semporna. 

Jesteru itu, dengan adanya perkhidmatan feri ini rata-rata penduduk di Pulau Bum-Bum menzahirkan ucapan ribuan terima kasih dan bersyukur dengan kemudahan yang telah disediakan.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama