Asal-Usul Nama Semporna

Nama “Semporna” mempunyai asal-usul yang menarik dan berkaitan rapat dengan  pelbagai kisah sejarah serta keadaan geografi dan sosial kawasannya. Semporna pernah berada di bawah pemerintahan Syarikat Borneo Utara British (British North Borneo Chartered Company) pada abad ke-19.

Ia mula dibangunkan secara rasmi oleh pihak British semasa mereka mula menjadikan Semporna sebagai pangkalan, pusat pentadbiran dan perdagangan. Berikut beberapa fasa nama bersilih ganti yang pernah digunakan sebelum dikenali sebagai Semporna.


Asal Nama Tong Talun

Sebelum dikenali sebagai Semporna, kawasan ini dulunya dikenali sebagai “Tong Talun” oleh masyarakat Bajau tempatan.

Dalam bahasa Bajau, “Tong Talun” bermaksud “Hujung Hutan”. Nama ini telah diberikan oleh tiga orang panglima Bajau pada waktu dulu iaitu Panglima Uddang, Panglima Sallehangni, dan Panglima Sakti.

Dipercayai nama tersebut dipilih kerana ia berkaitan dengan lokasi geografi Semporna ketika itu yang diliputi oleh hutan belantara yang tebal dan jika dilihat daripada kedudukannya, Semporna memang terletak paling hujung di timur peta Borneo Utara (Sabah) ketika itu kawasan ini terletak di wilayah Magindora ( Pantai Timur Sabah ) dan tidak berpenghuni.



Pengaruh British “Simporna”

Pada pertengahan tahun 1887, seorang Gabenor Inggeris bernama W.M. Crocker bersama rakan-rakannya termasuk seorang pedagang Cina bernama Toonah telah menemui kawasan ini setelah menjalankan penerokaan.

Terpesona dengan keindahan dan ketenangan di Tong Talun, Gabenor Crocker menamakannya atau menggelarkan sebagai 'Simporna', yang bermaksud “Tempat untuk berehat” atau “Tempat untuk persinggahan”. 

Nama ini mencerminkan peranan kawasan Tong Talun pada suatu ketika dahulu sebagai sebuah kawasan persisiran pantai yang memiliki pemandangan indah dan suasana yang tenang. Menjadikan kedudukannya yang strategik sebagai tempat lokasi pertahanan dan persinggahan untuk berehat.

Pada 10-11 Mei 1887, setelah selesai melakukan tinjauan akhirnya Pekan Simporna telah dibuka sebagai penempatan baru menandakan Tong Talun sebelum ini sebagai sebuah kawasan hujung hutan tidak berpenghuni akhirnya melalui transformasi menjadi sebuah tempat aman di bawah naungan British.

“Empire Day” 24 May 1950an Simporna
📷 IWM

Evolusi Nama Kepada “Semporna”

Walaupun nama “Simporna” telah diberikan oleh pihak British, penduduk tempatan lebih cenderung menyebutnya sebagai “Semporna” atau dalam dialek Bajau, “Sampulna”, yang membawa maksud "Tempat yang aman atau damai". 

Nama ini menggambarkan harapan dan realiti kawasan ini sebagai sebuah tempat yang selamat dan tenteram.

Perubahan ejaan kepada “Semporna” berkemungkinan dipengaruhi oleh sebutan loghat atau perubahan semantik dalam pertuturan masyarakat setempat waktu dulu dimana bahasa melayu telah menyerap masuk ke Tong Talun ketika itu.

Akhirnya nama “Sampulna” & “Simporna” telah tertukar menjadi “Semporna” iaitu sebuah perkataan yang sedikit cenderung hampir kepada perkataan “Sempurna”. 

Semporna 1953

Perjalanan nama Semporna dari “Tong Talun” kepada “Simporna” dan akhirnya “Semporna” mencerminkan transformasi kawasan ini dari hutan belantara kepada pelabuhan perdagangan yang penting dan kini sebagai destinasi pelancongan terkenal dunia.

Nama “Semporna” bukan sahaja menggambarkan keindahan semula jadi kawasan daerah kita yang tercinta ini tetapi ia juga menyentuh sejarah dan budaya yang kaya. 

Semporna juga (Tong Talun) dulunya dikenali sebagai sebahagian daripada wilayah “Magindora” nama yang digunakan oleh penduduk asli yang terawal tinggal dikawasan sekitar persisir pantai timur Sabah sebelum ketibaan pihak British.

Dimana Pulau Omadal (Umaral @ Kuli Babang) pernah menjadi sebuah lokasi yang mempunyai pentadbiran sendiri dan tempat pelabuhan penting untuk para pedagang sebelum Simporna di buka sebagai “Trading Station” pada tahun 1887 oleh BNBC.
Terbaru Lebih lama