Di tengah-tengah penempatan sekitar Simporna (Semporna) pada waktu dulu terdapat sebatang pokok mangga yang kini telah mati dan reput, namun masih menyimpan sebuah kisah yang amat bermakna dalam sejarah perkembangan Islam di daerah ini.
Umat Islam zaman dahulu menentukan arah kiblat menggunakan ilmu falak (astronomi) dan cerapan alam. Kaedah utama termasuk menggunakan buruj dan kedudukan bintang,
Namun di Semporna masyarakat tempatan beragama islam terutamanya penduduk di sekitar Kampung Ayer telah mengambil tindakan susulan dengan menanam sebatang pokok iaitu pokok mangga bagi membantu mereka untuk mengenal pasti arah kiblat dengan lebih tepat
Menurut cerita yang diwarisi daripada masyarakat setempat, pokok mangga ini telah ditanam oleh Imam Jayari, salah seorang ulama terawal di Semporna, sebagai penanda arah kiblat bagi memudahkan umat Islam menunaikan solat.
Pokok ini ditanam dengan tujuan memudahkan umat Islam menentukan arah kiblat dengan tepat, ia sangat membantu apabila menunaikan solat ketika cuaca mendung dimana kedudukan matahari dan bintang tidak kelihatan.
Pada ketika itu, Surau Kampung Ayer (Masjid Ar Rahman atau Masjidil Rahman) hanyalah sebuah pondok kecil yang diperbuat daripada papan dan kayu, manakala teknologi moden seperti kompas belum digunakan secara meluas.
Pokok mangga ini dipercayai telah berusia lebih daripada 100 tahun dan terletak di kawasan rumah YB Tun Sakaran Dandai di Kampung Ayer, Semporna.
Malangnya, pokok yang mempunyai nilai sejarah ini telah mati selepas dipercayai terkena racun, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, ketika kerja-kerja dilakukan oleh pekerja di kawasan tersebut. Walaupun pokok itu telah mati, batangnya masih dibiarkan berdiri di lokasi asalnya sebagai tanda penghormatan terhadap nilai sejarah serta kenangan yang dikaitkan dengannya.
Pokok ini turut dikaitkan dengan kisah Imam Jayari, antara tokoh agama terawal yang memainkan peranan dalam perkembangan Islam di Semporna. Menurut cerita dan ingatan lisan masyarakat setempat, Imam Jayari dipercayai merupakan antara imam terawal di Semporna sekitar tahun 1890 hingga 1920. Beliau kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Omadal.
Sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan beliau, nama Imam Jayari telah diabadikan pada Jalan Imam Jayari, yang terletak berdekatan dengan kawasan rumah Tun Sakaran di Kampung Ayer.
Kisah pokok mangga ini merupakan sebahagian daripada warisan lisan masyarakat Semporna, yang menghubungkan sejarah tempat, tokoh agama dan perkembangan awal Islam di daerah ini. Walaupun sebahagian kisahnya disampaikan secara turun-temurun, ia tetap mempunyai nilai yang besar sebagai ingatan kolektif masyarakat terhadap sejarah dan tokoh-tokoh terdahulu.
Semoga kisah ini terus dipelihara, didokumentasikan dan diwariskan kepada generasi akan datang, agar mereka dapat mengenali, menghargai dan memahami sejarah awal perkembangan Islam serta warisan masyarakat Semporna.


