Bohey Dulang, sebuah pulau yang terletak di gugusan Tun Sakaran Marine Park di Semporna, Sabah, bukan sahaja dikenali dengan keindahan semula jadinya, malah turut menyimpan kisah-kisah legenda yang sungguh unik.
Dalam kalangan masyarakat Bajau di Semporna, Bohey Dulang turut dikenali sebagai “Pu Mattoa Lalla Atuli” yang bermaksud “Lelaki Tua Yang Sedang Tidur”.
Julukan ini muncul kerana bentuk pulau tersebut, apabila dilihat dari jarak jauh terutamanya dari laut atau beberapa sudut di daratan berdekatan ia menyerupai “siluet” seorang lelaki tua yang sedang berbaring menghadap ke langit.
Bahagian-bahagian tertentu pulau tersebut dikatakan menyerupai Kepala (dengan dahi tinggi), Hidung Mancung, Perut yang timbul dan Kaki yang lurus ke bawah.
Imej ini jelas kelihatan apabila dilihat dari arah timur laut atau dari sekitar pekan lama Semporna menjadikan pulau ini sebagai lokasi ikonik yang sangat dikenali bukan sahaja oleh penduduk tempatan tetapi juga pelancong luar.
Bentuk unik ini tidak hanya menjadi bahan bualan, tetapi juga diiringi oleh kisah legenda yang popular di kalangan masyarakat Bajau di Semporna dan sekitar berhampiran. Menurut kepercayaan lama "Lelaki tua" itu dipercayai sebagai penunggu atau penjaga pulau, satu entiti yang menjaga keseimbangan alam dan ketenteraman di Bohey Dulang.
Ada juga yang mengatakan lelaki tua itu mewakili roh orang suci atau datuk keramat yang berehat di situ, menjadikan pulau itu tempat yang harus dihormati. Bentuk "lelaki tua tidur" ini telah menjadi satu tarikan budaya dan fotografi, di mana ramai pelawat akan cuba mencari sudut terbaik untuk merakam imej siluet tersebut.
Ia bukan sekadar keindahan alam, tetapi satu kisah yang menghidupkan roh dan naratif pulau ini sebagai tempat yang hidup dengan sejarah dan mistik.
Terdapat juga beberapa cerita lagenda yang berhubung kait dengan Pulau Bohey Dulang, seperti kisah tentang seorang perempuan yang di kenali sebagai Arung Salamiah dan kisah tentang kasih sayang antara 3 beranak yang akhirnya melahirkan satu cerita mitos geografi yang menarik. Kisah dua cerita tersebut boleh baca di sini…
