Perkataan "Pilak" ialah istilah yang agak sensitif dalam konteks masyarakat di Sabah, khususnya kepada komuniti Bajau dan Suluk di Sabah Malaysia. Maksudnya boleh berbeza bergantung kepada tempat dan cara ia digunakan.
Pilak secara ringkasnya membawa maksud perak, duit, wang atau matawang dalam bahasa Suluk. Perkataan "Pilak" dipercayai berasal daripada akar kata yang merujuk kepada perak (silver) kerana wang syiling pada waktu dulu diperbuat daripada perak.
Akibat masalah pertuturan (pelat), sebutan perkataan perak tersebut lama-kelamaan berubah mengikut lidah dan mengikut sebutan masyarakat setempat menjadi pilak. Sehingga hari ini sebutan seperti telur, sayur, selipar, pasar antara contoh lain sebutan pelat bagi masyarakat suluk.
Sebagai contoh jika di Pulau Pinang sebutan untuk "Sekupang" adalah mewakili "10 Sen", begitu juga dengan "pilak" iaitu dalam bahasa suluk "Isa Pilak" bermaksud Seringgit (Rm 1.00) iaitu bersamaan dengan nilai matawang negara Malaysia pada hari ini.
Sesetengah dialek Bajau, perkataan ini juga difahami kerana pengaruh bahasa jiran dan faktor perdagangan lama, tetapi tidak semua penutur Bajau guna perkataan ini sebagai istilah utama untuk duit.
Dalam bahasa Bajau, duit atau wang umumnya dipanggil sebagai "Sin" tetapi kita juga biasa mendengar masyarakat bajau pantai timur Sabah khususnya ada yang menggunakan pertuturan pilak melambangkan duit semasa sedang membuat urusan jual beli.
Pilak Merujuk Kepada Pendatang Tanpa Izin
Terdapat segelintir kelompok di Sabah, mengggunakan istilah pilak secara pejoratif untuk merujuk kepada pendatang tanpa izin dari Filipina, khususnya dari kawasan seperti Sulu, Basilan, Tawi-Tawi, dan Mindanao. Istilah ini dianggap sebagai slur etnik yang menyinggung dan sering dikaitkan dengan stereotaip negatif terhadap komuniti tersebut.
Ia adalah satu method penghinaan kepada sesama manusia dilaungkan oleh orang yang tidak kenal budaya sesuatu bangsa dan penyebutan itu dilafazkan kerana kebencian, dendam dan buta sosiobudaya. Ia adalah panggilan PEJORATIF dan berbau RASISME.
Dalam kebanyakan kes, pihak yang menyebut pilak bermaksud negatif ini adalah mereka yang merasa bangsa mereka sebagai bangsa asal di Borneo Utara manakala pihak yang dipanggil pilak itu pula ialah mereka yang dianggap sebagai penghijrah dari tanah seberang.
Perkataan pilak menjadi lebih buruk impaknya apabila konotasi politik mengeksploitasi istilah ini. Dalam erti kata lain gelaran ini diberi oleh golongan-golongan yang tidak bertamadun, tidak berilmu serta tidak beradab menjadikan masyarakat dan komuniti suku kaum Suluk & Bajau tempatan ( Bumiputera Sabah) juga ikut sama terpalit dan dilabel sama sebagai pendatang.
Jika pilak pada asalnya bermaksud perak, duit, wang atau mata wang, maka timbul persoalan bagaimana perkataan ini akhirnya berubah menjadi satu istilah yang merujuk kepada pendatang tanpa izin ?
Sejak sekitar abad ke-15, dipercayai para pedagang daripada komuniti Tausug telah dikenali sebagai pedagang laut yang aktif di rantau ini, khususnya di bawah pemerintahan Kesultanan Sulu. Mereka menjalankan perdagangan di sekitar Sulu Archipelago, merentasi Sulu, Borneo (Sabah), Brunei dan Mindanao.
Apabila para pedagang ini menjejakkan kaki pertama kali ke Sa'ba (kawasan pantai timur Sabah), penduduk tempatan di kawasan itu mula mengenali sistem perdagangan yang menggunakan duit perak, urusan jual beli menggunakan duit menggantikan sistem barter yang disebut sebagai pilak.
Akhirnya secara tidak langsung penduduk tempatan di situ memanggil para pedagang tersebut sebagai pilak iaitu merujuk orang asing kerana kerap mendengar perkataan pilak apabila para pedagang tersebut sedang menjual barang dagangan mereka.
Penggunaan "Pilak" sebagai label terhadap pendatang dari selatan Filipina dipercayai mula meluas sekitar 1970-an hingga 1990-an. Penggunaan istilah ini mencerminkan ketegangan sosial yang wujud akibat kedatangan pendatang tanpa izin dari Filipina ke Sabah sejak tahun 1970-an, terutamanya disebabkan oleh konflik perang yang berlaku di selatan Filipina.
Kehadiran mereka sering dikaitkan dengan isu-isu seperti jenayah, persaingan dalam pekerjaan, tekanan terhadap sumber awam dan sifat pengotor yang menyumbang kepada sentimen negatif dalam kalangan penduduk tempatan.



