Operasi Semporna 26 Oktober 1901

Pada pagi 26 Oktober 1901, perairan Semporna mungkin kelihatan seperti biasa. Namun pada hari itu semuanya telah berubah apabila sebuah kapal bertenaga wap bernama SS Normanhurst muncul membawa satu mesej jelas iaitu hadir sebagai sebahagian daripada sebuah operasi terhadap penentangan masyarakat tempatan yang dikaitkan dengan seorang pemimpin Bajau dari kawasan Gulam Gulam, iaitu Panglima Lohari.

Operasi tersebut dikenali sebagai Operasi Semporna “The Simporna Expedition”, ia adalah sebuah operasi ketenteraan di bawah arahan Mr. Molyneux (Pegawai Daerah Tawau) yang melibatkan para pegawai pihak British North Borneo Chartered Company (BNBCC), pasukan tentera pihak kompeni dan kumpulan pejuang bersenjata dayak yang digunakan dalam operasi tersebut.

Selain itu seorang penghulu dari suku kaum bugis di Tawau berjanji akan menyediakan 40 orang untuk menyertai operasi ini namun telah jatuh sakit dan tidak dapat ikut serta. Sebelum itu beliau sebenarnya telah meminta agar setiap seorang pengikut beliau mesti dibekalkan dengan selaras senapang sebelum mereka ikut berperang tetapi pihak kompeni mengabaikan permintaan mereka kerana khuatir faktor keselamatan (duri dalam daging) dan akhirnya membuat keputusan untuk tidak meminta bantuan dari kumpulan penghulu tersebut.

Punca operasi ketenteraan ini dilaksanakan adalah akibat konflik yang timbul dengan para penduduk tempatan yang mula tidak merasa puas hati dengan pihak kompeni British apabila memperkenalkan pelbagai peraturan baru seperti cukai tanah, cukai kepala, cukai perdagangan, pendaftaran perahu dan pelbagai perkara yang meningkatkan kawalan pihak kompeni terhadap pergerakan dan kebebasan masyarakat setempat.

Gambar Sekadar Hiasan

Bagi Kompeni, peraturan ini adalah sebahagian daripada usaha mengukuhkan pentadbiran. Tetapi bagi sebahagian masyarakat Bajau dan Suluk yang telah lama menetap sebelum kemunculan kolonial, ia bermaksud kebebasan yang selama ini mereka nikmati semakin dikawal.

Maka lahirlah penentangan daripada pemimpin dan masyarakat tempataan yang diketuai oleh Panglima Lohari. Beliau adalah merupakan  salah seorang daripada lima pemimpin utama Bajau yang dilantik oleh Sultan Sulu untuk memimpin komuniti di Magindora.

Beliau bukanlah seorang tokoh yang terkenal di seluruh Borneo seperti beberapa pejuang Sabah yang lain. Namun di kawasan Semporna, beliau mempunyai pengaruh dan pengikut. Yang menariknya, hubungan Lohari dengan Kompeni pada awalnya bukanlah hubungan antara seorang musuh dengan penjajah. Sebaliknya, beliau pernah dilihat sebagai pemimpin tempatan yang boleh membantu pentadbiran Kompeni mengurus masyarakat setempat.

Ketegangan semakin meningkat apabila sekitar 1895, pihak Kompeni mula melihat Lohari dan kumpulannya sebagai ancaman terhadap kestabilan pemerintahan mereka di kawasan tersebut. Maka akhirnya pada 26 Oktober 1901 Operasi Semporna telah dilancarkan. 

Ketika operasi tersebut sedang dilaksanakan, pada masa yang sama Panglima Lohari telah dipanggil untuk berunding, dan beliau tanpa segan silu dan rasa takut telah menerima jemputan tersebut untuk bertemu dengan pihak kolonial. Namun pihak kolonial telah menyediakan sebuah rancangan licik dan akhirnya dirinya telah ditangkap ketika hadir dalam perjumpaan rundingan tesebut.


Kampung Gulam-Gulam di Bakar

Gambar Sekadar Hiasan

Pada ketika itu, pihak British mungkin menganggap bahawa operasi mereka sudah hampir mencapai matlamat. Pemimpin utama penentangan telah berada dalam tahanan. Gerakan yang dipimpinnya sepatutnya dapat dilemahkan namun mereka tersilap mengira kehebatan Panglima Lohari.

Hanya beberapa hari selepas penangkapannya, sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Pada 30 Oktober 1901, Panglima Lohari berjaya melarikan diri daripada tahanan. Kejadian itu bukan sekadar satu kejayaan peribadi. Ia merupakan tamparan kepada pihak kompeni dimana seorang pemimpin yang telah mereka tangkap kini kembali bebas.

Perkara itu menimbulkan rasa marah dan tidak puas hati kepada pihak kompeni dan akhirnya telah bertindak balas dengan keras apabila mengambil tindakan dengan membakar Kampung Gulam-Gulam (Gelam-Gelam Pulau Bum-Bum).Tindakan tersebut merupakan sebuah bentuk amaran kepada penduduk tempatan bahawa pihak kompeni mempunyai kuasa untuk menghukum seluruh kawasan yang dianggap membantu atau melindungi penentangan.

Catatan dalam North Borneo Herald pada tahun 1903 turut merujuk kepada Gulam-Gulam sebagai tempat yang telah dibakar kira-kira setahun sebelumnya kerana "disloyalty" Panglima Lohari sebagai ketua kampung tersebut.


Sumber
Terbaru Lebih lama