Kraf Tradisional Sabah - Keunikan Lapohan Masyarakat Bajau Semporna


Di hujung timur Sabah, tersembunyi sebuah khazanah warisan yang tidak ternilai harganya—lapohan, dapur tanah tradisional hasil seni tangan masyarakat Bajau yang menetap di Semporna. 

Kehidupan masyarakat Bajau Laut yang terkenal dengan gelaran “gipsi laut” ini banyak bergantung kepada perahu sebagai rumah dan tempat mencari rezeki. 

Justeru, mereka memerlukan peralatan memasak yang ringan, mudah dibawa, dan tahan lasak. Dari keperluan inilah, lahirnya lapohan yang menjadi kebanggaan turun-temurun mereka. 


Dalam bahasa Bajau Laut, lapohan membawa maksud alat untuk membakar atau memasak. Uniknya, dapur tradisional ini dihasilkan daripada gabungan tanah liat dan pasir yang diadun dengan penuh teliti. 

Proses pembuatannya bukan sekadar kerja tangan, tetapi juga lambang kesabaran dan kemahiran yang diwarisi sejak generasi 1920-an lagi, terutamanya di Pulau Salakan, Semporna. 

Hingga hari ini, seni pembuatan lapohan masih diteruskan oleh segelintir penduduk tempatan demi memastikan warisan ini tidak lenyap ditelan arus moden.


Proses Pembuatan Lapohan

Pembuatan lapohan bermula dengan menumbuk dan menguli campuran tanah liat dan pasir sehingga sebati. Abu kayu yang dilarutkan dalam air laut turut ditambah bagi menguatkan struktur dapur. 

Campuran ini kemudian dibentangkan di atas papan dan ditumbuk hingga membentuk kepingan leper setebal tiga sentimeter.

Seterusnya, tanah berbentuk silinder disusun mengelilingi kepingan leper tersebut untuk membentuk dinding dan bahagian tepi yang dikenali sebagai “sukur” dan “kolong”. 

Kaedah picitan digunakan untuk membentuk dan melicinkan dinding lapohan, manakala bahagian hadapannya sengaja dibuat lebih rendah daripada bahagian belakang. 


Tiga silinder tanah yang dilekatkan sebagai penyokong badan lapohan turut dinamakan sukur, dengan bahagian bawahnya membentuk leher yang disebut kolong.

Apabila bentuk asasnya siap, permukaan lapohan ditepek dan dipadatkan menggunakan tappe, sebelum dihiasi dengan garisan dan ukiran geometrik pada badan serta bibirnya yang dipanggil biking. 

Corak biking bukan sekadar hiasan, tetapi juga berfungsi sebagai penahan periuk ketika memasak. Bagi mengelakkan tanah mengembang, sehelai kain lembap akan direntangkan mengelilingi lapohan yang masih basah.

Jenis-jenis Lapohan

Masyarakat Bajau menghasilkan tiga jenis lapohan yang berbeza iaitu...

Lapohan Pindas

Lapohan Tungkang

Lapohan Tibnuk

Selain lapohan, kepakaran masyarakat Bajau dalam seni tembikar turut melahirkan pelbagai peralatan tradisional lain seperti periuk, bekas air, lupo (belanga), dan tutungan (perasap). 

Semua hasil tangan ini membuktikan betapa halusnya seni kraf masyarakat Bajau serta keunikan budaya mereka yang berpaksikan kehidupan laut.


Hari ini, lapohan bukan sekadar dapur memasak, tetapi juga simbol warisan yang membawa cerita tentang kehidupan, kreativiti, dan ketahanan masyarakat Bajau di persisir Semporna. 

Warisan ini wajar dipelihara, agar generasi akan datang terus mengenali dan menghargai seni kraf tradisional Sabah yang penuh keindahan.

📷 Laila Basir
Terbaru Lebih lama