Makanan Eksotik & Tradisi di Semporna

Perkara pertama yang terlintas di fikiran apabila menyebut nama Semporna pastinya keindahan lautnya yang membiru, kekayaan dunia marin yang memukau serta deretan pulau-pulau yang cukup menawan. Namun, di sebalik keindahan alam semula jadinya, Semporna juga terkenal dengan kepelbagaian makanan laut eksotik yang mungkin jarang ditemui di tempat lain.

Keunikan kuliner Semporna ini mungkin ada kaitannya dengan kedudukan geografinya yang berhampiran dengan sempadan Filipina. Kedudukan ini menjadikan Semporna bukan sahaja kaya dengan hasil laut, malah mempunyai persamaan dari segi budaya dan tradisi makanan dengan masyarakat di selatan Filipina.



Hal ini tidak menghairankan kerana jauh sebelum wujudnya sempadan politik seperti Malaysia dan Filipina pada hari ini, masyarakat yang mendiami kawasan sekitar Kepulauan Sulu dan perairan sekitarnya telah lama berkongsi hubungan sejarah, budaya, perdagangan dan kehidupan maritim yang saling berkait. Hubungan inilah yang turut membentuk keunikan makanan dan warisan kulinari masyarakat di Semporna.

Antara hidangan tradisional dan makanan laut yang terkenal di Semporna ialah beberapa jenis makanan yang mempunyai kaitan rapat dengan warisan kulinari masyarakat Bajau, khususnya etnik Bajau Laut, serta masyarakat Suluk. Keunikan makanan ini bukan sahaja terletak pada bahan-bahan yang digunakan, malah turut mencerminkan pengaruh budaya, tradisi dan cara hidup masyarakat pesisir pantai yang telah diwarisi sejak turun-temurun.


Latok


Latok ialah sejenis rumpai laut daripada spesies Caulerpa lentillifera, yang turut dikenali sebagai “anggur laut” (Sea Grapes) kerana bentuknya yang menyerupai gugusan biji anggur kecil berwarna hijau. Kebiasaannya, latok dihidangkan sebagai ulam dan dinikmati bersama nasi serta ikan bakar. Ia juga boleh dimakan segar bersama perahan limau kasturi, cili kampung, mangga muda atau sambal belacan, mengikut cita rasa masing-masing. Keunikan tekstur yang rangup, rasa segar dan sedikit masin menjadikan latok antara hidangan tradisional yang istimewa yang wajib anda cuba...



Tehe-Tehe

Teh-Tehe ialah sejenis hidupan laut daripada keluarga landak laut yang mempunyai duri pendek dan cangkerang keras. Bahagian dalamnya mengandungi isi berwarna oren kekuningan yang boleh dimakan dan biasanya dinikmati secara mentah atau dimasak mengikut cara tradisional. Tehe-tehe terkenal dengan rasa lemak berkrim serta keunikan rasanya yang menjadikannya antara makanan laut istimewa yang terdapat di Semporna.



Oko-Oko ( Nasi Tehe-Tehe)

Jika tehe-tehe biasanya dinikmati dengan membuang durinya, membelah cengkerangnya dan memakan isinya, Oko-Oko pula disediakan dengan cara yang berbeza. Beras akan dimasukkan ke dalam cengkerang landak laut yang telah dibersihkan, bersama sedikit garam dan halia. Nasi yang siap dimasak didalam cengkerang Tehe-Tehe tersebut dipanggil sebagai Oko-Oko ( Nasi Tehe-Tehe ) sekali gus menghasilkan aroma dan rasa makanan laut yang tersendiri



Sagol / Sinagol

Sagol atau Sinagol merupakan sejenis hidangan tradisional yang menggunakan ikan seperti ikan buntal, ikan pari atau ikan yu, khususnya spesis ikan yang mempunyai bahagian hati yang bersaiz besar sebagai bahan utama penyediaannya. Kemudian ianya akan dimasak dan disediakan dengan cara dimasak tumis kunyit. Jika datang ke Semporna, kami cadangkan anda untuk wajib cuba sendiri hidangan ini kerana ianya sungguh sedap dengan rasa yang penuh lemak.



Piutu

Ia dihasilkan daripada ubi kayu yang diparut halus, diperah untuk membuang airnya sebelum dikukus sehingga masak. Piutu atau Putu mempunyai tekstur yang kenyal, sedikit melekit dan berwarna putih kekuningan. Ia biasanya dijadikan makanan ruji sebagai pengganti nasi dan dinikmati bersama hidangan tradisional lain seperti Sagol, Kima, Tayum, Tehe-Tehe serta ikan bakar.



Tiyula Itum

Tiyula Itum merupakan makanan tradisional masyarakat Suluk yang berupa sup daging berwarna hitam. Warna hitamnya terhasil daripada isi kelapa yang dibakar sehingga hangus dan ditumbuk halus sebelum dimasak bersama daging bersama rempah-ratus. lazimnya ia dihidangkan semasa majlis perkahwinan, kenduri dan perayaan besar bagi masyarakat Suluk umumnya. Namun ia juga merupakan salah satu makanan eksotik yang boleh didapati di gerai-gerai makanan Semporna.





Kilau


Lokot

Sekilas pandang, Lokot kelihatan seperti mee suhun yang berwarna hijau. Namun, sebenarnya Lokot ialah kantung telur daripada sejenis arnab laut (Dolabella auricularia), yang dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai Rugu-Rugu atau Dunsol. Kebiasaannya, Lokot dinikmati secara mentah seperti kerabu dengan campuran perahan limau, cili dan sedikit garam.



Bovohan


Lovot-Lovot

Sekilas pandang, Lovot-Lovot kelihatan hampir sama seperti Bovohan kerana bentuknya yang seakan-akan serupa. Namun, berbeza dengan Bovohan yang keseluruhan badannya boleh dimakan, Lovot-Lovot hanya boleh dimakan pada bahagian badannya sahaja.






Post a Comment

Terbaru Lebih lama