Kitab Pelayaran Kuno Sampang Bulan


Kitab Sampang Bulan atau Kitab Pelayaran Sampang Bulan (Sappit) adalah sebuah manuskrip pelayaran kuno kaum Bajau di Pantai Timur Sabah.

Sampan ikut sebutan lidah masyarakat setempat disebut Sampang, Bulan pula bukan bermaksud sekadar bulan di langit tetapi bulan yang dimaksudkan itu adalah lambang penunjuk arah waktu malam, tanda musim & pasang surut, petanda nasib / rezeki pelayaran.

Jadi “Sampang Bulan” boleh difahami sebagai sampan atau perahu yang belayar berpandukan bulan.

Kandungan utama kitab ini adalah tentang ilmu pelayaran yang menyelitkan petua dan ilmu laut seperti membaca angin, melihat arus, kenal bintang/bulan, tahu tanda ribut, tahu bila sesuai untuk keluar menangkap hasil laut dan lain-lain lagi.

Mengandungi ilmu navigasi tradisional, kalendar laut, dan petunjuk untuk pelayaran menggunakan perahu tradisional seperti sappit, menjelaskan hari sesuai dan tidak sesuai untuk belayar berdasarkan kalendar Islam-Melayu.

Sappit adalah merujuk kepada perahu tradisional masyarakat bajau Semporna iaitu terdiri daripada dua jenis utama iaitu Sappit Kecil (Lepa) dan Sappit Besar (Biruk).

Kitab ini adalah milik salah seorang pelayar yang terkenal dikalangan masyarakat Bajau dan telah ditemui di Pulau Bum-Bum Semporna, Sabah, Malaysia pada tahun 2009.

Kitab ini kini disimpan oleh cicitnya, Tuan Hj. Bakara Maharaja Onnong, yang tinggal di Pulau Bum-Bum.


Semasa menjalankan kajian tentang sejarah serta tradisi pelayaran orang Bajau, Hj. Bakara Maharaja Onnong telah memperlihatkan kepada penyelidik sebuah kitab pelayaran lama miliknya. Kitab tersebut merupakan warisan turun-temurun daripada datuk beliau, Sampang Bulan bin Unggun, yang berkahwin dengan seorang wanita bernama Santik (Cantik).

Sampang Bulan sebenarnya berasal daripada keturunan Selingaya Bungsu, iaitu seorang pelayar yang pernah belayar dari Johor ke Pulau Sambuanga (Zamboanga, Filipina), kemudian ke Pulau Omadal (Semporna, Sabah, Malaysia) dan akhirnya menetap di Pulau Omadal selepas gagal dalam satu pertandingan untuk memenangi hati puteri Johor bernama Siti Zairan Kebaran. Beliau juga dikenal sebagai seorang pelaut yang sangat mahir, memiliki pengetahuan tinggi dalam ilmu pelayaran dan ilmu falaq. 

Bagi memastikan ilmu pelayaran dan falaq tersebut tidak terputus, Sampang Bulan telah menyampaikan pengetahuan dan pengalamannya secara lisan kepada anaknya, Maharaja Onnong (bapa kepada Hj. Bakara). 

Setelah Sampang Bulan meninggal dunia, beliau dikebumikan di Pulau Omadal, dan Maharaja Onnong mengambil alih peranan sebagai pelaut serta pemimpin Bajau di Pulau Bum-Bum. Untuk mengekalkan ilmu itu agar terus diamalkan, Maharaja Onnong kemudiannya menyalin dan menterjemahkan pengetahuan pelayaran yang diwarisi daripada Sampang Bulan dalam bentuk sebuah kitab bertulis menggunakan bahasa Arab (campuran Arab dan Bajau) serta pelbagai simbol.

Kitab tersebut dinamakan sebagai Sampang Bulan sempena memperingati bapa kepada Maharaja Onnong atas ilham untuk menjaga ilmu pelayaran tersebut yang secara tidak langsung menggambarkan maksud nama dan fungsi kitab tersebut.

Tuan Hj. Bakara Maharaja Onnong

Walaupun usia sebenar kitab tersebut belum dapat dipastikan, berdasarkan tempoh kehidupan Maharaja Onnong (1894–1962) serta jenis kertas yang digunakan, kitab itu dianggarkan berumur sekitar 70 hingga 80 tahun (pada tahun 2011). Namun begitu, pengetahuan yang terkandung di dalamnya dipercayai jauh lebih tua dan telah diwarisi sejak beratus-ratus tahun lamanya.

Selain itu, jika diteliti melalui salasilah keturunan Hj. Bakara, rantaian warisan kitab ini bermula daripada Unggun (bapa kepada Sampang Bulan) yang hidup pada era Kesultanan Sulu (sekitar 1750–1881). Kitab itu kemudiannya diwariskan kepada Sampang Bulan yang meninggal sebelum Sabah diperintah oleh BNBCC pada tahun 1881. 

Selepas itu, kitab berkenaan diterjemahkan oleh Maharaja Onnong yang meninggal dunia pada tahun 1962, dan akhirnya diserahkan kepada Hj. Bakara Maharaja Onnong (1938 hingga kini). Berdasarkan proses penyaluran ilmu dan warisan ini, kitab tersebut boleh dianggap mempunyai sejarah melebihi 300 tahun.

Dari segi fizikal, kitab yang diwarisi ini ditulis menggunakan dakwat di atas kertas lama berwarna coklat iaitu jenis kertas yang pernah diperkenalkan pada zaman BNBCC dan tidak lagi dihasilkan pada masa kini. Ketika ditunjukkan kepada penyelidik, keadaannya sudah uzur dan rosak/koyak, dimakan anai-anai, serta tulisan pada beberapa halaman menjadi kabur. 


Namun begitu, kitab ini tetap bernilai tinggi kerana mengandungi panduan pelayaran yang terperinci, berpandukan sepuluh muka surat pengetahuan Islam dan falaq Bajau. Daripada sepuluh muka surat tersebut, hanya empat muka surat benar-benar mempunyai tulisan, manakala selebihnya kosong atau terlalu kabur untuk dibaca.

Isi kandungannya menerangkan waktu yang sesuai dan tidak sesuai untuk belayar berdasarkan kalendar Islam serta ilmu falaq, termasuk pemerhatian terhadap unsur alam seperti bulan, bintang, bumi, angin, ombak, matahari, selain tanda-tanda lain seperti haiwan, benda tertentu dan mimpi. 

Semua petunjuk ini disusun melalui gabungan bahasa Arab dan simbol-simbol khas, yang kemudiannya dihuraikan lagi dalam catatan-catatannya yang seterusnya.

Kitab ini menunjukkan bahawa komuniti Bajau sememangnya merupakan pelayar terkenal pada zamannya di Sabah serta di "Dunia Melayu". 

Mereka mempunyai pengetahuan, kefahaman dan mengamalkan ilmu tradisional, serta Matematik Islam dalam kehidupan harian mereka. Berdasarkan kajian terdahulu, kandungan dan bentuk fizikal kitab ini menunjukkan bahawa ia adalah satu-satunya panduan pelayaran kuno dan juga kitab tertua yang pernah ditemui dalam sejarah maritim tradisional Sabah. 

Kitab dan kalendar ini menunjukkan bahawa pelayar Bajau yang tinggal di pulau-pulau dan pantai-pantai Sabah, sebelum dan semasa era Kesultanan Sulu, telah memiliki pengetahuan dan kefahaman penting tentang ilmu falaq.

🔖 Sumber
  • Kajian Prof Dr. Ismail Ali - Pensyarah Kanan di Program Sejarah, Sekolah Sains Sosial UMS (Universiti Malaysia Sabah)
  • Utusan Borneo 15 Ogos 2016 -Tafsiran Kitab Pelayaran Kuno oleh Ismail Ali (UMS)
  • Temubual Hj. Bakara Marahaja Onnong. (n.y.). Kitab Pelayaran Sampang Bulan: Personal Collection of Tuan Hj. Bakara Marahaja Onnong of Pulau Bum-Bum. Semporna, Sabah, Malaysia
  • TAWARIKH - International Journal for Historical Studies, 2(2) 2011 (Ancient Sailing Scripture of Sampang Bulan) by Ismail Ali
Terbaru Lebih lama