Wajah Baharu Pekan Semporna Melalui Projek Penambakan

Kalau kita berdiri di tengah-tengah Pekan Semporna hari ini, melihat deretan kedai, jalan raya, bangunan, hotel, restoran dan kawasan waterfront yang sibuk dengan aktiviti manusia, sukar untuk membayangkan bahawa wajah Semporna pada suatu ketika dahulu begitu dekat dengan hutan, air laut dan kehidupan harian masyarakat pesisir.

Lebih menarik lagi, ada cerita yang sering disebut oleh orang tempatan bahawa Pekan Semporna yang kita lihat hari ini sebenarnya terbentuk dari kawasan yang pada waktu dulu pernah ditambak.

Apa itu di tambak ? ia adalah perbuatan menimbun atau meninggikan kawasan, lubang, atau tebing dengan tanah, batu, atau pasir supaya menjadi lebih tinggi, rata, atau kukuh. Selalunya aktiviti ini dilakukan untuk tujuan membina daratan baru disekitar pesisir pantai (penambakan laut) bagi tujuan pembangunan.

Cerita itu ada asasnya, tetapi sejarah sebenar Semporna jauh lebih menarik daripada hanya sekadar mengatakan bahawa seluruh pekan ini dibina di atas tanah tambakan.


Sebelum nama Semporna dikenali, kawasan ini disebut Tong Talun, istilah dalam bahasa Bajau yang sering dihuraikan sebagai “Hujung Hutan”. Nama itu menggambarkan keadaan Pekan Semporna pada zaman awalnya adalah sebuah kawasan yang masih dikelilingi hutan dan belum menjadi sebuah bandar seperti yang kita kenal hari ini.

Kemudian, pada tahun 1887, kawasan ini dibuka secara rasmi sebagai pusat pentadbiran dan perniagaan oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British. Nama Semporna, yang dikaitkan dengan perkataan Simporna dan membawa maksud tempat untuk berehat atau tempat yang tenang, mula digunakan pada zaman tersebut.

Tetapi jangan bayangkan Semporna ketika itu sebagai sebuah pekan dengan bangunan-bangunan batu seperti sekarang. Semporna pada waktu itu adalah sebuah dunia pesisir. 

Kehidupan manusia sangat rapat dengan laut, perahu menjadi pengangkutan, laut menjadi tempat mencari sumber makanan, hasil laut menjadi barang dagangan dan kawasan berhampiran air menjadi tempat paling penting untuk manusia berkumpul dan berniaga.

 Kawasan Semporna Seafront / Seafront New Township

Jadi, persoalannya betulkah Pekan Semporna ditambak?

Ya, terdapat kawasan pesisir Semporna yang ditambak dan dibangunkan tetapi tidak tepat untuk mengatakan seluruh Pekan Semporna adalah tanah tambakan.

Pekan asal mempunyai kawasan daratan sendiri. Namun, apabila Semporna berkembang, kawasan bandar memerlukan lebih banyak ruang untuk jalan raya, bangunan, kemudahan awam dan pembangunan komersial.

Maka, sedikit demi sedikit, garis antara daratan dan laut telah berubah. Kawasan yang dahulu merupakan pesisir, kawasan air atau kawasan berhampiran laut akhirnya berubah menjadi tanah yang boleh dibangunkan. Ini menunjukkan bahawa penambakan memang menjadi sebahagian daripada proses pembangunan kawasan pesisir Semporna.


Berdasarkan rekod rasmi, Semporna melalui beberapa fasa proses penambahan luas tanah di Pekan Semporna iaitu melakukan penimbusan tanah di sekitar persisir kawasan air laut sehingga menjadi daratan yang boleh digunakan untuk pembangunan. Berikut antara lokasi atau kawasan penambakan telah berlaku di Pekan Semporna

1. Semporna Seafront / Seafront New Township
  • Rekod Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah menyenaraikan cadangan penambakan dan pembangunan komersial seluas 1.861 hektar di Seafront New Township, Semporna. Hari ini kawasan tersebut dikenali sebagai Semporna Seafront New Township / Seafront Resort Township, dengan deretan lot komersial, hotel, restoran dan perniagaan pelancongan. Rekod Sabah Tourism Board juga menyenaraikan banyak hotel di kawasan Seafront New Township. ( Kawasan sekitar Seaview, Pasar Basah Semporna, Bangunan Giant Semporna & lain-lain )

2. Semporna Waterfront Mixed Development
  • Dalam rekod projek alam sekitar Sabah terdapat cadangan Semporna Waterfront Mixed Development yang merangkumi 42 ekar kerja penambakan, bersama kemudahan awam, infrastruktur dan kerja luaran di Lot 127501339, Pekan Semporna. Kawasan ini dalam proses pembinaan dijangka siap pada akhir tahun 2026. Baca Selanjutnya di Sini Semporna Bakal Miliki Resort Jenama Antarabangsa Menjelang Tahun 2026

3. Kawasan Seafront / Taman Bandar Semporna
  • Kawasan yang hari ini menggunakan alamat seperti Semporna Seafront Township, Taman Bandar Semporna adalah sebahagian daripada perkembangan kawasan pesisir moden Semporna. Contohnya, alamat hotel dan premis perniagaan kini menggunakan nama Semporna Seafront Resort Township dan Taman Bandar Semporna. ( Kawasan Hotel Seafest dan Seafest Square )


Ini merupakan bukti penting bahawa penambakan memang dirancang sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan dan membangunkan kawasan.

Sebab itulah apabila orang lama berkata,

“Dulu sini laut bah…sebelah Taman Rekreasi dan Bangunan USNO ni dulu laut”

Kita tidak sepatutnya terus menganggapnya sebagai cerita yang dibesar-besarkan. Walaupun sebahagian kawasan pesisir berubah menjadi daratan dan bandar semakin membesar, identiti Semporna masih tetap berpaut pada laut, dan laut tidak pernah benar-benar meninggalkan Semporna.
Terbaru Lebih lama