Selain Pulau Ini Tempat Menarik di Semporna

Ramai pelancong terlepas pandang atau tidak menyedari bahawa Semporna bukan hanya terkenal dengan pulau-pulaunya yang indah. Sebenarnya, terdapat banyak lagi tempat menarik yang boleh diterokai.

Pelbagai tarikan lain yang tidak kurang menarik dimana para pengunjung berpeluang mengenali budaya tempatan, menelusuri kisah sejarah, serta menikmati khazanah alam semula jadi yang masih terpelihara keasliannya.

Berikut beberapa tempat yang menarik boleh dikunjungi selain pulau-pulau di Semporna,


Tapak Arkeologi & Galeri Warisan Bukit Tengkorak


Di daerah Semporna yang terkenal dengan keindahan pulau dan lautnya, tersembunyi satu khazanah sejarah yang amat bernilai iaitu Tapak Arkeologi Bukit TengkorakJuga dikenali sebagai 'Skull Hill' kerana penemuan tengkorak dan sisa manusia purba di kawasan ini,

Bukit Tengkorak mempunyai laluan pendakian bertangga yang dibina dari bawah hingga ke bahagian puncak bukit, Terdapat tempat rehat (shelter) di beberapa titik untuk minum dan menikmati pemandangan.

Dari puncak (~152 m di atas paras laut), anda boleh menikmati pemandangan panoramik ke arah Semporna dan pulau-pulau sekitarnya pada hari cerah termasuk Tun Sakaran Marine Park. Merupakan salah satu lokasi popular untuk aktiviti bergambar dan santai bersama keluarga dan rakan-rakan 

  • Baca Selanjutnya di Sini Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak Semporna (Skull Hill) ðŸ”—


Manakala di pangkalan bukit pula, terdapat sebuah galeri sebagai pusat pameran dan pendidikan yang dikenali Galeri Warisan Bukit Tengkorak atau 'Skull Hill Archaeological Heritage Site'.

Galeri ini menempatkan pelbagai artifak yang ditemui di tapak arkeologi tersebut, termasuk tembikar purba, peralatan batu, serta bahan penerangan tentang kehidupan manusia prasejarah.

Jadi bagi mereka penggemar dan peminat sejarah, bolehlah untuk datang dan melihat sendiri pelbagai artifak peninggalan zaman dulu sejak dari zaman neolitik lebih 3000 tahun lalu.

  • Baca Selanjutnya di Sini Galeri Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak Semporna ðŸ”—


Taman Bandar Semporna


Sekilas pandang, mungkin ada yang beranggapan taman ini hanyalah sebuah taman biasa. Namun sebenarnya, taman yang dikenali sebagai Taman Bandar Semporna ini telah dibuka semula secara rasmi pada tahun 2025 selepas melalui proses pengubahsuaian daripada reka bentuk taman sebelumnya.

Tapak taman ini pada suatu ketika dahulu pernah menjadi sebahagian daripada kubu pertahanan pihak British. Di kawasan ini juga pernah terdapat balai raya dan sebuah tugu peringatan yang telah dirobohkan. 


Kini, taman ini menjadi lokasi yang sesuai untuk aktiviti bergambar serta bersantai atau berehat bersama keluarga dan rakan-rakan. Terdapat juga monumen lepa, iaitu perahu lepa tradisional masyarakat Bajau.

Apa yang lebih menarik, di sekitar taman ini terdapat dua tugu pahlawan. Salah satunya ialah menara tugu atau rumah api zaman British yang dikekalkan sebagai lambang memperingati peristiwa berdarah pada tahun 1954.


Selain itu, terdapat sebuah lagi monumen yang terdiri daripada enam tiang yang melambangkan enam orang parajurit daripada Pasukan Polis Diraja Malaysia yang gugur dalam serangan lanun atau pengganas di Semporna.



Pakalangan Bay


Terletak kira-kira 20 km atau 18-20 minit masa perjalanan dari Pekan Semporna, jauh dari kesibukan destinasi pelancangan. Tersembunyi sebuah tempat menarik yang menawarkan pengalaman laut tropika yang tenang dan penuh dengan pesona alam semula jadi.

Pakalangan Bay merupakan salah satu tempat menarik yang wajib dikunjungi apabila anda berada di daerah Semporna, Sabah. Terletak di Kampung Pakalangan, kawasan ini menjadi lokasi rekreasi dan riadah seisi keluarga yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat sama ada penduduk tempatan, pengunjung dari daerah lain, mahupun pelancong dari dalam dan luar negara.

Keindahan semula jadi Pakalangan Bay sememangnya memukau. Pemandangan laut yang terbentang luas memberikan suasana tenang dan menyegarkan minda. Dari kawasan ini juga, pengunjung boleh melihat beberapa pulau kecil yang menghiasi lautan, menjadikan panorama di sini sangat sesuai untuk fotografi dan rakaman kenangan indah.

Selain itu, landskap kawasan ini telah disusun dan dihias dengan cantik bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung. Ia menjadi lokasi yang ideal untuk aktiviti riadah seperti berkelah bersama keluarga, bersantai menikmati angin laut, memancing, atau mengambil gambar dan swafoto berlatarbelakangkan pemandangan laut yang menakjubkan untuk dikongsi di media sosial.

Waktu Operasia bermula jam 7 pagi - 10 malam, bagi memastikan keselesaan pengunjung, Pakalangan Bay turut menyediakan pelbagai kemudahan asas dan rekreasi termasuk surau, kafe/restoran, pasaraya, kedai cenderahati, tempat memancing, kawasan BBQ dan pelbagai kemudahan lain


Terowong Street Semporna


Terowong Street di Semporna ialah salah satu tempat yang paling meriah waktu malam, terkenal sebagai pusat aktiviti dan lokasi tempat makan yang menjadi tumpuan penduduk tempatan serta pelancong.

Di sini terdapat deretan gerai dan kedai makan yang menawarkan pelbagai pilihan juadah tempatan (eksotik) dan makanan laut segar seperti ikan bakar, sotong goreng, kuih-muih Sabah dan lain-lain hidangan lazat pada harga berpatutan.

Orang ramai berkumpul untuk menikmati makanan sambil bersosial. Terdapat muzik-muzik dimainkan pada waktu tertentu, dan ada persembahan live seperti busking dan persembahan tradisional seperti tarian Igal-Igal yang memberi aura suasana lebih meriah.

Pada waktu siang pula, sejak tahun 2025 bermula jam 3 petang terdapat taman tema air yang telah beroperasi menyediakan pelbagai jenis kemudahan seperti 'Water Slide', kolam permainan dan banyak lagi.



2win Hill Park


Terletak di kawasan Bukit Sakong, 2Win Hill Park memberikan pengalaman pelancongan yang unik dengan pemandangan alam yang memukau serta suasana santai, sesuai untuk pengunjung yang ingin menikmati keindahan semula jadi Semporna.

Dari puncak bukit, pengunjung boleh menyaksikan panorama matahari terbenam yang indah, selain menikmati pemandangan langit malam yang dipenuhi bintang. Dari sini juga kelihatan pulau-pulau terkenal seperti Bohey Dulang dan Bodgaya.

Terdapat tiga unit glamping berbentuk kubah yang lengkap dengan katil, penghawa dingin, cerek dan kemudahan asas lain. Oleh kerana jumlah unit terhad, tempahan awal amat digalakkan.

Antara aktiviti popular di sini termasuk hiking. Pengunjung boleh mendaki ke puncak dalam masa sekitar 10 hingga 20 minit, atau memilih menggunakan perkhidmatan ATV 4x4 dengan bayaran tambahan.Paling menarik, aktiviti 'Paragliding' juga turut disedikan.

  • Untuk maklumat lanjut boleh lawati laman facebook rasmi 2Win Hill Park🔗


Kedai Kopi Cham Chuan Kee


Jika anda berkunjung ke Semporna, Kedai Kopi Cham Chuan Kee adalah destinasi yang wajib dikunjungi untuk merasai hidangan tradisional dalam suasana yang penuh sejarah.

Kedai ini terletak di Lot 1, Block 4, Jalan Lean Chap It, Peti Surat 15, Semporna, Sabah dan waktu operasi adalah dari jam 7:30 pagi hingga 4:30 petang.

Lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Kedai Si Abun, sangat terkenal dengan roti bakar tradisional yang dipanggang di atas api, menggunakan resepi turun-temurun.

Mempunyai keistimewaan tersendiri kerana rekaan dan struktur bangunan lama masih dikekalkan sehingga sekarang, reka bentuk dalaman yang kekal sejak zaman British serta menampilkan gambar-gambar lama Semporna membuatkan kedai ini menjadi tarikan ramai pengunjung.



Muzium Tun Sakaran
Terbaru Lebih lama