Tiparah Cermin Mata Selam Tradisional

Cermin mata menyelam tradisional yang dikenali sebagai Tiparah (kadangkala juga dikenali sebagai Tipara atau Tepahak) merupakan satu elemen penting dalam budaya maritim bagi kumpulan masyarakat Bajau pesisir laut di pantai timur Sabah seperti di Semporna.

Ia bukan sekadar alat bantu menyelam, tetapi juga mencerminkan hubungan erat antara komuniti ini dengan laut, yang telah menjadi sumber kehidupan mereka selama berabad-abad.

Berikut adalah sedikit penjelasan tentang tiparah dari segi reka bentuk, bahan, fungsi dan signifikan budayanya.


Reka Bentuk Tiparah


Tiparah direka dengan sangat praktikal dan ringkas, namun berfungsi baik untuk digunakan sewaktu menyelam di perairan cetek dan dalam. Ciri-ciri utama reka bentuknya adalah...

  • Lensa - Terbuat daripada kaca, biasanya diambil daripada botol kaca terbuang yang dipotong dan dikilatkan untuk menjadi jernih dan rata. Ada juga yang menggunakan cermin tebal.

  • Bingkai - Diperbuat daripada kayu ringan seperti kayu terapung atau kayu yang tahan air. Kayu ini diukir tangan mengikut bentuk muka si pemakai.

  • Pelekat Kedap Air - Untuk memastikan lensa kaca tidak bocor, lilin, damar atau getah pokok digunakan untuk menyekat ruang antara kaca dan bingkai kayu.

  • Tali Pengikat - Tiparah diikat ke kepala menggunakan tali daripada serat tumbuhan, kulit kayu atau tali moden jika ada.


Kegunaan & Fungsi


Tiparah digunakan terutamanya untuk menyelam mencari hasil laut seperti timun laut (trepang), kerang, siput, ikan, atau mutiara.

Selain itu ia juga digunakan sewaktu menangkap ikan dengan tombak, penyelam seperti suku kaum Bajau Laut sangat terkenal dengan kecekapan mereka menyelam tanpa alat pernafasan moden.

Tiparah membolehkan pandangan yang jelas di bawah permukaan laut, penting untuk keselamatan dan keberkesanan semasa menangkap ikan.

Ianya berfungsi untuk melindungi mata daripada sisa kotoran atau sisa pepejal yang boleh mencederakan mata memandangkan terdapat perbezaan isi laut pada waktu dulu dan sekarang.


Pada masa kini, penggunaan tiparah semakin berkurangan berikutan kemunculan peralatan menyelam moden seperti gogal dan snorkel. Walau bagaimanapun, alat tradisional ini masih digunakan oleh sebahagian nelayan dan penyelam di beberapa kawasan pesisir serta pulau-pulau sekitar Semporna.

Sebagai khazanah warisan budaya yang unik, tiparah kini mendapat perhatian daripada pelancong, pengkaji budaya dan penyelidik. Pelbagai usaha sedang dijalankan oleh badan bukan kerajaan (NGO), institusi penyelidikan dan komuniti setempat untuk mendokumentasikan proses pembuatan serta penggunaannya bagi memastikan warisan ini terus dipelihara dan tidak hilang ditelan zaman.

Pengunjung yang ingin melihat sendiri penggunaan tiparah boleh berkunjung ke perkampungan pesisir pantai di sekitar Semporna, di mana alat ini masih digunakan oleh sesetengah penyelam tradisional ketika memburu hasil laut di dasar lautan. Selain itu, tiparah juga boleh dilihat sebagai sebahagian daripada koleksi warisan di Muzium Tun Sakaran, Semporna
Terbaru Lebih lama