Penemuan Gua Penyu (Turtle Cave) Oleh Jacques Cousteau 1989


Jacques-Yves Cousteau, seorang ikon dunia marin dan penyelidikan laut dalam abad ke-20, memainkan peranan besar dalam menjadikan Pulau Sipadan atau lebih khusus lagi, Gua Penyu (Turtle Cave)  terkenal di mata dunia. 

Walaupun tidak banyak dokumentasi rasmi yang menyentuh secara panjang lebar tentang eksplorasi Gua Penyu oleh Cousteau, namun  kehadiran beliau dan pasukannya di Sipadan pada tahun 1988–1989 telah membuka tirai kepada penemuan menakjubkan termasuklah Gua Penyu, yang sebelum itu langsung tidak diketahui oleh dunia luar.


Kunjungan Cousteau ke Pulau Sipadan

Pada tahun 1989, Cousteau dan pasukannya tiba di perairan Semporna dan berlabuh di Pulau Sipadan untuk satu misi eksplorasi dan dokumentasi. Tujuan mereka adalah untuk meneroka keunikan biodiversiti marin di rantau ini, yang dikatakan antara yang paling kaya di dunia.

Ketika menyelam di sekitar Sipadan, pasukannya telah menemui satu struktur gua yang ganjil, gelap dan dipenuhi dengan sisa-sisa tulang penyu. Tempat ini kemudian dikenali sebagai Turtle Tomb atau Gua Makam Penyu.

Seawalnya mereka tidak mengetahui tentang kewujudan gua ini sehinggalah mereka secara tidak sengaja menjumpainya akibat mengikuti seekor penyu hijau yang seolah-olah membawa mereka ke lokasi gua tersebut. 

Kejadian tersebut secara rawak dan tidak langsung telah terakam di kamera yang mereka gunakan ketika itu.


Siapa Jacques Cousteau ? 

Nama penuh : Jacques-Yves Cousteau

Kewarganegaraan : Perancis

Profesion : Penyelam, pengarah filem dokumentari, penemu alat skuba (Aqua-Lung), pencinta laut, dan pengasas organisasi Cousteau Society.

Beliau terkenal kerana menjelajah lautan dengan kapal ikoniknya, Calypso, dan menghasilkan dokumentari berkualiti tinggi yang membawa dunia bawah laut ke skrin global.


Penemuan Gua Penyu oleh Pasukan Cousteau

Gua Penyu adalah sebahagian daripada sistem gua batu kapur bawah laut yang terbentuk berjuta-juta tahun dahulu, ketika Pulau Sipadan terbentuk daripada karang yang bertindan di atas gunung berapi purba.

Pasukan Cousteau masuk ke gua ini dan menemui sesuatu yang mengejutkan iaitu terdapat puluhan tengkorak dan rangka penyu bertaburan di lantai gua.

Gua ini dipenuhi laluan sempit, bilik-bilik kecil, dan ruang kubah yang gelap sepenuhnya. Tiada arus yang kuat, tetapi ruang itu sangat disorienting dan amat mudah untuk hilang arah.

Pada mulanya, mereka menyangka penyu-penyu itu sengaja memasuki gua sebelum menghembuskan nafas terakhir. Namun, sangkaan itu ternyata meleset, penyu-penyu tersebut dipercayai tersesat di dalam gua, lalu kehabisan oksigen hingga akhirnya mati di situ.

Apa yang menariknya tiada bukti bahawa penyu-penyu tersebut diburu sekaligus menunjukkan mereka mati secara semula jadi di dalam gua ini.



Kesan Lawatan Cousteau kepada Sipadan dan Gua Penyu

Lawatan Jacques-Yves Cousteau ke Pulau Sipadan telah membuka mata dunia terhadap keunikan pulau ini, sekali gus mengangkatnya sebagai salah satu tapak menyelam bertaraf dunia yang paling bernilai dari sudut ekologi dan biodiversiti marin.

Peningkatan perhatian antarabangsa ini turut mendorong langkah perlindungan alam sekitar yang lebih ketat. Kerajaan Malaysia kemudiannya memperkenalkan kawalan pelancongan yang tegas, termasuk menyekat pembinaan resort dan mengehadkan jumlah pelawat, demi memastikan kelestarian ekosistem Sipadan terus terpelihara.

Dalam masa yang sama, lawatan tersebut turut mencetuskan perkembangan aktif dalam penyelidikan sains marin. Kajian berkaitan tingkah laku penyu laut, sistem gua marin, serta usaha konservasi terumbu karang semakin giat dijalankan oleh penyelidik tempatan dan antarabangsa.

Walaupun Gua Penyu hanya boleh dimasuki oleh penyelam gua terlatih, ia tetap muncul sebagai lokasi ikonik. Gua ini kini sering disebut dan dirakam dalam hampir setiap dokumentasi berkaitan Pulau Sipadan, melambangkan keunikan, misteri, dan nilai saintifik perairan tersebut.


Hasil lawatan tersebut, pasukan Cousteau telah menghasilkan dokumentari bertajuk :

'Borneo: The Ghost of the Sea Turtle (1989)'

Walaupun dokumentari ini (sebanyak 16 episod kesemuanya) tidak sepenuhnya fokus kepada Gua Penyu sahaja, tetapi terdapat beberapa klip penting yang memaparkan:

🔖Rakaman menyelam di dalam Gua Penyu.
🔖Pemandangan kerangka penyu di dasar gua.
🔖Keindahan luar biasa Pulau Sipadan dari atas dan bawah permukaan.

Biodiversiti luar biasa yang membuatkan Cousteau berkata :

I have seen other places like Sipadan, 45 years ago. Now we have found again an untouched piece of art

Hingga ke hari ini, nama Jacques Cousteau kekal sinonim dengan Pulau Sipadan dan Gua Penyu, dan pengaruhnya terus hidup dalam kalangan penyelam, pencinta alam, dan pengkaji laut seluruh dunia.

🔖Artikel lain yang mungkin menarik untuk anda layari Gua Penyu Di Pulau Sipadan Hanya Ada Satu di Dunia ðŸ”—
Terbaru Lebih lama