Panglima Lohari adalah pemimpin tempatan dari Kampung Gulam-Gulam (Gelam-Gelam), Semporna, yang berani bangkit melawan cengkaman British North Borneo Chartered Company (BNBCC) pada penghujung abad ke‑19 hingga awal abad ke‑20.
Di saat perahu-perahu Bajau masih bebas berlayar di lautan, dasar penjajah mula mencengkam kehidupan mereka melalui cukai dan kawalan perdagangan.
Dalam suasana tertekan itu, Panglima Lohari tampil bukan sekadar sebagai pemimpin, tetapi sebagai lambang keberanian dan keteguhan jiwa masyarakat tempatan.
Walau kisahnya tidak sepopular pahlawan lain, perjuangan beliau menentang penjajahan tetap menjadi saksi betapa tinggi nilai kebebasan dan bagaimana keberanian seorang anak Semporna mampu menggoncang kekuasaan yang jauh lebih besar.
Tahun 1895 menjadi saksi memuncaknya ketegangan diantara masyarakat Semporna dan pihak British. Kehidupan masyarakat Bajau yang bebas di laut kini digugat oleh dasar keras British North Borneo Chartered Company.
Di tengah keresahan itu, nama Panglima Lohari dan rakan seperjuangannya, Nakib Jani, mula bergema sebagai ancaman besar terhadap kuasa kompeni. Bagi pihak British, mereka bukan sekadar penentang, tetapi percikan api yang mampu menyalakan pemberontakan.
Enam tahun kemudian, pada 1901, percikan itu disambut dengan api peperangan. Operasi Semporna dilancarkan iaitu satu gerakan ketenteraan besar-besaran yang menghimpunkan pegawai British dan pejuang upahan Dayak untuk menamatkan penentangan Bajau.
Pada 26 Oktober 1901, kapal perang megah SS Normanhurst telah berlabuh di perairan Semporna, menandakan bermulanya operasi berdarah ini. Rumah-rumah penduduk digeledah, senjata-senjata yang disorok ditemukan, dan Panglima Lohari akhirnya ditangkap ketika dipanggil kononnya untuk berunding.
Namun, sejarah pahlawan ini belum berakhir. 30 Oktober 1901, beliau berjaya melepaskan diri dari tahanan, membuktikan bahawa semangat Bajau tidak mudah ditundukkan.
Dalam keadaan marah, pihak British telah bertindak kejam dimana Kampung Gulam Gulam dibakar hangus, menjadi amaran keras buat sesiapa sahaja yang berani menentang kuasa penjajah.
Catatan The British North Borneo Herald menceritakan tentang susunan peristiwa keadaan yang sedang berlaku di Tawau dan Semporna selain penentangan yang dilakukan oleh Panglima Lohari.
Selepas beberapa bulan dalam buruan, Panglima Lohari akhirnya menyerah diri pada penghujung tahun 1901 dan ditahan di Semporna sebelum dibawa ke Sandakan.
Walaupun beliau ditangkap, rekod rasmi selepas tahun 1902 tidak lagi menyebut tentang nasibnya. Sama ada beliau dibebaskan, dibuang negeri, atau dihukum mati, sejarah tidak pernah mencatatkan jawapannya secara jelas.
Nama beliau terus hilang tanpa disebut sebut lagi, begitulah berakhir sebuah kisah seorang tokoh yang berjuang dan berkorban untuk suku kaumnya menentang kuasa asing di zaman transasi perubahan kuasa dan pengaruh antara pentadbiran Kesultanan Sulu, Sepanyol, Belanda dan pihak kompeni di mana kuasa bebas amalan serta tradisi lama penduduk tempatan beransur hilang dan bermulanya kuasa baru yang menentukan nasib dan halatuju yang amat berbeza tetapi rasa pahit manis perlu diharungi untuk melangkah mencari kehidupan yang serba baru.
Kepada yang ingin mendalami kisah penentangan Panglima Lohari terhadap kuasa asing di Semporna pada abad ke 19 boleh ikuti di sini Susunan Peristiwa Kisah Penentangan Panglima Lohari Terhadap Kuasa Asing 🔗
🔖 Sumber :
🔖 Artikel Asal :
📷 Nusri Bin Jabbi Bin Alinjaman Bin Pinsalan Bin Santek Bin Abu Sari Bin Goneh
🔖 Sumber Lain :
- Diari AR Dunlop
- Laporan Pegawai Daerah Tawau Molyneux
- The British North Borneo Herald 1883 – 1902
- DS Ranjit Singh, The Making of Sabah 1865-1941
- Ken Goodlet, Tawau - The Making of A Tropical Community
- Owen Rutter – British North Borneo
- Zubir Bin Osman anak Harindang anak Indang anak Piang Binti Nakib Jani Bin Anni
- Abdul Sani