Makanan Tradisi dan Eksotik Di Semporna


Apabila disebut nama Semporna, kebanyakan orang terus terbayang pulau-pulau yang cantik, laut sejernih kristal, dan panorama menyelam yang bertaraf dunia. 

Ya, Semporna memang syurga bagi pencinta laut. Tetapi, ada satu lagi khazanah yang tersembunyi dan belum cukup diterokai ramai iaitu dunia rasa yang menggoda selera, penuh dengan makanan tradisi dan eksotik yang hanya dapat ditemui di sini.

Lawatan anda ke Semporna tidak akan lengkap tanpa mencuba hidangan tradisi dan eksotik tempatan.

Bagi mereka yang berani mencuba sesuatu yang luar biasa, berikut adalah senarai makanan klasik, tradisi dan eksotik yang wajib anda cuba bila datang ke Semporna Sabah...


Latok sejenis rumpai laut yang juga dikenali sebagai "Anggur Laut" kerana bentuknya yang menyerupai gugusan anggur kecil.

Ia tumbuh di kawasan pantai cetek dan berpasir, mempunyai rasa sedikir masin, sedikit berlendir namun segar dengan tekstur yang rangup dan meletup seperti kaviar apabila dikunyah.

Dimakan secara mentah begitu sahaja seperti ulam atau salad selepas segar dituai dari laut, atau dicelup ke dalam sos / sambal khas untuk menambah tekstur rasa.

Cara penyediaan paling popular adalah dengan menghidangkannya dengan campuran perahan limau kesturi, bawang serta cili padi kemudian dimakan bersama nasi dan makanan laut lain seperti ikan bakar.



Tehe-Tehe


Tehe-Tehe adalah makanan daripada sejenis landak laut berduri pendek dan ia banyak dijual di daerah Semporna dengan harga sekitar RM10.00 ke atas mengikut bilangan dan saiz landak laut itu. 

Isinya yang manis seakan rasa telur ikan atau telur ketam, berwarna kekuning-kuningan boleh dimakan secara segar & mentah-mentah.

Boleh juga dimakan bersama nasi sebagai lauk atau di masak bersama cengkerang dan dijadikan sebagai Nasi Tehe-Tehe (Oko-Oko)




Oko-Oko


Oko-Oko adalah hidangan yang terdiri daripada beras yang dimasak didalam cengkerang landak laut, hampir sama seperti menyediakan ketupat.

Tetapi menggunakan cengkerang landak laut sebagai bekas semula jadi, akan memberikan rasa yang unik menggabungkan kemanisan nasi dengan rasa laut khas dari landak laut.

Setelah siap dimasak hidangan ini juga dikenali dengan nama lain seperti Ketupat Tehe-Tehe atau Nasi Tehe-Tehe

Cara makan sama seperti ketupat tetapi mempunyai kelainan dari segi rasa, rasanya ada hampir-hampir macam telur ikan tapi memang sedap macam rasa telur ikan salmon pun ada.



Lokot

Lokot’ atau Lukot’ adalah salah sejenis makanan eksotik yang mempunyai struktur dan rupa seakan mee namun ianya berasal daripada laut.

Banyak ditemui di sekitar lagun air yang tenang dan selalunya berhampiran dengan tumbuhan rumpai laut.

Makanan ini memang jarang dikenali ramai, rasanya seakan mee suhun tetapi sedikit berlemak dan selalunya akan disediakan dan dimakan secara mentah selepas segar dituai dari laut.



Lovot-Lovot


Lovot-Lovot atau di kenali sebagai Botbot di sekitar Selatan Filipina, juga mempunyai nama lain seperti Kombang, Luvot-Luvot, dan Buli-Buli

Sekilas pandang rupanya seakan Bovohan/Bobohan tetapi tidak, Jika Bovohan semuanya boleh dimakan, berbeza pula dengan Lovot-lovot dimana kelopak bunganya tidak boleh dimakan kerana mempunyai racun toxic.

Banyak ditemui di sekitar lagun air yang tenang, rasanya seakan rasa punggung ayam, sedikit kenyal apabila dikunyah dan sangat lazat disediakan dengan pelbagai cara seperti di masak tumis, kari, santan lain-lain lagi.

Baca Selanjutnya Lovot-Lovot




Tiyula Itum


Tiyula Itum adalah hidangan tradisional yang sangat sinonim bagi suku kaum Suluk di Sabah. 

Dikenali juga sebagai "Sup Hitam", hidangan ini menonjol dengan warna kuahnya yang gelap, hasil daripada penggunaan kelapa parut yang dibakar hingga hangus.

Hidangan ini melambangkan kemewahan dan penghormatan kepada tetamu. Rasanya tidak ada yang serupa dengan hidangan ini kerana cara penyediaannya yang unik menggunakan parut kelapa yang hangus dibakar.

Rasanya yang enak memang diluar jangkaan apabila anda mula menghirup kuah hidangan ini.


Sagol


Perkataan “Sagol” dalam bahasa Bajau membawa maksud campuran atau sesuatu yang dicampur. 

Hidangan ini lazimnya dimasak menggunakan ikan seperti Ikan Buntal, Ikan Pari atau Ikan Yu, iaitu jenis ikan yang kebiasaannya mempunyai hati yang besar. 

Ia biasanya disediakan dalam dua variasi utama, iaitu Sagol kering yang tidak berkuah dan Sagol basah yang mempunyai kuah.

Sagol secara tradisional, akan dihidangkan bersama putu dan sianglag sebagai pelengkap hidangan, namun hari ini ia juga sesuai dimakan bersama nasi dan lauk pauk yang lain.

Kepada mereka yang ingin merasa bagaimana rasanya makan ikan buntal bolehlah untuk mencuba jenis hidangan tradisi dan eksotik ini.



Kilau


Kenali sebuah makanan tradisi dan eksotik yang mendapat julukan sebagai "Sushi Versi Borneo", kalau dikalangan masyarakat Kadazan-Dusun ia dikenali sebagai Hinava.

Kilau atau Kinilau mengikut sebutan lidah tempatan, adalah sejenis makanan berasaskan ikan segar yang dipersiapkan tanpa dimasak menggunakan api.

Ia merupakan sebuah hidangan lauk yang diperbuat daripada ikan mentah yang dimasak dengan cara diperam dalam cuka atau jus limau. Tidak perlu dimasak, dimakan mentah-mentah tetapi selamat dan bersih.

Rasanya masam-masam pedas, tidak berbau hanyir dan bila dimakan sekali terus akan terbuka selera.



Piutu


Putu atau Piutu adalah sejenis makanan ruji bagi masyarakat tempatan sama seperti memakan gandum dan juga nasi.

Ia dihasilkan daripada ubi kayu yang diparut, diperah airnya, kemudian dikukus sehingga masak.

Biasanya putu tiada rasa, cuma rasa tawar saja, oleh itu putu biasanya akan dimakan bersama hidangan atau lauk pauk lain agar lebih sedap iaitu seperti makan bersama Sagol, ikan panggang, ayam panggang dan beberapa lagi makanan tradisional lain.

  • Baca Selanjutnya Putu


Tayum


Berbeza dengan Tehe-Tehe, landak laut jenis Tayum mempunyai bentuk yang berlainan, dengan duri di sekelilingnya yang lebih panjang, sedikit lembut dan tajam. Saiznya juga sedikit lebih kecil, menyebabkan ia kurang sesuai dijadikan Oko-Oko (Nasi Tehe-Tehe)
.

Rasanya hampir sama seperti isi Tehe-Tehe, dengan isi yang manis seakan rasa telur ikan atau telur ketam. Aroma laut yang segar turut menambah rasa ketika dikunyah.

Ia dimakan mentah dan segar sebaik sahaja cengkerangnya dibuka. Bahagian yang dimakan ialah isi berwarna kuning keemasan di dalamnya.



Kahanga


Kahanga ialah sejenis siput laut yang mempunyai cengkerang berduri. Siput ini tergolong dalam kumpulan moluska, sama seperti siput gonggong dan siput sedut.

Isinya sedikit kenyal dan lazimnya dimasak secara tumis, antaranya masak cili api, asam pedas, kam heong, masak sambal serta pelbagai lagi resipi lain.

Hotel, chalet mahupun restoran terdapat di Semporna rata-rata menyediakan masakan khusus untuk jenis siput ini.

Terbaru Lebih lama