Sagol / Sinagol

Sagol ( dialek Bajau) atau Sinagol (dialek Suluk) merupakan salah satu hidangan tradisional yang terkenal dalam kalangan masyarakat pesisir pantai di Pantai Timur Sabah, khususnya di daerah Semporna.

Ia merupakan salah satu makanan tradisional bagi masyarakat etnik Bajau & Suluk di Sabah. Perkataan “Sagol” dalam bahasa Bajau membawa maksud campuran atau sesuatu yang dicampur. Begitu juga dengan "Sinagol" dalam bahasa Suluk membawa maksud yang sama.

Hidangan ini lazimnya disediakan menggunakan ikan seperti ikan buntal, ikan pari atau ikan yu, yang mempunyai hati bersaiz agak besar dan menjadi antara bahan utama dalam penyediaan Sinagol. Kemudian ianya akan disediakan dengan cara di masak tumis kunyit.

Sagol @ Sinagol

Masyarakat Bajau dan Suluk di Pantai Timur Sabah terkenal dengan kepakaran mereka dalam bidang perikanan serta kemahiran menyediakan pelbagai jenis lauk, termasuk masakan berasaskan ikan beracun seperti Ikan Buntal.

Penyediaan Ikan Buntal memerlukan kemahiran khusus kerana racunnya perlu dibuang dengan teliti oleh tukang siang/masak yang berpengalaman bagi memastikan ia selamat untuk dimakan.

Kebiasaannya, masyarakat tempatan di Sabah menikmati sagol secara tradisional, iaitu dihidangkan bersama putu dan sianglag sebagai pelengkap hidangan. Menurut amalan penyediaan tradisi, ikan pari terlebih dahulu direbus sehingga empuk. 

Bahan-Bahan Membuat Sagol @ Sinagol

Sementara itu, bahan-bahan seperti serai, bawang, halia, kunyit dan cili padi yang telah dikisar akan ditumis bersama asam keping bagi membantu menghilangkan bau hanyir ikan pari.

Cara Penyediaan Sagol
  • Ikan dibersihkan terlebih dahulu dengan membuang lapisan kasar pada kulitnya, kemudian isi ikan diasingkan daripada tulang.
  • Isi ikan yang telah dibersihkan dihancurkan dan dicampur bersama kunyit yang telah dipipis.
  • Seterusnya, bahan-bahan seperti bawang, serai dan lada ditumis dalam minyak panas sehingga naik bau dan bertukar keperangan.

Setelah itu, masukkan isi ikan yang telah dicampur kunyit dan gaul rata bersama bahan tumisan, kemudian tambah perisa secukup rasa. Sagol boleh disediakan melalui dua kaedah, iaitu secara kering (tanpa kuah) atau basah (berkuah), bergantung pada cita rasa dan cara penyediaan masing-masing.

Ikan Buntal 

Keistimewaan yang membezakan Sagol daripada masakan tumis kunyit biasa ialah penggunaan minyak yang terhasil daripada hati ikan. Hati ikan akan dimasak sehingga mengeluarkan minyak semula jadinya, yang kemudiannya memberikan rasa lemak, aroma yang tersendiri serta tekstur yang lebih pekat kepada masakan.

Minyak hati ikan ini menjadi antara rahsia utama yang memberikan Sagol cita rasa unik dan autentik. Apabila digabungkan dengan bahan-bahan seperti kunyit, bawang merah, bawang putih, halia, serai dan cili, ia menghasilkan hidangan yang kaya dengan rasa serta aroma rempah-ratus.

Bagi Sagol kering, masakan dimasak sehingga kandungan airnya berkurangan dan bahan-bahannya sebati dengan minyak hati ikan. Manakala Sagol basah pula mempunyai kuah yang lebih banyak, dengan rasa rempah dan lemak ikan yang meresap ke dalam kuahnya. 


Gabungan bahan-bahan dan teknik penyediaan inilah yang menjadikan Sagol begitu istimewa serta berbeza daripada masakan ikan biasa yang dimasak tumis kunyit.

Walau bagaimanapun, penggunaan ikan yu dalam penyediaan Sagol kini semakin terhad berikutan usaha pemuliharaan hidupan marin. Ini kerana beberapa spesies ikan yu telah disenaraikan sebagai spesies terancam dan dilindungi di bawah undang-undang perikanan Malaysia. Begitu juga dengan beberapa spesis ikan pari.

Namun, sekiranya berkunjung ke Semporna, tidak lengkap rasanya jika tidak mencuba sendiri hidangan tradisional Sagol atau Sinagol. 

Pengalaman menikmati hidangan ini secara autentik, termasuk mengenali cara penyediaan dan tradisi menikmatinya, pastinya memberikan pengalaman kulinari yang istimewa serta memperkenalkan keunikan warisan makanan masyarakat tempatan.
Terbaru Lebih lama