Tayum ialah nama tempatan bagi sejenis landak laut (Sea Urchin) yang sangat terkenal dalam komuniti Bajau mahupun Suluk di pantai timur Sabah, terutamanya di Semporna.
Ia dianggap makanan tradisional yang unik kerana datang terus dari laut segar, ringkas, dan sangat bergantung pada cara hidup masyarakat pesisir.
Berbeza dengan Tehe-Tehe, landak laut jenis Tayum mempunyai bentuk yang berlainan, dengan duri di sekelilingnya yang lebih panjang, sedikit lembut dan tajam. Saiznya juga sedikit lebih kecil, menyebabkan ia kurang sesuai dijadikan Oko-Oko (Nasi Tehe-Tehe).
Cara penyediaan Tayum untuk dimakan sangat mudah. Selepas durinya dibuang, cengkerang landak laut akan dibelah dan isinya dibersihkan dengan membuang bahagian yang tidak diperlukan.
Tayum biasanya dimakan mentah dan segar sebaik sahaja cengkerangnya dibuka. Bahagian yang dimakan ialah isi berwarna kuning keemasan di dalamnya.
Rasanya hampir sama seperti isi Tehe-Tehe, dengan isi yang manis seakan rasa telur ikan atau telur ketam. Aroma laut yang segar turut menambah rasa ketika dikunyah.
Tayum juga mudah diperoleh kerana banyak terdapat di kawasan lagun dan pesisir laut yang cetek. Di pasar basah, ia biasanya dijual pada harga sekitar 50 sen hingga RM1.00 sebotol, dengan isi yang telah siap diasingkan daripada cengkerangnya.

