Menara Kubu Bersejarah Di Semporna

Menara Kubu di Semporna, Sabah, adalah sebuah struktur bersejarah yang dibina semasa era penjajahan British sebagai kubu pertahanan. Ia terletak di kawasan strategik berhampiran laut (sebelum ditambak), membolehkan pengawasan terhadap aktiviti maritim di sekitar Semporna.

Menara ini mempunyai reka bentuk yang kukuh dengan dinding tebal dan tingkap sempit, sesuai untuk tujuan pertahanan. Mempunyai ketinggian kira-kira 30 kaki, kubu ini telah dibina oleh pihak British berfungsi sebagai pos pertahanan dalam serbuan akan datang oleh penceroboh bersenjata.

Pada awal pembinaannya Menara Kubu ini dicat berwarna merah, dan penduduk setempat memanggil ia sebagai "Kutta" yang membawa maksud Kota. Ketika itu bangunan inilah yang paling tinggi dibina dan terdapat di Semporna.



Menurut Datuk Clement Jaikul Punca menara kubu pertahanan ini mula dibina pada awalnya adalah kerana sebelumnya pekan Semporna telah diserang dengan tragis dan kejam oleh kira-kira 30 orang lanun bersenjata lengkap yang telah membuat huru hara. 

Akibatnya seorang pegawai hutan British, seorang pekedai berbangsa cina (tukang jahit), seorang pemuda bajau simunul, seorang sgt & pc polis dan 2 konstabel telah terbunuh semasa kemuncak pencerobohan itu berlaku pada tahun 1954. Kemudian beberapa lagi cubaan siri serangan dilakukan namun gagal.




Oleh itu untuk memperkukuh dan memperkuatkan lagi sistem pertahanan pesisir bagi menghadapi para lanun yang datang dari arah laut maka akhirnya sebuah menara telah dibina dan disekelilingnya dipersiapkan dengan tapak / kawasan kubu pertahanan. Dari situlah ia mendapat akan namanya sebagai satu satunya menara kubu pertahanan yang dibina berhampiran pusat Pekan Simporna. Sekelilingnya juga dulu terdapat tanaman-tanaman seperti sayur-sayuran yang ditanam oleh para isteri polis yang bertugas di Semporna.

Selain berfungsi sebagai kubu, ia juga digunakan sebagai pusat pentadbiran dan komunikasi pihak berkuasa / keselamatan semasa era zaman tersebut. Ia juga merupakan salah satu rumah api yang sangat penting untuk membantu ahli pelayaran dan nakhoda kapal belayar serta mendarat dengan selamat, berfungsi memandu arah kapal pada waktu malam atau ketika cuaca buruk menggunakan pancaran cahaya yang kuat agar setiap nahkoda tahu arah dan jarak antara kapal mereka dan daratan.




Walaupun kurang dikenali berbanding tarikan lain seperti Bukit Tengkorak, menara ini tetap menjadi sebahagian penting dalam sejarah tempatan. Ia mengingatkan kita tentang peranan penting Semporna dalam aspek pertahanan dan keselamatan wilayah pada masa lalu.

Namun sejak tahun 1970an setelah tugu asal untuk memperingati peristiwa berdarah 1954 dirobohkan, menara ini akhirnya telah dijadikan sebagai sebuah tugu peringatan/mercu tanda sebagai ganti untuk mengingati peristiwa berdarah 1954 itu dan menjadi salah satu tarikan pelancongan yang menarik di Semporna. (untuk makluman bangunan menara kubu pertahanan yang asal telah dirobohkan dan diganti dengan bangunan yang baru kita lihat hari ini) waktu dulu terdapat sebuah plak peringatan yang diletakkan di menara kubu ini namun telah dicabut.

Untuk pengetahuan para pembaca juga, sebenarnya berhampiran menara kubu pertahanan ini juga terdapat sebuah tugu yang terdiri daripada 6 tiang yang dibina bagi mengenang sebuah lagi perisitiwa hitam yang berlaku pada pada 2 Mac 2013 di Kampung Simunul Semporna.

Terbaru Lebih lama