Group Semporna Mari

Sekitar jam 4 petang, di sebuah petang yang sederhana di Jeti Terapung Semporna, beberapa orang ahli Group Semporna Mari berkumpul untuk satu pertemuan yang mungkin pada ketika itu kelihatan kecil dan biasa. Namun, tanpa kami sedari, pertemuan kecil inilah yang kemudiannya menjadi antara titik penting dalam perjalanan Semporna Mari.

Tujuan utama pertemuan ini cukup mudah iaitu untuk saling mengenali antara satu sama lain.

Selama ini, ramai yang hanya mengenali nama, profil atau tulisan masing-masing melalui kumpulan. Ada yang sering memberikan komen, berkongsi cerita, membantu menjawab persoalan dan sama-sama berbincang mengenai perkembangan daerah Semporna.

Tetapi pada petang itu, kami berpeluang untuk bertemu secara bersemuka, bersalaman, berkenalan, bercerita dan yang paling penting, mula membina satu hubungan yang lebih erat sebagai sebuah komuniti.



Sememangnya, tidak semua ahli dapat meluangkan masa untuk hadir pada petang tersebut. Ramai yang mempunyai komitmen masing-masing. Ada yang bekerja, ada yang mempunyai urusan keluarga dan ada juga yang berada jauh dari Semporna.

Walaupun jumlah yang hadir tidaklah begitu ramai, ia sedikit pun tidak mengurangkan makna pertemuan tersebut. Kerana bagi kami, sesuatu yang besar tidak semestinya bermula dengan jumlah yang besar. Kadangkala, ia bermula dengan hanya beberapa orang yang mempunyai satu rasa dan satu tujuan yang sama.

Iaitu rasa sayang kepada daerah tercinta iaitu Semporna.

Pertemuan tersebut turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan daripada Infiniti Freelance Photography dan Studio Jungle Art. Kehadiran mereka bukan sahaja menambah kemeriahan pertemuan, malah menjadi antara asas kepada kerjasama dan persahabatan.

Di sinilah kami mula menyedari bahawa Semporna mempunyai begitu ramai individu yang mempunyai kemahiran, idea, tenaga dan keinginan untuk melakukan sesuatu untuk daerah ini.


Pada waktu entry ini ditulis, bidang fotografi dan videografi moden di Semporna masih belum begitu ramai diceburi oleh anak-anak tempatan yang benar-benar mempunyai kemahiran dan pengalaman dalam bidang tersebut.

Ya tidak dinafikan memang ada otai-otai yang memang wujud dalam dua bidang sebelum ini, namun maksud min untuk lebih mudah faham dan tepat ialah pada era tahun 2000 ketika itu, memang belum ada lagi wujud pelapis anak-anak muda tempatan yang fokus dalam 2 bidang ini. 

Pada ketika itu, Infiniti Freelance Photography dan Studio Jungle Art merupakan antara nama yang cukup menonjol, dua kumpulan yang terdiri daripada anak-anak muda tempatan Semporna dimana hasil-hasil karya mereka ketika itu banyak di kongsikan di Group Semporna Mari (Laman kumpulan terawal berkaitan dengan Semporna yang paling aktif di Facebook ketika itu).

Mereka bukan sekadar mengambil gambar atau menghasilkan video sebagai hobi. Hasil kerja yang mula mereka tampilkan ketika itu menunjukkan bahawa anak-anak tempatan Semporna juga mampu menghasilkan karya yang kreatif, kemas dan mempunyai nilai tersendiri.

Bagi Semporna Mari, kehadiran mereka dalam pertemuan ini cukup bermakna. Mereka merupakan antara generasi awal anak muda tempatan yang mula membawa pendekatan fotografi dan videografi yang lebih moden ke dalam pelbagai aktiviti dan dokumentasi di Semporna.

Hari ini, apabila melihat kembali hasil-hasil kerja mereka, kita dapat menghargai bahawa mereka sebenarnya telah menjadi sebahagian daripada perjalanan awal dalam memperkenalkan wajah Semporna melalui lensa dan karya anak tempatan sendiri.

Mereka merakam Semporna bukan sekadar sebagai tempat, tetapi sebagai sebuah cerita melalui mata, kreativiti dan perspektif anak Semporna sendiri. Selain di laman kumpulan, hasil fotografi dan videografi mereka juga boleh dilihat dalam Laman Rasmi Semporna Mari (Page).


Selain sesi suai kenal, pertemuan tersebut turut menjadi ruang untuk kami berbincang mengenai pelbagai aktiviti yang boleh dilaksanakan pada masa akan datang.

Pada ketika itu, mungkin semuanya masih berupa perbualan dan idea. Belum ada perancangan yang benar-benar besar, belum ada siapa yang tahu sejauh mana perjalanan ini akan membawa kami.

Tetapi benihnya sudah mula ditanam.

Kami mula berbincang tentang bagaimana Semporna Mari boleh menjadi lebih daripada sekadar sebuah kumpulan di media sosial. Bagaimana kami boleh menggerakkan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat dan paling penting bagaimana kami boleh membantu mempromosikan Semporna, mengetengahkan sejarah, budaya, tempat menarik dan kisah masyarakat tempatan kepada orang ramai.

Kerana ketika itu Semporna hanyalah sebuah pekan kecil yang terletak di paling hujung Sabah, kurang menyerlah walaupun Semporna ketika itu sebenarnya sudah terkait dengan pulau bertaraf dunia iaitu Sipadan, orang Malaysia saja ketika itu ramai yang tidak tahu tentang Semporna.

Sehinggalah serangan pengganas di Kampung Simunul Semporna pada 2 mac 2013, waktu itu min ingat lagi dalam 1 malam laman kumpulan Semporna Mari jumlah ahli meningkat mendadak, kerana dari situlah orang ramai mendapatkan perkembangan keadaan semasa Semporna kerana ramai yang dalam keadaan ketakutan ketika itu. 

Nama Semporna kembali hangat, namun itu tidak bukan 





Di kesempatan ini, min ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua admin yang hadir dalam pertemuan tersebut. Walaupun pada awalnya mungkin ada yang lebih selesa berada di belakang tabir, akhirnya ada juga yang mengambil keputusan untuk turut masuk dalam gambar sebagai kenangan.

Hari ini, gambar tersebut mungkin kelihatan seperti sekadar sebuah gambar lama. Tetapi bagi kami, ia adalah sebahagian daripada sejarah kecil Semporna Mari.

Terima kasih juga kepada semua rakan yang sentiasa memberikan sokongan, khususnya saudara , 2nd Admin Semporna Mari, yang banyak membantu dalam pelbagai perkara.

  • Studio Jungle Art sebenarnya pernah bekerjasama dalam menjayakan program Regatta Lepa pada tahun 2019

Tidak dilupakan juga rakan-rakan daripada Studio Jungle Art dan Infiniti Freelance Photography yang turut menjadi sebahagian daripada perjalanan awal ini. Sumbangan setiap seorang, sama ada besar atau kecil, tetap mempunyai tempat dalam perjalanan Semporna Mari.

Hari ini apabila kita melihat kembali pertemuan tersebut, mungkin sukar untuk membayangkan bahawa daripada beberapa orang yang berkumpul di Jeti Terapung Semporna pada sekitar jam 4 petang itu, akan lahir begitu banyak cerita, kenangan, aktiviti dan usaha untuk Semporna.

Kini ada yang telah pergi, tetapi yang pasti Semporna Mari masih disini,

Pertemuan itu mungkin hanya berlangsung beberapa jam tetapi kenangannya kekal hingga ke hari ini...
Terbaru Lebih lama