Kisah Penentangan Leftenan Muda Imam Marjukin di Borneo Utara

Apabila membicarakan sejarah perjuangan menentang penjajahan Jepun di Sabah semasa Perang Dunia Kedua, nama Dr. Albert Kwok sering disebut kerana keberanianya bersama rakan seperjuang di dalam Pemberontakan Double Tenth

Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa terdapat salah seorang lagi tokoh penting yang turut memainkan peranan besar dalam gerakan tersebut, iaitu Leftenan Muda Imam Marjukin L. Ahad.

Namanya dikaitkan sebagai antara individu penting dalam perancangan Pemberontakan Double Tenth, iaitu satu gerakan penentangan terhadap tentera Jepun yang berlaku di Borneo Utara. Dalam usaha tersebut, beliau bekerjasama rapat dengan Gerila Kinabalu yang dipimpin oleh Dr. Albert Kwok bersama beberapa pemimpin tempatan lain yang berjuang mempertahankan tanah air daripada penjajahan.

Untuk lebih mudah difahami, gerakan Gerila Kinabalu sebenarnya tidak mampu untuk berjuang sendirian, ini adalah kerana desakan  dari segi faktor bekalan persenjataan dan kewangan, dan disinilah kepimpinan Leftenan Muda Imam Marjukin L. Ahad memainkan peranan penting iaitu sebuah pasukan yang dihantar oleh pihak bersekutu Amerika Syarikat untuk menjadi tulang belakang membantu pasukan gerila yang dipimpin oleh Dr. Albert Kwok.

Maka di entry ini kami akan menekankan kisah perjuangan beliau di Borneo Utara (Sabah) sahaja (tidak termasuk gerakan penentangan yang beliau ikut serta dibawah pihak bersekutu di Filipina) sebagai sebuah pasukan bayang-bayang yang ramai orang tidak tahu dalam membantu perjuangan gerila di Sabah ketika melakukan penentangan terhadap kekuasaan tentera Jepun.



Tentang Diri Beliau

Nama penuh beliau ialah Imam Marjukin bin Sayyid Mohammad Ahad. Beliau dilahirkan pada 9 April 1918 di Tapian Bohey, Mantabuan, Filipina. Beliau merupakan anak keempat daripada tujuh orang adik-beradik, yang terdiri daripada dua orang lelaki dan lima orang perempuan, iaitu Patimah Etti, Kuburah, Munawarah, Marjukin, Bungalia, Maimunah dan Masdal.

Bapa beliau, Mohammad Ahad, atau lebih dikenali sebagai Sayyid Wahidun bin Sayyid Jalang, berketurunan Arab dan Bajau, manakala ibunya, Limucun Usman, mempunyai darah keturunan Suluk dan Cina. Beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga yang amat menitikberatkan pegangan serta pengamalan ajaran Islam.

Sejak kecil lagi, dirinya telah diasuh dan dididik dengan ilmu-ilmu agama. Minatnya terhadap bidang keagamaan juga begitu mendalam dimana beliau tidak pernah berhenti untuk menimba ilmu dan mempelajari ajaran Islam dengan tekun sejak dari usia muda.

Gelaran “Imam” yang melekat pada namanya bukanlah sekadar panggilan. Gelaran tersebut diberikan oleh pemerintah dan penduduk setempat sebagai pengiktirafan terhadap ketekunan beliau dalam menuntut, mendalami dan mengajarkan ilmu-ilmu agama sejak usia remaja. Beliau juga diceritakan sering diberi kepercayaan untuk mengimamkan jemaah dalam solat di masjid.

Menariknya, kecintaan beliau terhadap ilmu agama tidak terhenti apabila beliau mula menceburi bidang ketenteraan. Di sebalik kehidupan sebagai seorang anggota tentera, beliau tetap meneruskan penglibatan dalam hal-hal keagamaan. Minat dan pengabdiannya terhadap agama itu turut diteruskan selepas beliau bersara daripada dunia ketenteraan.

Justeru itu, gelaran Imam Marjukin bukan sahaja menggambarkan kedudukannya dalam masyarakat, malah mencerminkan sebahagian daripada perjalanan hidup beliau sebagai seorang yang sejak usia muda telah menjadikan ilmu dan ajaran Islam sebagai sebahagian penting dalam kehidupannya, sebelum kemudiannya berkhidmat dalam dunia ketenteraan.

---

Di sebalik minatnya yang mendalam terhadap ilmu agama, Imam Marjukin juga dikenali sebagai seorang yang sedikit panas baran, berani dan lantang bersuara. Sifat-sifat tersebut menjadikan beliau seorang pemuda yang disegani serta dihormati oleh keluarga dan sahabat-sahabatnya.

Sebelum menceburi bidang ketenteraan, Imam Marjukin pernah berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di Sulu. Di situlah beliau bertemu jodoh dengan rakan sejawatnya, Nawila binti Tampilung Arap. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Misal dan Jamiri.

Tidak lama kemudian, dirinya berkahwin pula dengan isteri keduanya iaitu Saadiah binti Syed Julkani. Hasil daripada perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan dengan empat orang cahaya mata, iaitu Harun, Mariam, Umi Kalsum dan juga Aisah.

Imam Marjukin kemudiannya berkahwin dengan isteri ketiganya, Pan Yang yang merupakan seorang jururawat tentera di Kem Bato-Bato, Filipina. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang anak. Namun begitu, isteri ketiga beliau bersama kedua-dua anak hasil perkahwinan tersebut kemudiannya telah meninggal dunia.

Selepas itu, beliau berkahwin pula dengan seorang wanita yang berasal dari Pulau Mantanani. Perkahwinan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata. Perkahwinan ini adalah yang terakhir bagi beliau dengan pasangannya iaitu Jainahum. Walau bagaimanapun perkahwinan tersebut tidak dikurniakan zuriat.



Menyertai Askar PHI-US & GERILA

Pada 18 Disember 1941, Imam Marjukin secara rasmi menyertai United States Armed Forces in the Far East (USAFFE), iaitu angkatan tentera Bersekutu di Filipina yang beribu pejabat di Mindanao. Beliau diberikan nombor perkhidmatan 209264 dan berkhidmat dalam pasukan infantri dengan pangkat Sarjan.

Sepanjang Perang Dunia Kedua, beliau ditugaskan sebagai salah seorang anggota pasukan Filipina-Amerika yang beroperasi dari Bato-Bato, di kawasan selatan Filipina. Dalam rekod ketenteraan, beliau dikenali sebagai 209264 Sgt. Imam Marajukin L. Ahad.

Pada peringkat awal perkhidmatannya, beliau ditempatkan bersama 2nd Replacement Company, 1st Replacement Battalion, Philippine Army, dengan alamat ketenteraan APO #72, San Jase, Leyte, Filipina.

Pada usia awal 20-an, Imam Marjukin mula menceburi dunia ketenteraan setelah menjalani latihan ketenteraan secara intensif. Berbekalkan latihan dan pengalaman yang diperolehinya, beliau kemudiannya berkhidmat dengan pangkat Sarjan.

Beliau kemudiannya diberikan tanggungjawab yang lebih besar dalam Divisional Locating Section No. 3, Team II, APO 707, di bawah 125th Infantry Regiment, 10th Military District, yang berpusat di Bato-Bato. Namanya turut direkodkan sebagai salah seorang pejuang gerila Sulu yang terlibat dalam perjuangan menentang pendudukan Jepun.

Keberanian dan kecemerlangan beliau dalam pertempuran akhirnya membawa kepada kenaikan pangkat sebagai Leftenan Muda (Second Lieutenant). Beliau terlibat dalam operasi kombat menentang Jepun di Kepulauan Filipina, selain turut memainkan peranan dalam gerakan gerila di North Borneo (Borneo Utara).


Peranan di North Borneo

Seperti kita tahu, Leftenan Muda Imam Marjukin L. Ahad memulakan perkhidmatan beliau sebagai tentera bersekutu United States Armed Forces in the Far East (USAFFE) di Mindanao Filipina. Jadi bagaimana cerita secara khusus penglibatan dan peranan beliau dalam penentangan yang berlaku di Borneo Utara (Sabah) ?

Ceritanya begini...

Penglibatan Imam Marajukin dalam gerakan menentang pendudukan Jepun di Sabah, yang pada ketika itu dikenali sebagai The Colony of North Borneo, bermula pada Julai 1943. Beliau bersama beberapa anggota daripada platunnya yang berpangkalan di Tawi-Tawi, Filipina, telah diarahkan oleh pihak pentadbiran tentera Filipina-Amerika Syarikat (Bersekutu) untuk membantu gerakan penentangan terhadap Jepun di North Borneo.

Peristiwa ini berlaku selepas kira-kira setahun North Borneo berada di bawah pendudukan tentera Jepun, yang mengambil alih pentadbiran wilayah tersebut daripada pihak British. Pada Julai 1943, pihak pentadbiran tentera Amerika Syarikat yang berpangkalan di Kepulauan Tawi-Tawi menerima laporan daripada seorang ejen gerila di North Borneo yang memohon bantuan berupa senjata, bekalan dan kewangan bagi menyokong gerakan penentangan terhadap Jepun.

Susulan permohonan tersebut, Leftenan Kolonel Alejandro Suarez, yang ketika itu bertindak sebagai Komander Perang Kawasan Sulu (Sulu Area War Commander), telah mengarahkan Leftenan Kalingalan bersama tiga orang anggota tentera untuk mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan para pemimpin gerila di North Borneo.

Pertemuan tersebut berlangsung dengan perjumpaan secara rahsia dan sulit bersama Dr. Albert Kwok Fern Nam individu yang mengetuai gerakan penentangan di Jesselton, North Borneo. Tujuan utama pertemuan itu adalah untuk membincangkan permintaan pihak gerila bagi mendapatkan bekalan senjata dan bantuan kewangan, yang kemudiannya akan diagihkan kepada para pengikut Dr. Albert Kwok di North Borneo.

Pada masa yang sama, pihak gerila turut memohon sokongan dan bantuan ketenteraan daripada pihak Bersekutu, khususnya Amerika Syarikat, bagi memperkukuhkan gerakan penentangan terhadap pendudukan Jepun di North Borneo.

Dalam perkembangan inilah, Imam Marajukin dan beberapa anggota daripada platunnya di Tawi-Tawi kemudiannya terlibat secara langsung dalam usaha membantu gerakan penentangan di North Borneo. Penglibatan beliau menjadi sebahagian daripada jaringan kerjasama antara pejuang tempatan di North Borneo dengan pasukan Bersekutu yang berpusat di Filipina ketika itu.

---

Bertitik tolak dari pertemuan tersebut, pentadbiran tentera Filipina-Amerika yang beribu pejabat di Tawi-Tawi, Filipina telah mengarahkan Sarjan Imam Marajukin, Lts. Kaluang, Lts Moro dan Pvt Gurabi membantu perjuangan gerila tersebut di North Borneo. 

Setelah itu selepas beberapa minggu kemudian Dr Albert Kwok dan beberapa orang kanannya bersama-sama Imam Marjukin dan pengikutnya telah berjaya menyatukan kumpulan penentang Jepun dari beberapa kawasan seperti Jesselton, Inanam, Tuaran, Kota Belud dan Talibong pada September 1943.

Maka dengan itu mereka pun menubuhkan sebuah kumpulan gerila penentang dan menggelarkan diri mereka sebagai ‘Gerila Kinabalu’ di bawah pimpinan 3rd Lieutenant Dr Albert Kwok bersama orang kanan yang terdiri daripada Lim Keng Fatt, Charles Peter, Panglima Ali @ Ali Imam Abbas Sani (rakan karibnya), Chen Chau Kong, Kong Sze Phui, Rajah George Sinnadurai, Li Tet Phui dan Jules Stephens dan beberapa tokoh pejuang lain seperti Musa dan Korom. Pasukan tersebut dianggotai kira-kira 300 orang daripada pelbagai latar belakang etnik dan agama.


Peranan Dalam Pemberontakan Double Tenth

Mereka kemudiannya merancang untuk melancarkan satu pemberontakan di North Borneo pada 10 Oktober 1943, yang kemudiannya dikenali sebagai Pemberontakan Double Tenth (Double Tenth Revolt) atau Jesselton Revolt. Tarikh tersebut dipilih bersempena dengan ulang tahun kejayaan revolusi yang dipimpin oleh Dr. Sun Yat-sen di China.

Dr. Albert Kwok Fern Nam menyusun pasukan penentangnya yang berpusat di Menggatal. Gerakan tersebut berjaya mendapatkan sokongan daripada masyarakat Cina dan Sikh, selain beberapa suku kaum tempatan termasuk Bajau dan Suluk.

Gerakan pemberontakan tersebut mula melancarkan serangan pada malam 9 Oktober 1943. Dalam serangan awal tersebut, mereka berjaya memusnahkan beberapa kemudahan dan balai polis Jepun di Tuaran dan Menggatal sebelum meneruskan gerakan ke arah Jesselton.

Pada 10 Oktober 1943, pasukan gerila kemudiannya melancarkan serangan ke atas Bandar Jesselton, yang merupakan antara pusat pentadbiran dan ketenteraan penting Jepun di bahagian utara North Borneo.

Dalam serangan tersebut, gerila pimpinan Imam Marajukin bersama Gerila Kinabalu melancarkan serangan balas secara bertubi-tubi terhadap kedudukan tentera Jepun. Serangan mereka mengakibatkan kematian sejumlah anggota Jepun, selain kemusnahan terhadap stor bekalan dan senjata, stesen radio serta aset-aset penting ketenteraan Jepun. Akibat tekanan serangan yang hebat, sebahagian pasukan Jepun yang berada di Jesselton terpaksa berundur dan menyelamatkan diri.

Kejayaan pasukan Dr. Albert Kwok, dengan bantuan Imam Marajukin dan para pengikutnya, menguasai Jesselton merupakan antara pencapaian penting dalam gerakan penentangan terhadap pendudukan Jepun di North Borneo semasa Perang Dunia Kedua.

Dua hari kemudian, pasukan pemberontak turut berjaya menawan sebuah kubu Jepun di Kota Belud. Kejayaan gerakan pemberontakan ini memberikan tekanan yang besar kepada pihak Jepun dan memaksa mereka melakukan perubahan terhadap kedudukan serta pentadbiran ketenteraan mereka di North Borneo pada Oktober 1943.

Walau bagaimanapun, Dr. Albert Kwok dan para pengikutnya tidak dapat bertahan lama di Jesselton. Tidak lama selepas kejayaan awal pemberontakan tersebut, pihak Jepun melancarkan serangan balas secara besar-besaran. Keadaan ini memaksa pasukan gerila berundur dari Jesselton ke Tamparuli dan seterusnya menuju ke Ranau.

Pihak Jepun kemudiannya mengerahkan tentera mereka dari beberapa divisyen lain untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di bahagian utara North Borneo serta memburu pasukan Gerila Kinabalu dan kumpulan-kumpulan penentang lain yang masih aktif ketika itu.

Jumlah anggota tentera Jepun yang jauh lebih besar berbanding kekuatan pejuang Gerila Kinabalu menyebabkan Dr. Albert Kwok, Imam Marajukin dan para pengikut mereka terpaksa berundur buat sementara waktu. Dalam perkembangan berikutnya, Dr. Albert Kwok akhirnya berjaya ditangkap bersama beberapa orang pengikut kanannya.

Namun begitu, Imam Marajukin berjaya melepaskan diri daripada buruan tentera Jepun. Beliau terus memimpin sekumpulan kecil baki para pejuang yang masih bersamanya, termasuk Lim Keng Fatt (Usahawan Cina Tempatan).

Menurut kisah yang diceritakan, pada ketika itu Imam Marajukin dan para pejuang gerila yang sedang diburu tentera Jepun terpaksa melalui kawasan yang berhampiran dengan kubu dan kedudukan tentera Jepun bagi mencari laluan menuju ke kawasan yang lebih selamat. Dalam keadaan yang amat genting tersebut, dengan izin Allah SWT, kumpulan kecil Gerila Kinabalu yang dipimpin oleh Imam Marajukin berjaya melepasi kawasan berkenaan tanpa disedari dan terlepas daripada pandangan serta buruan tentera Jepun.

Setelah berjaya menyelamatkan diri daripada buruan tentera Jepun, Imam Marajukin bersama para pengikutnya membawa Lim Keng Fatt meneruskan perjalanan menuju ke Tawi-Tawi, Filipina, dengan tujuan mendapatkan bantuan ketenteraan daripada pihak yang mempunyai hubungan dengan gerakan penentangan terhadap Jepun.

Walaubagaimanapun, usaha mereka untuk mendapatkan bantuan ketenteraan tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Beberapa hari sebelum ketibaan mereka, pasukan Filipina-Amerika Syarikat dan pejuang kebebasan Sulu di Tawi-Tawi telah terlebih dahulu berhadapan dengan serangan hebat daripada tentera Jepun.

Dan lebih malang dan sangat mendukacitakan apabila pada 12 Januari 1944, Dr Albert Kwok dan para pengikut kanan yang lain telah ditangkap sebelum ini antaranya Charles Peter, Panglima Ali, Chen Chau Kong, Kong Sze Phui, Rajah George Sinnadurai, Li Tet Phui dan Jules Stephens telah dijatuhkan hukuman bunuh oleh tentera Jepun.

Gambar Imam Marjukin di Muzium Sabah


Perjuangan Tetap Diteruskan

Walaupun tanpa kelibat pengasas utama Gerila Kinabalu, ianya tidak mematahkan semangat Leftenan Muda Imam Marajukin, Kapten Lim Keng Fatt dan sisa baki para pejuang Gerila Kinabalu yang lain. Malah mereka tetap meneruskan penentangan bagi membebaskan Sabah daripada penjajahan tentera Jepun dalam tempoh lebih setahun sebelum Jepun menyerah kalah kepada Amerika Syarikat pada Ogos 1945. 

Penglibatan ketara beliau dalam menentang penjajahan Jepun selepas peristiwa pembunuhan Dr. Albert Kwok paling banyak berlaku di sekitar pantai Timur Sabah sekitar tahun 1944 iaitu di daerah Sandakan bermula dari Labuk Sugut, Telupid, Kinabatangan dan turut terlibat dalam penentangan terhadap Jepun di daerah Lahad Datu. 

Berikut beberapa ringkasan kisah antara lapangan peperangan beliau pernah turut serta dalam pertempuran...

Sarjan Imam Marajukin pernah bersama-sama 1st Lt Rex Blow (AIF-CO, 1st Batalion,125th Inf Regiment), Mejar Maclaine dan beberapa orang askar Amerika Syarikat (Bersekutu) yang lain melakukan operasi melalui kapal perang udara Amerika Syarikat menggunakan payung terjun menuruni kawasan Tambisan di daerah Lahad Datu untuk menentang askar Jepun yang pada masa itu memang mempunyai kubu yang kuat di daerah tersebut. Berlakulah pertempuran yang sengit antara kedua-dua belah pihak. Dalam pertempuran itu, salah seorang rakan karibnya terkorban dan kebetulan tersungkur dipangkuannya.

Selain itu...

Paling sengit adalah tentangan Gerila Kinabalu terhadap pihak Jepun di Inanam pada akhir tahun 1943 yang menyaksikan banyak nyawa musuh melayang di tangan perajurit gerila. Strategi telah diatur lebih awal, Imam Marajukin sendiri dengan semangat yang kental telah masuk ke dalam pertahanan kubu Jepun yang sedang seronok berpesta, tanpa disedari beliau berjaya membunuh lawan dan merampas seberapa banyak senjata daripada kubu pihak musuh.

Kemudian menyerahkan senjata tersebut kepada pejuang gerila yang tidak mendapat bekalan senjata yang mengikuti operasi serang hendap ini. Kemudian, mereka menyerang hendap musuh yang asyik berpesta. Bunyi mesingan bertalu-talu dari Imam Marajukin dan rakan seperjuangannya telah menghuru-harakan askar Jepun. Ramai yang lari lintang-pukang untuk mendapatkan senjata namun telah mati terbunuh. Beliau diceritakan sentiasa berada di barisan hadapan, terkenal dengan jolokan "Standing Position" kerana ketika menembak musuh dengan Thompson Submachinegun.



Penganugerahan Pingat Gagah Berani 

Beliau telah dianugerahkan 5 buah pingat dan beberapa buah lencana (insignia) daripada kerajaan Amerika Syarikat kerana penglibatan cemerlang dalam bidang ketenteraan menentang musuh semasa Perang Dunia Kedua. 

Kerajaan Filipina juga turut menganugerahkan 3 butir pingat dan lencana penghormatan kepada beliau dalam membantu Filipina dan Amerika Syarikat menentang Jepun di sekitar Kepulauan Filipina dan Sabah. Antara pingat-pingat yang diterima oleh beliau adalah seperti berikut :


Pingat & insignia Anugerah Kerajaan Amerika Syarikat:

1. PURPLE HEART (PH)
2. WWII BRONZE STAR (BS)
3. THE BRONZE STAR MEDAL (FIRST OAK-LEAF CLUSTER)
4. ASIATIC-PASIFIC CAMPAIGN MEDAL
5. WORLD WAR II VICTORY MEDAL
6. COMBAT INFANTRYMAN BADGES (FIRST AWARD)
7. US ARMY & AIR FORCE PRESIDENTIAL UNIT CITATION

Pingat & insignia Anugerah Kerajaan Filipina:

1. THE MILITARY MERIT MEDAL
2. THE PHILIPPINE INDEPENDENCE MEDAL
3. THE PHILIPPINE LIBERATION MEDAL
4. THE PHILIPPINE PRESIDENTIAL UNIT CITATION


Begitulah serba sedikit tentang kisah wira tidak didendang, kisah perjuangan salah seorang pejuang yang pernah menyabung nyawanya untuk membebaskan tanah air dan anak bangsa. Kerana akan kisah perjuangannya yang mula dilupakan oleh bangsa dan tanah airnya sendiri maka kami semadikan kisah beliau di sini sebagai tanda hormat dan terima kasih yang tidak terhingga kepada diri beliau dan kesemua para pejuang yang masih hidup dan telah meninggal dunia/mati dalam pembebasan Borneo Utara (Sabah) daripada pemerintahan kuku besi kerajaan Jepun ketika itu.

Untuk makluman semua, nama & potretnya sebenarnya boleh terlihat dan terpampang jelas di dalam kedudukan pertama susunan Wira Sabah era Perang Dunia Kedua di Muzium Negeri Sabah.

Selain itu n
ama beliau juga turut terpahat didalam National Purple Heart Hall of Honor di New York, Amerika Syarikat, sebagai penerima penghormatan tersebut. Beliau juga merupakan satu-satunya rakyat Sabah dan Malaysia yang menerima Purple Heart serta dua butir Bronze Star Medal daripada Kerajaan Amerika Syarikat atas jasa dan pengorbanannya ketika berjuang dalam Perang Dunia Kedua.

Menurut naratif (rekod) yang diserahkan kepada Hall of Honor, diceritakan bahawa ketika pasukan Jepun datang sebagai reinforcement menggunakan lima buah armed barges dan menyerbu pantai di Manukmangkaw Island.

Pertempuran kemudiannya menjadi pertempuran sengit selama beberapa jam. Tentera Jepun mempunyai kelebihan kerana menggunakan knee mortars, yang lebih mudah digerakkan dan berkesan dalam pertempuran jarak dekat.

Dalam keadaan tersebut, Leftenan Muda Imam Marjukin L. Ahad dikatakan sedang membawa Browning Automatic Rifle (BAR) dengan berani dan tidak gentar terus maju mara ke hadapan.

Beliau bergerak secara zig-zag menuju ke arah Japanese Machine Gunner, sambil memberikan perlindungan kepada pasukannya. Rekod itu secara khusus menyebut bahawa beliau mempunyai kebiasaan menembak dalam posisi berdiri, dan ketika itulah beliau terkena tembakan musuh.

Walaupun cedera, beliau dan para pejuang gerila lain yang bersamanya terus mempertahankan pulau tersebut.

Keberanian dan pengorbanan beliau bukan sahaja menjadi sebahagian daripada sejarah perjuangan menentang pendudukan Jepun, malah turut mengangkat nama Sabah dan Malaysia dalam catatan sejarah ketenteraan Amerika Syarikat. Begitulah latar belakang beliau dan kisah perjuangannya ketika menentang Jepun di Borneo Utara (Sabah) semasa Perang Dunia Kedua.

Selepas perang tamat, beliau telah bersara dan bersama anak-anaknya telah mengusahakan tanah di Kg Limau-Limau, Pulau Bait, Semporna sehinggalah Sabah terbentuk melalui Suruhanjaya Cabbold (17 Januari 1962). Dirinya juga diceritakan aktif mengajar fardhu ain kepada masyarakat setempat sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 25 Disember 1972. (AL FATIHAH)

Terbaru Lebih lama