Piutu

Piutu atau ada juga yang memanggilnya sebagai Putu adalah merupakan salah satu makanan tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Bajau dan Suluk di Sabah, khususnya di kawasan pantai timur seperti Semporna, Kunak, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.

Hidangan ini berfungsi sebagai pengganti nasi dan sering menjadi makanan ruji bagi kedua-dua etnik ini. Biasanya ia akan dimakan bersama pelbagai jenis makanan laut seperti ikan/sotong bakar, Sagol, Tayum, Kima dan pelbagai jenis makanan tradisi dan eksotik masyarakat Bajau dan Suluk.

Makanan ini senang ditemui dijual terutamanya disekitar pasar dan ia juga boleh disediakan sendiri kerana bahan dan cara penyediaan yang mudah. Menurut tradisi, Piutu merupakan salah satu makanan yang dihidangkan semasa majlis-majlis keramaian, jamuan, atau sebagai sarapan pagi dan kudapan petang.


Putu secara luaran kelihatan berwarna putih sedikit kekuningan, manakala apabila kita sentuh teksturnya pula terasa kenyal dan sedikit melekit.

Untuk rasanya pula ia boleh digambarkan apabila dikunyah, sedikit kenyal, hampir tiada rasa (tawar) tetapi terdapat sedikit rasa masam sesedap rasa (masam hujung lidah). 

Bagi masyarakat di Malaysia, ada juga yang salah faham dengan menyangka Piutu/Putu ini sama seperti Kue Putu/Putu Mayam tetapi sebenarnya tidak dan jauh meleset kerana antara keduanya mempunyai rasa, bahan dan cara penyediaan yang jauh berbeza.

Putu dihasilkan sepenuhnya menggunakan ubi kayu yang diparut secara halus, kemudian akan diperah untuk membuang sisa air dimana proses ini sebenarnya adalah untuk mendapatkan tepung "Panggih". 




Selepas itu tepung "Panggih" tersebut akan dikukus sehingga masak menggunakan sebuah alat tradisi masyarakat setempat yang dipanggil sebagai "Pamutuhan" atau menggunakan alat pengukus lain yang sama akan fungsinya.

Setelah masak, terpulang kepada anda untuk anda membentuknya, ada yang membiarkannya seperti nasi, berbentuk bulat atau selalunya ramai yang buat iaitu dibalut mampat bulat memanjang dengan plastik jernih jika untuk dijual.

Oleh kerana Piutu diperbuat daripada ubi kayu, ia tidak digalakkan dimakan bersama minuman berkarbonat kerana boleh menyebabkan perut berasa tidak selesa seperti kembung atau masuk angin

Kini, Piutu bukan sahaja digemari oleh masyarakat Bajau dan Suluk, malah turut mendapat tempat di hati pelbagai kaum lain di Sabah, jadi tidak hairanlah jika kita dapat melihat makanan ini banyak dijual di pasar seluruh Sabah.
Terbaru Lebih lama