Tugu Peringatan Peristiwa Berdarah 1954 Semporna

Tugu Peringatan Peristiwa Berdarah Semporna 1954 merupakan sebuah monumen bersejarah yang didirikan sebagai tanda penghormatan kepada anggota polis dan orang awam yang terkorban dalam serangan lanun yang menggemparkan pada 29 Mac 1954 di Semporna, Sabah.

Peristiwa tragis ini berlaku ketika Semporna masih berada di bawah pentadbiran British di Borneo Utara. Di waktu pagi yang sepatutnya tenang seperti hari-hari biasa, suasana damai tiba-tiba bertukar huru-hara apabila sekumpulan lanun bersenjata melancarkan serangan secara mengejut. 


Dengan menaiki dua buah kumpit, kumpulan lanun tersebut telah menyerbu Balai Polis Semporna dan turut menyerang tempat lain di sekitarnya, mencetuskan detik berdarah yang kekal terpahat dalam sejarah tempatan.

Serangan ini menyebabkan beberapa individu terkorban, termasuk tiga anggota polis iaitu SJN Sagar, PC Jambuan, dan PC Gimun. Selain itu, seorang pegawai hutan British, Thomas Robert Barnard, seorang tukang jahit Cina, dan seorang pemuda Bajau Simunul juga terbunuh dalam serangan tersebut.



Sebagai tanda penghormatan yang abadi terhadap mereka yang terkorban ketika itu, sebuah tugu peringatan telah didirikan di Semporna. Tugu ini berdiri megah berhampiran tapak Pejabat Daerah Semporna lama iaitu sebuah bangunan bersejarah yang kini bertukar berfungsi  menjadi Pejabat Tanah dan Ukur Daerah Semporna.

Kubu tersebut telah dibina hasil sumbangan oleh Lion Club Semporna bagi mengenang peristiwa yang malang ini, berikut senarai nama yang telah terkorban dalam serangan tersebut...

  • Sarjan Sagar Singh 
  • Konstable Gimun 
  • Konstable Jambuan 
  • Mr Thomas Bernard ( Pegawai British )
  • Mr Pun Chu ( tukang jahit berbangsa cina )
  • En Abd Mantap ( pemuda berbangsa bajau simunul )


Namun, tidak lama kemudian tugu tersebut telah dirobohkan dan kini tapaknya telah dibangunkan menjadi sebuah taman kanak-kanak ( Taman Reaksi Semporna ). Adapun yang hanya tertinggal adalah terdapat sebuah struktur yang masih wujud berhampiran bekas tapak tugu tersebut iaitu berupa sebuah bangunan menara kubu atau rumah api yang tidak lagi aktif.


Oleh kerana menara kubu atau rumah api ini berdiri berhampiran lokasi asal tugu peringatan tersebut, secara tidak langsung ia juga menjadi lambang yang terus menghidupkan ingatan terhadap peristiwa berdarah yang pernah menggoncang Semporna itu. Ia bukan sekadar struktur fizikal, tetapi simbol sejarah yang menyimpan kisah keberanian dan pengorbanan insan-insan yang gugur demi mempertahankan keamanan.


Peristiwa Berdarah Semporna 1954 kekal sebagai satu tragedi yang mendalam maknanya iaitu mengajar kita erti keberanian, kesetiaan, dan harga sebenar sebuah keamanan. Anggota keselamatan bersama orang awam telah berjuang tanpa gentar, mempertahankan tanah air dalam saat-saat getir yang tidak pernah dilupakan.

Semoga pengorbanan mereka sentiasa terpahat dalam ingatan kita sebagai satu peringatan bahawa keamanan yang dikecapi hari ini lahir daripada darah, keberanian, dan pengorbanan mereka yang telah pergi.

Terbaru Lebih lama