Tehe - Tehe

Tehe-Tehe merupakan salah satu makanan tradisional yang unik di Sabah. Hidangan ini merupakan makanan warisan masyarakat suku kaum Bajau dan Suluk, khususnya yang menetap di kawasan Pantai Timur Sabah seperti Semporna.

Ia adalah sejenis hidangan daripada hidupan laut yang dikenali sebagai "landak laut" atau nama saintifiknya "Echinoidea" iaitu kelas dalam filum Echinodermata, sejenis haiwan marin yang mempunyai ciri fizikal berbentuk bulat dan berduri pendek.

Warna landak laut boleh berbeza-beza, termasuk hitam, coklat, kehijauan dan keunguan. Bagi tehe-tehe yang dikenali dalam kalangan penggemar makanan ini, warna perang atau oren sering dikaitkan dengan jenis landak laut yang sesuai menjadi makanan tradisional.


Tehe-tehe boleh ditemui di kawasan perairan yang mempunyai habitat sesuai untuk kehidupan landak laut. Di Sabah, khususnya di sekitar Semporna, landak laut biasanya hidup di kawasan terumbu karang, dasar laut berbatu, kawasan berpasir yang ditumbuhi tumbuhan laut, serta kawasan rumpai laut dan padang lamun. 

Selain itu, hidupan laut ini juga boleh dijumpai di perairan cetek berhampiran pulau-pulau yang menyediakan sumber makanan dan persekitaran sesuai untuk kelangsungan hidupnya.

Tehe-tehe boleh dimakan dalam beberapa cara, bergantung pada tradisi masyarakat dan cara penyediaannya, ia boleh dimakan mentah secara segar dan juga ditumis. 

Cara penyediaannya agak mudah, iaitu duri landak laut terlebih dahulu akan ditanggalkan sebelum cangkerangnya dibelah untuk mengeluarkan isi di dalamnya. Isi tersebut kemudian dibersihkan dengan teliti, manakala bahagian yang tidak diperlukan akan dibuang.

Isi Tehe-Tehe

Di dalam cangkerangnya terdapat organ dalaman dan bahagian pembiakan yang dikenali sebagai gonad. Bahagian gonad inilah yang lazimnya dimakan dan mempunyai tekstur lembut serta rasa makanan laut yang tersendiri.

Rasa tehe-tehe mempunyai keunikan tersendiri berbanding makanan laut lain seperti ikan, udang dan ketam. Isinya mempunyai tekstur yang lembut dan sedikit berkrim, dengan rasa laut yang tersendiri, sedikit kemanisan semula jadi serta aroma makanan laut. 

Namun, bagi orang yang belum pernah mencubanya, rasa dan tekstur landak laut mungkin sesuatu yang baharu. Ada juga yang menggambarkan isinya yang manis seakan rasa telur ikan atau telur ketam, berwarna kekuning-kuningan dan bau aroma laut segar akan memberi perisa tambahan sewaktu dikunyah.

Tehe-Tehe juga selalunya akan dimakan secara mentah dan segar dari laut, di campur dengan bahan-bahan seperti limau kasturi, lada, sedikit bawang dan timun dihiris kecil sebagai penambah perasa.


Manakala cangkerang tehe-tehe a.k.a landak laut juga digunakan untuk menghasilkan satu lagi hidangan tradisional. Hidangan ini menyerupai ketupat, tetapi berbeza dari segi cara penyediaannya kerana nasi dimasukkan ke dalam cangkerang landak laut yang telah dibersihkan.  

Segala isi di dalam cangkerang akan dikeluarkan dan dibersihkan dengan teliti. Kemudian beras akan dimasukkan ke dalam cangkerang tersebut dan dimasak sehingga menghasilkan hidangan tradisional yang unik dikenali sebagai Oko-Oko atau Nasi Tehe-Tehe.


Walaupun tehe-tehe merupakan makanan tradisional dan cara penyediaannya nampak mudah, landak laut perlu dikendalikan dengan berhati-hati. Duri landak laut boleh menyebabkan kecederaan apabila terkena kulit dan ada yang berbisa seperti Tayum iaitu landak laut yang mempunyai duri lebih panjang berbanding Tehe-Tehe.

Tehe-tehe merupakan sebahagian daripada tradisi makanan masyarakat Bajau dan Suluk yang telah diwarisi dan diamalkan sejak turun-temurun, khususnya dalam kalangan masyarakat di Pantai Timur, Sabah. Jangan risau, makanan ini halal dan tidak merbahaya untuk mencuba kerana ia adalah jenis makanan laut yang kaya dengan protein.
Terbaru Lebih lama