Putu


Putu merupakan salah satu makanan tradisional yang terdapat di Sabah. Makanan ini sangat popular dalam kalangan masyarakat suku kaum Bajau & Suluk khususnya di Semporna, Kunak, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu. 

Putu, atau turut dikenali sebagai Piutu, dihasilkan daripada ubi kayu yang diparut, diperah airnya, kemudian dikukus sehingga masak. Ia adalah sejenis makanan ruji sama seperti memakan nasi atau roti gandum.

Biasanya putu tiada rasa, cuma rasa tawar saja, dari segi tekstur, putu mempunyai rupa yang kenyal dan sedikit melekit oleh itu putu biasanya akan dimakan bersama hidangan atau lauk pauk lain agar lebih sedap iaitu seperti makan bersama Sagol, ikan panggang, ayam panggang dan beberapa lagi makanan tradisional lain yang kebanyakkannya adalah makanan dari sumber makanan laut.
     

Bahan utama untuk menghasilkan putu ialah ubi kayu yang diparut. Proses penyediaannya bermula dengan membuang kulit ubi kayu sebelum dicuci bersih. Seterusnya, ubi kayu diparut halus dan diperah bagi membuang airnya. Ubi yang telah diperah kemudian dikukus atau distim sehingga masak.

Setelah siap dimasak, putu boleh dibentuk mengikut kreativiti masing-masing. Ada yang membiarkannya dalam bentuk seperti nasi, manakala ada juga yang memampatkannya menjadi bulat panjang dan membungkusnya menggunakan plastik jernih.

Namun begitu, terdapat satu perkara yang perlu diberi perhatian ketika menikmati putu. Oleh kerana putu diperbuat daripada ubi kayu, ia tidak digalakkan dimakan bersama minuman berkarbonat kerana boleh menyebabkan perut berasa tidak selesa seperti kembung atau masuk angin.

Kini, putu bukan sahaja digemari oleh masyarakat Bajau, malah turut mendapat tempat di hati pelbagai kaum lain di Sabah
Terbaru Lebih lama