Ada yang membayangkan sekiranya 'tiang' pulau itu patah, maka tenggelamlah seluruh pulau tersebut ke dasar laut.
Kisah ini sering berlegar dalam cerita lisan para pelancong mahupun dikalangan penduduk tempatan, hingga membuatkan ada yang tertanya-tanya benarkah Pulau Sipadan berbentuk payung, ataupun semuanya sekadar andaian semata-mata ?
Untuk merungkai persoalan ini, mari kita telusuri misteri sebenar struktur unik Pulau Sipadan.
![]() |
| Pulau Sipadan Terletak di Atas Sebuah Gunung Berapi Mati |
Baiklah, perkara pertama ringkas dan senang untuk para pembaca fahami adalah di kawasan permukaan, Pulau Sipadan hanyalah sebuah pulau kecil berbentuk bulat atau oval, diselubungi hutan tropika yang padat serta dilingkari pasir putih yang halus (seperti dalam gambar diatas).
Kemudian pulau ini terletak di atas permukaan terumbu karang 'Coral Reef' iaitu struktur batu kapur yang terbentang luas di sekitar perairan cetek sekeliling Pulau Sipadan.
Tetapi apa yang lebih menarik adalah Pulau Sipadan dan terumbu karang tersebut keduanya pula sebenarnya terletak di atas puncak sebuah gunung berapi purba yang telah lama mati dan ditelenggami oleh air laut.
Inilah sebabnya mengapa di sekeliling pulau terdapat jurang lautan yang menjunam sedalam lebih 600 meter satu ciri geologi yang sangat jarang ditemui.
Dari perairan setinggi pinggang, lantai lautan tiba-tiba jatuh ke dalam gelapnya dasar lautan yang dalam. Fenomena ini dikenali sebagai drop-off, dan menjadi antara tarikan utama penyelam dunia.
Bayangkan ketika anda sedang berjalan di perairan cetek namun tiba-tiba langkah terhenti kerana terjumpa suatu kawasan lantai jurang yang dalam.
Jadi, dari mana datangnya cerita bahawa Pulau Sipadan berbentuk payung ?
Kemungkinan Pulau Sipadan digambarkan berbentuk payung adalah kerana pandangan para individu atau pengunjung yang melihat imej Pulau Sipadan dari udara menunjukkan permukaannya yang kelihatan rata dan mendatar, menyerupai bentuk sebuah payung.
Tanggapan itu mungkin turut diperkukuh oleh pengamatan sepintas lalu para penyelam yang melihat seolah-olah terdapat sebuah ‘tiang’ besar di bawah pulau yang menyokong struktur permukaannya. Dari situ, mereka membuat andaian bahawa bentuk tersebut menyerupai sebuah payung.
Namun, dari sudut geografi, tanggapan tersebut sama sekali TIDAK tepat kerana dasar laut di sekitar Pulau Sipadan sebenarnya tidak berbentuk payung seperti yang digambarkan. Sebaliknya, ia lebih menyerupai bentuk kon, dengan bahagian puncaknya membentuk pulau yang terbina daripada batu karang hidup yang berkembang dan terbentuk sejak ribuan tahun dahulu.
Pulau Sipadan turut digelar sebagai ‘Mushroom-Shaped Island’ kerana daripada pandangan atas, para pelancong memberikan perumpamaan metafora bahawa bentuk pulau tersebut dari kejauhan atau pandangan dari udara 'eyeview' menyerupai cendawan yang tumbuh di atas batu karang.
Bagi mereka yang tidak tahu, Pulau Sipadan sangat terkenal sebagai salah satu destinasi selaman skuba terbaik di dunia. Ia merupakan satu-satunya pulau samudera di Malaysia yang terbentuk daripada batu kapur dan menjulang kira-kira 600 meter dari dasar laut.
Selain itu, berdasarkan keputusan undian umum yang dijalankan oleh organisasi pengundian 7 Keajaiban Dunia, Pulau Sipadan telah berjaya tersenarai dalam kelompok 77 bentuk muka bumi paling ajaib dan menakjubkan di dunia bagi tahun yang berakhir pada Julai 2009.


