Latok atau nama saintifiknya “Caulerpa Lentellifera” adalah sejenis rumpai laut, ia juga mendapat julukan nama sebagai “Anggur Laut” kerana bentuknya yang menyerupai seperti gugusan anggur kecil berwarna hijau. Setiap butir latok berbentuk bulat, lembut dan berair dan butir-butiran tersebut saling berhubung melalui batang atau tangkai utama yang lembut.
Ianya boleh didapati dengan sangat mudah di sekitar pasar dan dijual dengan harga yang sangat murah. Ia tumbuh di kawasan pantai yang cetek dan berpasir, kalau di Semporna selain tumbuh liar atau dipelihara di kawasan laut yang sesuai, terdapat juga aktiviti ternakan/pengkulturan latok yang aktif diusahakan secara komersial di kawasan perairan yang sesuai menggunakan sangkar/tapak akuakultur.
Rumpai ini juga sebenarnya banyak diternak di pesisir pantai kepulauan Filipina dan Borneo di Asia Tenggara serta sekitar Kepulauan Okinawa, Jepun. Ia juga boleh ditemui di sekitar penempatan pesisir pantai Johor, Singapura dan kepulauan riau dengan nama “Latoh”.
Latok mempunyai rasa segar dan unik, bayangkan apabila dikunyah setiap butir mempunyai rasa sedikit masin, sedikit berlendir dan mempunyai aramo rasa laut segar pada setiap gigitan. Manakala teksturnya pula terasa rangup dan meletup seperti Kaviar apabila dikunyah.
Selalunya ia akan dinikmati secara segar sebaik dituai, dimakan mentah begitu sahaja atau digaul bersama bawang, cili, mangga muda dan perahan limau untuk menghasilkan rasa yang lebih menyegarkan. Gabungan ini memberikan keseimbangan antara masin, pedas, masam dan segar, sekali gus menyerlahkan rasa asli latok.
Ia juga selalu dihidangkan sebagai ulam bersama nasi, ikan bakar dan pelbagai makanan eksotik lain seperti mengikut cita rasa masing-masing. Latok tidak akan disediakan dengan cara dimasak kerana struktur bebola kecilnya boleh berubah dan kehilangan tekstur “pop” yang menjadi keistimewaan utama latok.
Latok juga dipercayai mempunyai beberapa khasiat yang memberi kebaikan dan kesihatan kepada pemakannya. Masyarakat Bajau dan Suluk di Sabah percaya bahawa memakan rumpai laut jenis ini akan menyumbang kepada kesihatan kepada yang baik dan umur yang panjang.
Dari segi saintifik pula, Latok mempunyai pelbagai kandungan nutrien yang bermanfaat. Ia mengandungi kandungan vitamin A, C, kalsium, magnesium, serta asid lemak omega-3 yang tinggi kaya dengan antioksidan, anti-radang, serta membantu mengawal paras gula dalam darah, menjadikannya pilihan makanan yang sihat bagi mereka yang ingin menambah nutrisi dalam diet harian dan banyak lagi.
Latok boleh menjadi pilihan makanan yang menarik kerana rendah kalori, mengandungi serat, mineral dan sebatian bioaktif. Oleh kerana ia dimakan secara mentah-mentah dan segar dinasihatkan agar memastikan dicuci terlebih dahulu, dan latok perlu dimakan segera selepas dicuci guna air paip/mentah kerana akan jadi cepat lesu.
