Tidak tahu mahu beli barang apa untuk kenang-kenangan dari Semporna ? mungkin ini boleh membantu anda.
Terletak di hujung tenggara Sabah, Semporna bukan sahaja terkenal dengan air lautnya yang jernih dan pulau-pulaunya yang memukau, malah turut menyimpan khazanah budaya yang tidak ternilai melalui seni kraf tangan masyarakatnya.
Bagi para pelancong yang ingin membawa pulang cenderamata kenangan yang bermakna dari daerah ini, berikut adalah beberapa jenis kraf tangan istimewa yang wajib dimiliki.
Replika Lepa Mini
Perahu tradisional masyarakat Bajau yang dikenali sebagai Lepa merupakan simbol penting dalam budaya Semporna.
Kini, versi miniatur perahu ini dijadikan sebagai cenderamata dan hiasan rumah yang sangat popular.
Ukiran tangan yang halus dan corak warna-warni menggambarkan keindahan serta identiti kaum Bajau. Ia boleh didapati semasa Regatta Lepa atau di kedai cenderamata tempatan.
Kraf Mutiara
Semporna dikelilingi lautan kaya dengan tiram mutiara, menjadikannya salah satu lokasi utama untuk mendapatkan mutiara asli.
Mutiara-mutiara ini biasanya dijual di pasar tempatan atau galeri kraf di pekan Semporna, dari anting-anting, rantai, gelang hingga brooch harganya dijual jauh lebih berpatutan berbanding di tempat lain.
Paling menarik mesti ramai yang tidak tahu bahawa Semporna sejak dari tahun 1963 merupakan tempat pemeliharan tiram untuk tujuan pemeliharaan pelbagai jenis mutiara di Pulau Bohey Dulang.
Jadi jika anda peminat mutiara yang asli, di sini adalah tempat paling sesuai untuk mendapatkannya dengan mudah dan berbaloi.
Catat Ulasan