Pada waktu dulu, jika berkunjung ke Semporna, Sabah, pasti mata akan tertarik pada sebuah mercu tanda ikonik iaitu sebuah Tugu Ikan yang terletak di tengah bulatan jalan raya pekan lama Semporna.
Ramai pengunjung atau pelanocng akan berhenti seketika untuk merakam foto kenangan di hadapan tugu ini sebelum mereka memulakan perjalanan ke pulau-pulau indah di sekitarnya. (dulu mereupakan lokasi wajib untuk ambil gambar jika datang ke Semporna)
Tugu ikan ini berbentuk seperti ikan baracuda atau ikan tropika besar, direka seakan-akan sedang berenang megah di tengah bulatan.
Badannya berkilau dengan warna perak dan biru, melambangkan keindahan lautan yang menjadi nadi kehidupan masyarakat tempatan. Pada waktu malam, tugu ini diterangi lampu, menambahkan lagi seri pekan kecil ini.
Ramai yang menggelar tugu ikan ini sebagai tugu ikan todak tapi sebenarnya apabila dinilai dan dilihat secara terperinci, reka bentuk tugu ikan ini lebih menyamai seperti Ikan Marlin iaitu ikan kedua terpantas di dunia.
Namun ia sudah tidak penting lagi jika ia adalah replika tugu memaparkan ikan marlin, ikan todak (swordfish) atau ikan layar (sailfish) kerana tugu ini telah digantikan dengan tugu alatan muzik tradisional.
Bagi masyarakat tempatan, ikan melambangkan sumber rezeki yang telah diwarisi turun-temurun. Laut adalah “sawah padi” mereka, dan tugu ikan ini berdiri sebagai penghormatan terhadap hubungan erat manusia dengan laut yang tidak pernah terputus sejak dahulu.
Ia bukan sahaja simbol peringatan, tetapi juga simbol kebanggaan. Ia mengingatkan penduduk dan pelancong bahawa Semporna ialah sebuah daerah yang hidup, bernafas, dan berkembang bersama lautan.
