Sejarah Sabah sarat dengan kisah keberanian dan perjuangan menentang kuasa asing, namun di celah lipatan masa, ada nama yang hampir dilupakan. Di Semporna, salah satu nama yang wajar dikenang ialah Panglima Lohari, seorang pemimpin masyarakat Bajau dari Gulam-Gulam (Gelam-Gelam), Pulau Bum Bum, yang pernah mencabar kekuasaan British North Borneo Chartered Company (BNBCC) pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Kisahnya bukan sekadar kisah seorang lelaki yang melawan penjajah. Ia adalah kisah tentang sebuah masyarakat yang sedang kehilangan sebahagian daripada kebebasan hidup mereka, tentang seorang pemimpin yang enggan tunduk begitu sahaja, lebih menarik lagi, kisah Panglima Lohari berakhir dengan satu persoalan yang sehingga hari ini masih belum terjawab sepenuhnya
Sebelum Kedatangan Kolonial
Sebelum kuasa British semakin kukuh di kawasan pantai timur Borneo Utara, kehidupan masyarakat Bajau amat berkait rapat dengan laut. Laut bukan sekadar laluan perjalanan, tetapi menjadi sumber makanan, perdagangan, hubungan antara pulau dan asas kepada kehidupan masyarakat.
Semporna dan pulau-pulau di sekitarnya merupakan sebahagian daripada dunia maritim yang telah berkembang jauh sebelum kedatangan pentadbiran kolonial. Masyarakat tempatan mempunyai sistem kepimpinan, jaringan perdagangan dan aturan sosial mereka sendiri.
Namun, apabila BNBCC memperluaskan pengaruhnya, kehidupan yang selama ini bergerak berdasarkan aturan tempatan mula berhadapan dengan sistem pentadbiran baharu.
Pendaftaran perahu, cukai, kawalan perdagangan dan pelbagai bentuk peraturan diperkenalkan. Bagi pentadbiran kolonial, langkah tersebut merupakan usaha untuk mengawal wilayah dan meningkatkan hasil kerajaan. Namun bagi sebahagian masyarakat tempatan, perubahan itu dirasakan sebagai campur tangan terhadap kebebasan yang telah mereka nikmati sejak sekian lama.
Ketegangan pun mula tumbuh dan dalam ketegangan inilah nama Panglima Lohari mula muncul dengan lebih jelas.
Panglima Lohari
Beliau adalah salah seorang daripada lima pemimpin utama Bajau yang dilantik oleh Sultan Sulu untuk memimpin komuniti di Sabah. Sebagai keturunan Selangaya Bongsu, beliau pada mulanya berpusat di Pulau Omadal sebelum ditugaskan mengetuai wilayah Galam-Galam (Gelam Gelam) di Semporna.
Menariknya, sejarah beliau juga memperlihatkan bagaimana hubungan antara pemimpin tempatan dengan kuasa kolonial tidak semestinya hitam dan putih.
Dalam sesetengah catatan, pemimpin tempatan pada awalnya mempunyai kedudukan tertentu dalam struktur pentadbiran atau pengaruh politik setempat. Namun apabila kepentingan masyarakat mereka bertembung dengan dasar Kompeni, hubungan tersebut boleh berubah menjadi penentangan.
Begitulah yang berlaku kepada Lohari. Beliau akhirnya dilihat oleh pihak Kompeni bukan lagi sebagai seorang ketua tempatan yang boleh diajak bekerjasama, tetapi sebagai seorang tokoh yang mempunyai kemampuan untuk menggerakkan penentangan.
Pada tahun 1895, ketegangan dikatakan semakin memuncak. Nama Panglima Lohari bersama beberapa tokoh lain, termasuk Nakib Jani, mula dikaitkan dengan penentangan terhadap kuasa Kompeni.
Bagi British, masalahnya bukan sekadar seorang ketua yang enggan menurut arahan. Masalah sebenarnya ialah pengaruh. Seorang pemimpin yang mempunyai sokongan masyarakat boleh menjadi titik penyatuan kepada penentangan yang lebih besar.
The Simporna Expedition
Enam tahun selepas ketegangan memuncak, keadaan berubah menjadi lebih serius. Pada Oktober 1901, pihak BNBCC melancarkan satu gerakan yang dikenali sebagai The Simporna Expedition atau Ekspedisi Semporna.
Di bawah arahan Mr. Molyneux (Pegawai Daerah Tawau), pasukan tersebut bergerak dari Tawau menggunakan kapal wap s.s. Normanhurst, bersama pegawai perubatan dan anggota bersenjata, termasuk pejuang Dayak yang digunakan oleh pihak Kompeni.
Selain itu seorang penghulu dari suku kaum bugis di Tawau berjanji akan menyediakan 40 orang untuk menyertai operasi ini namun telah jatuh sakit dan tidak dapat ikut serta. Sebelum itu beliau sebenarnya telah meminta agar setiap seorang pengikut beliau mesti dibekalkan dengan selaras senapang sebelum mereka ikut berperang tetapi pihak kompeni mengabaikan permintaan mereka kerana khuatir faktor keselamatan (musuh dalam selimut) dan akhirnya membuat keputusan untuk tidak meminta bantuan dari kumpulan penghulu tersebut.
Tujuannya adalah sangat jelas iaitu untuk mengawal keadaan di Semporna dan menamatkan penentangan yang dikaitkan dengan Panglima Lohari serta pengikutnya.
Maka pada 25 Oktober 1901, Pasukan British telah bertolak dari Tawau menaiki kapal s.s. Normanhurst bersama seorang pegawai perubatan dan 29 pejuang Dayak (Polis & Freemen) dan pada 26 Oktober 1901 mereka telah Tiba di Semporna kira-kira pada jam 9:45 pagi. British mendengar khabar angin bahawa Panglima Lohari sedang membina sebuah kubu pertahanan dan ia dianggap sebagai sebuah ancaman yang serius.
Kehadiran sebuah kapal bersenjata dengan pasukan yang terlatih tentunya memberikan gambaran yang sangat berbeza kepada penduduk tempatan. Ia bukan sekadar kunjungan pegawai kerajaan. Ia merupakan satu operasi untuk menunjukkan bahawa kuasa Kompeni mempunyai kekuatan tentera dan mampu memasuki kawasan yang selama ini dikuasai oleh pemimpin tempatan.
Penangkapan Yang Bermula Dengan “Perundingan”
Salah satu bahagian paling menarik dalam kisah ini ialah bagaimana Panglima Lohari akhirnya ditangkap. Pada awalnya beliau telah dipanggil untuk berunding namun rupanya pertemuan tersebut adalah sebuah perangkap licik oleh pihak kompeni dan akhirnya membawa kepada penahanan beliau di atas kapal tempat mereka melakukan rundingan.
Keesokan harinya, 27 Oktober 1901, pihak British membawa Panglima Lohari ke kawasan kampungnya di Gulam-Gulam. Di sana, mereka melakukan pemeriksaan dan merampas pelbagai senjata serta bahan yang dianggap berkaitan dengan persiapan pertahanan.
Antara yang ditemukan ialah senapang, parang dan timbunan buluh nebong yang telah ditajamkan. Bagi pihak British, penemuan itu menjadi bukti bahawa Lohari dan pengikutnya sedang membuat persiapan untuk menghadapi pasukan Kompeni.
30 Oktober 1901-Panglima Lohari Melarikan Diri
Panglima Lohari mungkin telah ditangkap. Tetapi beliau belum menyerah. Pada ketika itu, pihak British mungkin menganggap bahawa operasi mereka sudah hampir mencapai matlamat. Pemimpin utama penentangan telah berada dalam tahanan. Gerakan yang dipimpinnya sepatutnya dapat dilemahkan namun mereka tersilap mengira kehebatan Panglima Lohari.
Pada 30 Oktober 1901, berlaku satu peristiwa yang menjadikan kisahnya semakin luar biasa. Beliau telah berjaya melarikan diri daripada tahanan ketika berada di bawah kawalan pihak British.
Bayangkan keadaan pada ketika itu, seorang pemimpin tempatan yang telah ditangkap oleh sebuah kuasa kolonial yang mempunyai kapal, senjata dan anggota bersenjata berjaya melepaskan diri daripada kawalan mereka.
Bagi British, pelarian itu bukan sahaja memalukan tetapi juga berpotensi menghidupkan kembali penentangan.
Kampung Gulam-Gulam di Bakar
Perkara itu menimbulkan rasa marah dan tidak puas hati kepada pihak kompeni dan akhirnya telah bertindak balas dengan keras apabila mengambil tindakan dengan membakar Kampung Gulam-Gulam.Tindakan tersebut merupakan sebuah bentuk amaran kepada penduduk tempatan bahawa pihak kompeni mempunyai kuasa untuk menghukum seluruh kawasan yang dianggap membantu atau melindungi penentangan.
Api yang marak bukan sekadar memusnahkan rumah-rumah. Ia memusnahkan tempat tinggal, harta benda dan sebahagian daripada kehidupan masyarakat yang telah dibina selama bertahun-tahun.
Catatan The British North Borneo Herald menceritakan tentang susunan peristiwa keadaan yang sedang berlaku di Tawau dan Semporna selain penentangan yang dilakukan oleh Panglima Lohari.
Boleh Rujuk di Sini Susunan Peristiwa Sejarah Penentangan Panglima Lohari (Penuh)
Catatan mengenai peristiwa tersebut menggambarkan bagaimana pihak Kompeni kembali ke kampung itu selepas kebakaran untuk memastikan sisa-sisa yang masih ada turut dimusnahkan. Pada 31 Oktober 1901, mereka menemui harta benda yang disembunyikan di dalam pasir. Hanya seorang wanita tua yang sakit ditemui di kebun berhampiran.
Hari itu meninggalkan satu gambaran yang sangat tragis. Sebuah kampung yang sebelumnya mempunyai kehidupan kini berubah menjadi kawasan yang tinggal sisa pembakaran dan semuanya berlaku kerana sebuah kuasa kolonial mahu memberikan mesej yang jelas.
Panglima Lohari Serah Diri
Pembakaran kampung tidak bermakna perjuangan Lohari berakhir. Beliau masih berada di luar kawalan pihak British. Untuk beberapa bulan, beliau masih lagi menjadi buruan.
Pihak Kompeni pula terus berusaha mencari dan menamatkan penentangan yang dianggap mengganggu ketenteraman pentadbiran mereka. Dalam tempoh ini, nama Lohari bukan lagi sekadar nama seorang ketua kampung. Beliau telah menjadi simbol kepada penentangan masyarakat tempatan terhadap kuasa yang semakin menguasai kehidupan mereka.
🔖 Sumber :
🔖 Artikel Asal :
📷 Nusri Bin Jabbi Bin Alinjaman Bin Pinsalan Bin Santek Bin Abu Sari Bin Goneh
🔖 Sumber Lain :
- Diari AR Dunlop
- Laporan Pegawai Daerah Tawau Molyneux
- The British North Borneo Herald 1883 – 1902
- DS Ranjit Singh, The Making of Sabah 1865-1941
- Ken Goodlet, Tawau - The Making of A Tropical Community
- Owen Rutter – British North Borneo
- Zubir Bin Osman anak Harindang anak Indang anak Piang Binti Nakib Jani Bin Anni
- Abdul Sani
