Triangle Gua Bentuk Segi Tiga di Dasar Laut Pulau Sipadan

Bentuk Pintu Gua Seperti Segi Tiga

Selain “Turtle Tomb”, terdapat satu lagi bahagian gua yang menarik di dalam “Turtle Cave”, dikenali sebagai “Triangle”.

Bahagian ini mempunyai kedalaman kira-kira 28 meter dengan jarak mendatar lebih kurang 15 meter. Ia dinamakan “Triangle” kerana pintu masuk ke lorong gua ini mempunyai bentuk yang unik, seakan-akan segi tiga.

Untuk sampai ke kawasan ini, para penyelam perlu terlebih dahulu melalui “Dolphin Section”. Kawasan tersebut dikatakan mempunyai banyak rangka penyu, malah terdapat juga rangka ikan lumba-lumba yang masih dalam keadaan agak utuh.


Namun, perkara yang lebih menarik ialah apabila penyelam memasuki “Triangle”. Jika dilihat dari luar, pintu masuknya memang kelihatan seperti bentuk segi tiga. Tetapi selepas memasuki ruang di dalamnya, bentuk siling gua juga menyerupai kubah berbentuk segi tiga atau piramid.

Selaman boleh diteruskan lebih jauh sehingga menemui sebuah lorong berbentuk pintu gerbang yang mempunyai ketinggian kira-kira 18 meter. Saiznya yang begitu tinggi memberikan gambaran seolah-olah ia dibina untuk manusia pada zaman dahulu yang mungkin jauh lebih tinggi berbanding manusia hari ini.

Selepas itu, terdapat pula sebuah pintu masuk yang sempit, hanya cukup untuk dilalui oleh seorang penyelam pada satu-satu masa, sebelum meneruskan perjalanan ke bahagian gua yang seterusnya.

Di dalam kawasan ini juga terdapat beberapa ruang atau bilik-bilik gua. Menariknya, pada bahagian dinding pintu gerbang tersebut dapat dilihat dua warna yang berbeza iaitu bahagian atas berwarna putih, manakala bahagian bawah berwarna coklat.


Perbezaan warna ini dipercayai mungkin berkaitan dengan kesan paras air pada suatu ketika dahulu, sebelum kawasan gua tersebut akhirnya ditenggelami air sepenuhnya.

Apa yang menjadikan “Triangle” begitu istimewa ialah tidak ramai yang berpeluang melihatnya sendiri. Lokasinya yang berada jauh di dalam sistem gua bawah laut di dasar laut Pulau Sipadan menjadikan akses ke kawasan ini bukan sesuatu yang mudah.

Para penyelam perlu mempunyai lesen menyelam yang sah serta mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa yang berkaitan sebelum dapat menerokai kawasan tersebut.

“Triangle” bukan sekadar sebuah lorong gua bawah laut. Bentuk pintu masuknya yang unik, ruang dalaman menyerupai piramid, lorong pintu gerbang yang sangat tinggi serta kewujudan rangka haiwan menjadikan kawasan ini antara bahagian Turtle Cave yang menarik dan penuh misteri wajib dilawati oleh para penggemar aktiviti selam skuba di Pulau Sipadan Semporna.
Terbaru Lebih lama