Panggung Wayang Laco, SRJK(C) Nyuk Hwa & Hotel Sea View


Ini adalah sebuah gambar yang sangat bernilai dan penuh nostalgia, merakam kenangan bersejarah di Daerah Semporna suatu ketika dahulu yang menampilkan bangunan Panggung Wayang Laco, Sekolah SRJK(C) Nyuk Hwa dan juga Hotel Sea View.

Ketiga-tiga bangunan ini bukan sekadar binaan kayu dan batu semata-mata, tetapi pernah menjadi nadi hiburan masyarakat, tempat pertemuan, medan mencipta kenangan serta saksi kepada sebuah zaman yang kini hanya tinggal dalam ingatan dan cerita orang-orang lama.

Pada era 1960-an hingga 1980-an, suasana Semporna memang agak jauh berbeza. Jalan rayanya belum sesibuk hari ini.
 

SRJK (C) Nyuk Hwa 

Dulu dikenali Sebagai SJK Hua Chiao

Ketika itu bukan sahaja sebuah sekolah Cina yang terkenal, tetapi juga pusat kegiatan masyarakat. Dewan besar di belakang sekolah sering menjadi lokasi sandiwara bangsawan yang dibawa oleh kumpulan pelakon dari luar daerah. 

Menurut cerita Tuan Haji Abdul Rahman, setiap kali persembahan berlangsung, dewan itu akan penuh sesak hingga ada penonton memanjat jendela semata-mata mahu melihat aksi pelakon di atas pentas. 

Orang datang dari berbagai kampung ada yang menaiki basikal, berjalan kaki, malah ada yang datang dengan perahu dari pulau-pulau berhampiran.

Gambar Sekadar Hiasan

Di halaman sekolah pula terdapat gelanggang bola keranjang yang menjadi tempat anak-anak muda berkumpul setiap petang. Kadang-kadang gelanggang itu bertukar menjadi pentas gusti ala WWF. Budak-budak kecil akan menjerit ketakutan melihat “si Badang” membaling lawan ke lantai sambil disorak penonton. 

Bagi generasi lama Semporna, Nyuk Hwa bukan sekadar sekolah, tetapi tempat lahirnya pelbagai cerita tempat orang menunjuk hero, tempat budak-budak bergaduh kononnya mahu “settle” di padang sekolah Cina, dan juga tempat masyarakat berhimpun menyaksikan hiburan yang jarang diperoleh ketika itu.



Hotel Sea View


Tidak jauh dari situ pula berdirinya sebuah hotel yang dikenali sebagai Hotel Sea View, sebuah bangunan yang cukup gah pada zamannya. 

Hotel ini menurut cerita orang lama seperti Cikgu Halim Bandan atau pemilik akaun FB Ibrahim Unggah pernah menjadi tempat penginapan artis-artis terkenal Tanah Melayu seperti Allahyarham Tan Sri Datuk P. Ramlee, Puan Sri Datin Saloma, Primadona Sriwati Latifah Omar, Datuk Dj Dave dan ramai lagi ketika mereka datang membuat persembahan di Semporna. 


Bayangkan bagaimana gemparnya pekan kecil ini apabila seniman terkenal negara turun berjalan di kaki lima hotel sambil disapa masyarakat tempatan.

Hotel ini juga menyimpan kisah-kisah hiburan yang luar biasa. Menurut perkongsian Tuan Haji Abdul Rahman, dirinya masih lagi mengingati seorang ahli silap mata…

Gambar Sekadar Hiasan

Yang pernah membuat persembahan di situ, matanya ditutup, lalu beliau melompat dari tingkat satu hotel ke halaman bawah sebelum memandu kereta mengelilingi kedai tanpa melanggar apa-apa. 

Orang ramai bersorak, bertepuk tangan dan ketawa kagum melihat aksi yang dianggap sangat hebat pada masa itu. Ketika hiburan moden belum wujud, pertunjukan seperti inilah yang menjadi buah mulut masyarakat berhari-hari lamanya.


Panggung Wayang Laco (Ah Thiam)


Namun, antara ketiga-tiga bangunan itu, Panggung Wayang Laco mungkin paling kuat hidup dalam ingatan masyarakat Semporna. Di sinilah orang ramai ketawa, menangis, bersiul dan jatuh cinta kepada dunia filem. 

Jika tayangan filem Hindustan diadakan, tiket akan habis dijual walaupun tayangan lewat malam jam 12 tengah malam. Nama-nama seperti Shammi Kapoor, Dev Anand, Shashi Kapoor, Helen, Asha Parekh dan Sharmila Tagore menjadi kegilaan ramai. 

Esok paginya, akan kelihatan budak-budak lelaki meniru gaya rambut pelakon Hindustan, manakala gadis-gadis pula cuba mengikut fesyen heroin filem yang mereka tonton malam sebelumnya.

Gambar Sekadar Hiasan

Yang paling diingati tentunya “Kelas kambing” iaitu tiket paling murah berharga hanya 50 sen. Tempat duduknya bukan kerusi empuk, tetapi sekadar ruang di celah kiri dan kanan panggung. Budak-budak sekolah sanggup mengikat perut semata-mata mahu menonton wayang. 

Pemilik akaun Facebook Andi Zainal juga melontarkan perkongsian pengalaman beliau mengatakan jika ada yang jika tidak cukup duit, mencari jalan masuk melalui belakang tandas secara haram. 

Kalau bernasib baik tidak terserempak dengan penjaga wayang, arwah Pakcik Hassan, maka lepaslah mereka masuk. Tetapi kalau tertangkap, memang nasib “labu” jawabnya.


Panggung Wayang Laco bukan sahaja menayangkan filem Hindustan, tetapi juga filem Tagalog seperti lakonan Lito Lapid dan Jess Lapid yang cukup popular ketika itu.

Ada pelajar yang sanggup ponteng atau datang lewat ke sekolah semata-mata mahu menonton wayang pagi. 

Bagi mereka, harga tiket 50 sen itu sudah cukup menghadiahkan dunia yang penuh warna dan imaginasi.Kini, sebahagian bangunan itu mungkin sudah berubah, ada yang hilang ditelan masa, dan ada yang tinggal rangka kenangan. Tapi bangunan pawagam ini telah musnah terbakar. 

Namun bagi generasi lama Semporna, SRJK (C) Nyuk Hwa, Hotel Sea View dan Panggung Wayang Laco tetap hidup dalam ingatan sebagai simbol sebuah zaman yang penuh kemeriahan, kesederhanaan dan keakraban masyarakat.

Untuk makluman, segala pengalaman dan kenangan yang di kongsi adalah hasil melalui pandangan individu-individu yang pernah hidup sewaktu era 3 bangunan ini masih lagi wujud. (Sumber Post Bertarikh 9 September 2018 di Laman Sosial Facebook)
Terbaru Lebih lama