Maaf, Sedang Dikemaskini Terdapat Beberapa Artikel Yang Mengalami Masaalah Teknikal

Harap Maklum....

Kisah Penunggu Di Pulau Sipadan


Pulau Sipadan, sebuah permata di tengah Laut Celebes, bukan sahaja terkenal dengan keindahan dasarnya yang menakjubkan, malah turut menyimpan seribu satu rahsia yang tidak ramai tahu. 

Di sebalik kejernihan airnya, tersimpan kisah lama yang diceritakan turun-temurun oleh moyang orang terdahulu sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu. 

Menurut cerita, pulau ini pernah dianggap berpenunggu. Namun, penunggu yang dimaksudkan bukanlah manusia, hantu, atau jin tetapi seekor makhluk laut gergasi yang dipercayai sebagai sotong kurita raksasa, persis legenda kraken yang sering diperkatakan dalam mitos pelaut.


Hilangnya Sampan Misteri

Kisah bermula dengan tiga orang nelayan yang buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke Pulau Sipadan. Mereka datang untuk menangkap ikan, lalu singgah ke daratan untuk mencari kayu api di hutan kecil yang ada di pulau itu. 

Anehnya, ketika mereka kembali ke pantai, sampan yang mereka naiki hilang tanpa jejak.

Mereka mencari ke sekeliling pulau, meninjau setiap ceruk dan pantai, namun sampan itu seolah-olah ghaib begitu sahaja. 

Mustahil ada orang yang mencurinya, kerana pulau itu tidak berpenghuni. 

Jikalau ada orang yang mencuri pun pasti mereka akan nampak sampan mereka yang sedang dilarikan ke mana-mana arah kawasan pulau itu tetapi mereka betul-betul hairan dan pelik kemana sampan tersebut menghilang walaupun mereka telah membuat pemantauan di keliling pulau itu namun tetap jua tidak menemui sebarang jejak.

Akhirnya, mereka terpaksa bertahan hidup di pulau tersebut beberapa hari, sehinggalah keluarga mereka datang mencari dan mereka pulang dengan sebuah kisah penuh tanda tanya.


Misteri Kapal Dagang

Beberapa tahun kemudian, rahsia kehilangan itu mula terungkap. Sebuah kapal dagang dari negara jiran telah tersadai di tepi pulau di mana sampan mereka pada waktu dulu hilang akibat dipukul ribut kuat. 

Namun, beberapa hari kemudian, sekumpulan nelayan yang sedang mencari ikan berhampiran pulau itu menyaksikan sesuatu yang mengejutkan apabila mereka melihat bangkai kapal besar itu ditarik perlahan-lahan ke dasar laut oleh satu makhluk yang tidak jelas kelihatan.

Kelihatan seperti tentakel sotong yang sangat besar sedang berpaut menarik kapal sebesar itu dan akhirnya tenggelam ke dalam lautan biru, meninggalkan para nelayan terpaku ketakutan.

Cerita itu dibawa pulang ke kampung, namun ramai yang tidak percaya. Mereka menyangka para nelayan tersebut hanyalah berkhayal. Tetapi, nelayan yang pernah tersadai di Pulau Sipadan dahulu nekad untuk menyiasat sendiri.


Sesampainya di sana, mereka mendapati hanya tinggal serpihan kapal, tiang layar yang patah, kain layar koyak, dan beberapa barang peribadi milik anak kapal yang berselerakan di persisiran pantai. 

Lebih mengejutkan, mereka menjumpai kesan seretan besar di terumbu karang, seolah-olah ada sesuatu yang sangat kuat menarik kapal itu ke dasar laut.

Mereka termenung memikirkan sesuatu yang mustahil, jika benar kapal sebesar itu pernah tersadai di pulau ini, bagaimana ia boleh hilang ditarik ke dasar laut, sedangkan pada zaman itu belum wujud teknologi yang mampu menggerakkan bangkai seberat berpuluh tan? 

Saat itulah mereka mula yakin, kisah para nelayan bukanlah omongan kosong, sebaliknya satu petanda bahawa Pulau Sipadan memang berpenunggu.

Pada waktu itu barulah mereka percaya, apa yang disangka dongeng rupa-rupanya mungkin benar.


Pulau Yang Dipelihara Penunggu

Sejak penampakan makhluk misteri itu, ramai nelayan tidak mahu lagi mendekati Pulau Sipadan. Mereka takut akan ‘penunggu’ yang mungkin sedang mengintai di balik lautan dalam.

Anehnya, kerana itulah ekosistem Pulau Sipadan kekal terpelihara, berbeza dengan pulau-pulau lain di sekitar Semporna yang sering diganggu oleh aktiviti manusia.

Hingga ke hari ini, kisah sotong kurita gergasi yang menjadi penunggu Pulau Sipadan masih menjadi misteri. 

Benar atau tidak, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui. 

Namun, cerita turun-temurun inilah yang menambahkan lagi aura mistik dan keistimewaan Pulau Sipadan sebagai sebuah pulau yang menyimpan rahsia di sebalik keindahannya.

  • Sumber : Muhammad Khalid Abu Bakar
Terbaru Lebih lama