Sabah Bakal Menjadi Lokasi Penggambaran Filem Antarabangsa Sea Gypsies

Sabah bakal menjadi tumpuan dunia apabila dipilih sebagai lokasi utama penggambaran filem antarabangsa berjudul “Sea Gypsies”, yang dijadualkan memulakan penggambaran pada penghujung tahun ini. 

Filem bergenre fiksyen sejarah itu diterbitkan oleh BWG Vision Tech Sdn. Bhd. menerusi kerjasama produksi antara Malaysia dan China sempena sambutan 50 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara.


Menurut Penerbit Filem, Mohamad Aliff Najmi Abdullah, kira-kira 50 hingga 60 peratus daripada keseluruhan penggambaran akan dijalankan di Sabah. Antara lokasi yang dipilih termasuk Semporna, Tawau, Tuaran dan Sandakan, yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi, warisan budaya serta landskap pantainya yang memukau.

Penghasilan filem berkenaan melibatkan kos keseluruhan sekitar RM150 juta, menjadikannya antara projek penerbitan filem antarabangsa terbesar yang pernah melibatkan Sabah.

“Sea Gypsies” diinspirasikan daripada kisah yang berlatarbelakangkan kira-kira 1,500 tahun lalu, mengangkat tema persahabatan, keamanan, konflik dan peperangan yang melibatkan Kerajaan Chola, Dinasti Song dan Kerajaan Melayu Sri Vijaya. 


Jalan ceritanya menggabungkan elemen sejarah dan fiksyen bagi membawa penonton menghayati hubungan antara tamadun-tamadun besar di rantau Asia pada zaman tersebut.

Selepas siap diterbitkan, filem ini dijangka ditayangkan di lebih 10,000 pawagam di seluruh China dengan sasaran sekitar 60 juta penonton. Pendedahan berskala besar ini dijangka memberi impak positif kepada industri pelancongan Sabah dengan memperkenalkan keindahan negeri itu kepada khalayak antarabangsa.

Pemilihan Sabah sebagai lokasi utama penggambaran bukan sahaja mencerminkan keunikan alam semula jadi dan kepelbagaian budayanya, malah berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada industri kreatif, pelancongan dan ekonomi tempatan melalui penglibatan tenaga kerja serta promosi destinasi di peringkat global.
Terbaru Lebih lama