Kehidupan Masyarakat Pesisir di Semporna Pada Tahun 1968

Pernahkah anda terfikir bagaimana kehidupan masyarakat Semporna lebih setengah abad yang lalu?

Video berdurasi 4 minit 26 saat ini membawa kita mengimbau kembali suasana kehidupan harian penduduk yang menetap di kawasan pesisir pantai Semporna sekitar tahun 1968.

Rakaman ini bukan sekadar memaparkan kehidupan masyarakat pada zaman dahulu, malah menjadi jendela sejarah yang menghubungkan kita dengan masa lalu serta mengenang kembali warisan dan identiti masyarakat Semporna. Video ini merupakan salah satu rakaman sejarah yang kita ada memaparkan kehidupan masyarakat pesisir di Semporna satu ketika dulu.

Rakaman bersejarah ini dipercayai memaparkan kehidupan penduduk Kampung Hampalan (Laut), di Pulau Bum-Bum, ketika berlangsungnya Majlis Kotaun sekitar tahun 1968. Walaupun berdurasi hanya beberapa minit, video ini memberikan gambaran yang cukup bermakna tentang kehidupan masyarakat pada zaman dahulu.



Menerusi rakaman ini, kita dapat menyaksikan pelbagai aktiviti harian penduduk, termasuk memarut ubi, menangkap ikan dan melakukan kerja-kerja rutin yang menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka. Kehidupan yang sederhana ini turut mencerminkan kemahiran tradisional serta semangat gotong-royong yang menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat setempat pada ketika itu.

Selain itu, rakaman ini turut memperlihatkan keunikan seni bina rumah tradisional di atas air yang sekian lama menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat pesisir Semporna. Pelbagai jenis perahu tradisional juga kelihatan dalam video ini, menggambarkan kepentingan pengangkutan air dalam kehidupan penduduk yang bergantung pada laut untuk menjalankan aktiviti harian dan salah satu pengangkutan untuk menhubungkan antara satu dengan yang lain.

Turut kelihatan dalam rakaman ini ialah sambulayang berwarna kekuningan yang berkibar di sebuah masjid. Berdasarkan maklumat daripada sumber yang dirujuk, sambulayang tersebut dikaitkan dengan seseorang yang dikenali sebagai Pakil Imam Mahid. Maklumat ini menambahkan lagi keunikan rakaman bersejarah tersebut, khususnya dalam memperlihatkan unsur budaya dan kehidupan masyarakat setempat pada era berkenaan.

Salah satu pemandangan yang paling menarik dapat disaksikan pada minit ke-3:10, apabila Pulau Bohey Dulang muncul di kejauhan dengan bentuknya yang tersendiri. Pulau yang menjadi kebanggaan masyarakat Semporna ini kelihatan berdiri megah, menambahkan nilai keindahan kepada rakaman yang merakam kehidupan masyarakat lebih setengah abad yang lalu.


Pulau Bohey Dulang, yang sering digambarkan menyerupai seorang lelaki tua sedang tidur, terserlah dengan bentuk muka buminya yang unik dan mempesonakan. Pemandangan ini bukan sahaja mengingatkan kita akan keindahan alam semula jadi Semporna, malah seolah-olah menjadikan pulau tersebut saksi bisu kepada perjalanan sejarah dan kehidupan masyarakat pesisir yang diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya.

Kredit penuh bagi rakaman video bersejarah ini diberikan kepada pemilik asalnya, Michael Rogge. Menurut beliau, rakaman tersebut dirakam menggunakan kamera filem Bolex 16mm sekitar tahun 1968 di kawasan pesisir pantai Semporna, Sabah.

Untuk makluman para pembaca, video ini dikekalkan berdasarkan rakaman asal tanpa sebarang perubahan terhadap kandungan visualnya. Hanya sedikit suntingan dilakukan pada muzik latar bagi tujuan persembahan.

Rakaman asal ini bertajuk Malaysia Along The Sabah Semporna Coast in 1968 dan menjadi salah satu sumber visual yang bernilai dalam mengimbau kembali kehidupan masyarakat serta suasana persekitaran Semporna lebih setengah abad yang lalu.


Penghargaan dan ucapan terima kasih diberikan kepada Michael Rogge atas rakaman bersejarah ini, yang membolehkan generasi hari ini menyaksikan sebahagian daripada gambaran kehidupan Semporna pada masa lampau.

Lebih daripada sekadar rakaman lama, video ini merupakan sebuah khazanah sejarah yang amat berharga. Bukan sahaja merakamkan kehidupan tradisional masyarakat pesisir Semporna, malah turut memperlihatkan betapa eratnya hubungan mereka dengan laut dan ekosistem marin yang menjadi nadi kehidupan komuniti setempat.

Menjelang penghujung tahun 1960-an, Semporna bukanlah sebuah kawasan yang terasing daripada arus pembangunan. Pelbagai kemudahan dan unsur kehidupan moden telah pun wujud ketika itu. Kenderaan seperti jip dan kereta, bangunan lama yang dibina menggunakan batu, serta barangan kegunaan harian seperti mangkuk kaca jenama Duralex sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat pada zaman tersebut.

Justeru, jika kita melihat lelaki dalam video ini memakai kasut getah berwarna kuning atau menggunakan mangkuk kaca, perkara tersebut tidak seharusnya dianggap sesuatu yang luar biasa. Kehadiran barangan sedemikian merupakan sebahagian daripada gambaran kehidupan masyarakat Semporna pada era berkenaan.

Rakaman sejarah perlu dilihat berdasarkan konteks zamannya, bukan semata-mata dibandingkan dengan kehidupan masa kini. Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang sejarah, suasana dan perkembangan Semporna pada zaman dahulu, jom sama-sama mengunjungi Koleksi Gambar Lama Semporna.
Terbaru Lebih lama